Sunday 30 March 2008

Lagu 'Ever Green' Politik Melayu

Sekali lagi lagu lama 'Perpaduan Melayu' mulai didendangkan selepas kekalahan teruk UMNO dalam pilihanraya baru-baru ini. Kekalahan BN di 5 buah negeri, menyaksikan penubuhan beberapa buah kerajaan campuran dan yang paling ketara ialah negeri Perak Darul Ridzuan. Meskipun DAP memenangi kerusi terbanyak tetapi hasil muafakat, seorang ADUN PAS telah dipilih menjadi Menteri Besar. Sememangnya tidak dinafikan bahawa bilangan Exco bukan Melayu lebih ramai, tetapi kesediaan DAP dan PKR berkongsi kuasa dan memberi laluan kepada ADUN PAS menerajui negeri merupakan satu toleransi politik yang begitu tinggi. Sebagaimana lazim, MB akan memegang potfolio yang penting dalam pentadbiran sesebuah negeri.

Sememangnya di peringkat awal pembentukan kerajaan campuran seperti di Perak dan Selangor akan timbul sedikit prajudis, khususnya antara PAS dan DAP. PAS dan DAP merupakan dua buah parti yang kemunculannya telah dicorakkan oleh politik perkauman yang tebal. Warisan politik perkauman ini adalah warisan 'devide and rule' yang ditinggalkan oleh penjajah British dalam usaha untuk mereka mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka di Malaysia. Jelas kelihatan British mengkehendaki politik perkauman ini terus segar sehingga selepas kemerdekaan. Oleh sebab itu, hanya parti yang bersifat perkauman akan terus relevan dalam senario politik seperti itu.

Lawan kepada politik perkauman ini ialah politik ideologi, iaitu politik yang merentasi batasan kaum dalam mendukung sesebuah fahaman atau ideologi. Cubaan pertama untuk meruntuhkan tembok politik perkauman dilakukan oleh Dato' Onn sendiri yang mencadangkan supaya keahlian UMNO dibuka kepada bukan Melayu. Disebabkan cetusan Dato' Onn itu tidak relevan ketika itu, maka pengasas UMNO itu sendiri akhirnya tersingkir daripada UMNO. Sedangkan UMNO lebih selesa dengan politik perkauman sesuai dengan gagasan awal mereka 'hidup Melayu'. Politik perkauman ini kemudian diadun dalam parti Perikatan, iaitu sebuah parti yang mengumpulkan parti-parti politik perkauman untuk tawar-menawar kepentingan kaum masing-masing.

Mereka yang pernah menghadiri program-program anjuran Biro Tata Negara (BTN) pasti akan disogokkan dengan skrip "British akan kembali semula menjajah Malaysia sekiranya dalam tempoh sepuluh tahun selepas kemerdekaan (1957-1967) berlaku rusuhan perkauman". Skrip ini turut disogok kepada pegawai tinggi kerajaan dan ahli akademik yang mengikuti program-program BTN. Sebenarnya di sebalik skrip ini ialah dorongan supaya mengekalkan politik perkauman kerana dengan kekalkannya politik perkauman maka akan kekallah parti politik yang berorientasikan perkauman seperti UMNO. UMNO pula akan terus relevan menerajui Perikatan atau BN sebagai parti yang mewakili kepentingan Melayu dalam tawar-menawar dengan parti perkauman yang lain.

Demikianlah orientasi politik Malaysia sebelum merdeka sehinggalah hampir 50 tahun sesudahnya. Kewujudan parti-parti berorientasikan perkauman terus relevan sehingga pemimpin-pemimpin parti tersebut terus kenyang, manakala kaum-kaum yang mereka wakili tetap kekal 'kelaparan'. Bila ada sahaja usaha untuk membela kaum-kaum yang 'kelaparan' ini, maka akan muncullah semula satu lagi lagu lama 'Hormati Kontrak Sosial'. Sepanjang 50 tahun selepas kemerdekaan ini rakyat kecut untuk membangkitkan penderitaan hidup mereka, dan yang paling kecutnya ialah orang Melayu. Dengan sebab itu, kaum Melayu terus menjadi golongan majoriti mengisi borang golongan termiskin bagi mendapatkan sisa-sisa kekayaan negara atas nama hak istimewa mereka.

Kekayaan negara sebenarnya dikaut oleh pemimpin-pemimpin parti yang mewakili kaum-kaum terbesar di negara ini. Akhirnya selepas hampir 50 tahun ditipu oleh pemimpin-pemimpin seperti ini, rakyat khususnya bukan Melayu bangun untuk membetulkan ketidakadilan ini. Rakyat marhain ini mula mencari parti-parti alternatif untuk memperjuangkan nasib mereka. Pilihan yang ada pada mereka ialah PAS, DAP selain PKR. Bagi bukan Melayu PAS adalah parti ekstremis Islam yang tergambar di depan mata mereka dengan pelbagai gambaran negatif. Manakala bagi kaum Melayu, DAP ini adalah adik PAP yang sekiranya memerintah maka Melayu akan terpinggir seperti lagu lama 'Melayu Singapura' yang selalu didendangkan. Hakikat sebenarnya Melayu telah lama terpinggir di negara ini sedangkan DAP belum pernah memerintah.

Dari segi perlembagaan parti PAS dan DAP bukanlah parti perkauman, tetapi politik perkauman yang tebal di negara ini menyebabkan mereka turut terpalit. PAS sebenarnya mempejuangkan ideologi politik Islam yang syumul, manakala DAP pula lebih condong kepada ideologi Sosial Demokratik sebagaimana yang selalu di dakwa oleh pimpinan mereka. Pentas politik kedua-dua parti ini sebenarnya ialah pentas politik ideologi. Dengan maksud yang lain, parti-parti ini berjuang atas prinsip-prinsip yang mereka dukung bukannya atas kaum-kaum yang mereka wakili. Sebelum PRU ke 12, mereka mendukung prinsip menegakkan keadilan, membenteras rasuah, membela rakyat marhain dan lain-lain lagi.

Maka dengan prinsip-prinsip perjuangan itulah rakyat memperjudikan nasib untuk mula mengundi mereka sekaligus meninggalkan politik perkauman yang telah mencorakkan negara 50 tahun sebelum ini. Sebenarnya inilah manifestasi rakyat dalam PRU ke 12 baru-baru ini iaitu beralih daripada politik perkauman yang hanya menguntungkan UMNOputera, MCAputera dan MICputera, kepada politik ideologi yang diharapkan akan menjamin kehidupan mereka yang lebih baik. Sebaliknya apabila BN kalah teruk dalam PRU baru-baru ini, maka sekali lagi ditiupkan semula politik perkauman. UMNO sepertimana biasa memainkan lagu 'Perpaduan Melayu' malah dikatakan turut 'didendangkan' oleh seorang tokoh Islam yang dihormati untuk tawar-menawar dengan PAS dalam kes di Perak. Adakah lagu itu masih Ever Green?

Wednesday 26 March 2008

Sayonara DEB

Seperti tak cukup ruang akhbar untuk UMNO menghidupkan DEB sehingga mereka terpaksa menggunakan ruang legar di bangunan KOMTAR Pulau Pinang untuk menghangatkan isu itu. DEB sebenarnya telah lama tamat riwayatnya iaitu pada tahun 1990 sekitar 18 tahun yang lalu. Selepas tahun 1990, kerajaan yang ditaja oleh UMNO sendiri telah menggubal satu dasar lain yang dikenali Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) diikuti dengan Dasar Wawasan Negara (2001-2010). Meskipun kedua-dua dasar ini dikatakan kesinambungan daripada DEB, tetapi agenda Melayu semakin terpinggir. Satu-persatu kepentingan kaum Melayu khususnya golongan Melayu miskin lenyap daripada perhitungan pemimpin Melayu UMNO.

Secara dasar DEB sebenarnya bukan dasar ekonomi untuk orang Melayu sebaliknya untuk seluruh kaum. Matlamat yang termaktub dalam DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional, tiada langsung disebut untuk memberi keistimewaan bagi memajukan kaum Melayu. Manakala fokusnya pula ialah mengurang seterusnya membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat dengan mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi berindentitikan kaum. Cuma dalam strategi untuk mencapai matlamat yang kedua ini ada disentuh tentang fokus kepada kaum Melayu dan bumiputera untuk mencapai ekuiti 30% dan galakan menyertai sektor-sektor produktif.

Jelas sekali DEB ini digubal untuk kepentingan seluruh kaum dengan perhatian ditujukan kepada golongan miskin dan masyarakat luar bandar. Demi mencapai tujuan tersebut maka Tun Razak telah memulakan pelbagai projek pembangunan termasuk memberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran, membuka insitusi pendidikan untuk golongan luar bandar seperti sekolah berasrama penuh (SBP), memberikan tanah kepada mereka yang perlu, membangunkan bandar di luar bandar dan lain-lain lagi. Kesemua program itu pada asasnya di buat merentasi kepentingan kaum sebaliknya diberikan kepada siapa yang perlu. Namun demikian dari segi pelaksanaannya tidak berlaku seperti yang diharapkan.

Pelaksanaan program-program DEB pada peringkat awalnya melibatkan semua kaum secara beransur-ansur difokuskan kepada kaum Melayu, kemudian secara beransur-ansur lagi difokuskan kepada kaum Melayu UMNO. Akhirnya biasiswa untuk melanjutkan pelajaran turut diberi kepada anak-anak jutawan Melayu, kemasukan ke SBP turut melibatkan anak-anak pimpinan UMNO, tanah-tanah diberi kepada hartawan UMNO dan lain-lain lagi amalan yang menyimpang. Manakala bagi mencapai ekuiti 30% pula, kekayaan negara telah dibahagikan kepada kaum kerabat yang rapat dengan pimpinan UMNO. Demikianlah juga strategi untuk menggalakkan Melayu menyertai sektor-sektor yang produktif, kontrak-kontrak dibahagikan sesama mereka.

Kaum Melayu yang yang selebihnya hanya mendapat sedikit tempias daripada pelaksanaan DEB ini. Setelah 38 tahun pelaksanaan DEB, kaum Melayu masih dinobatkan sebagai kaum yang mempunyai paling ramai golongan termiskin dan memperolehi pendapatan perkapita yang terendah. Jangkamasa 38 tahun ini bukan satu jangkamasa yang pendek, tetapi kejayaan kaum Melayu jauh daripada sasaran. Sektor-sektor yang kaum Melayu sangat produktif ialah industri hiburan, sedangkan sektor-sektor lain mereka masih tertingal. Yang banyak mengaut keuntungan atas angin ialah alibaba-alibaba yang mempunyai hubungan dengan pimpinan UMNO dan taukeh-taukeh kaum Cina dan India.

Semasa pemerintah Dr Mahathir satu demi satu program DEB dimasuhkan. Hampir tiada lagi pemberian biasiswa kepada anak-anak Melayu, sebaliknya digantikan dengan 'buku 555 (pinjaman)' PTPTN. Sistem kouta kemasukan ke universiti telah dimansuhkan. Tiada lagi fokus untuk program pembukaan dan kemajuan tanah untuk masyarakat luar bandar. Tanah-tanah Rizab Melayu terus berkurangan. Sekolah-sekolah agama milik kaum Melayu telah dinafikan hak bantuan mereka. Yang tinggal hanyalah pemberian kontrak kepada kontraktor-kontraktor alibaba UMNO yang turut mengayakan taukeh-taukeh Cina dan India. Oleh sebab itu yang menamatkan riwayat DEB ialah UMNO sendiri.

Kini Ketua Menteri DAP dan Menteri Besar PKR menuruti jejak langkah kerajaan PAS Kelantan untuk mengamalkan pemberian kontrak secara tender terbuka tidak lagi berdasarkan semangat DEB yang mengutamakan kontraktor Melayu (UMNO). Sekonyong-konyong bangkitlah segelintir kaum Melayu menghunuskan keris mereka untuk mempertahankan DEB, sedangkan riwayat DEB telah lama tamat. Mereka bertempik dengan slogan 'kami mahukan DEB dipertahankan', tetapi tiada pula memorandum yang dikemukakan kepada Lim Guan Eng dan Khalid Ibrahim. Kalau ada memorandum, maka dedahkan kepada mereka bahawa yang paling awal mengucapkan sayonara DEB ialah Dr Mahathir dan Pak Lah sendiri. Sekali lagi diucapkan Sayonara DEB.

Tuesday 25 March 2008

Peluang Terakhir Buat Ku Li

Dari segi ketokohan politik Tengku Razaleigh (Ku Li) bukanlah tandingan Pak Lah. Nama Ku Li sebenarnya sebaris dengan tokoh-tokoh besar politik UMNO yang lain seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Nama ketiga-tiga mereka mulai tersohor di arena politik tanahair semasa zaman pemerintahan Tun Razak, malah Tun Razak dilihat meletakkan harapan kepada mereka untuk menerajui politik orang Melayu selepas ketiadaannya. Pak Lah pada ketika itu hanyalah pegawai kerajaan yang baru berjinak-jinak dengan politik. Ketokohan politik Ku Li semakin terserlah di zaman Hussien Onn apabila beliau dilantik ke jawatan Menteri Kewangan, iaitu antara kementerian terpenting dalam kerajaan Malaysia.

Dalam UMNO Ku Li telah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 lagi sebaris dengan Dr Mahathir pada ketika itu. Apabila Tun Razak meninggal dunia, Hussien Onn telah dipilih sebagai Perdana Menteri. Nasib Ku Li agak kurang baik kerana beliau tidak terpilih untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri walaupun nama beliau antara yang disebut-sebut ke jawatan tersebut ketika itu. Kelicikan politik Ku Li dapat dilihat bilamana beliaulah yang bertanggungjawab untuk menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan sebagaimana yang diperakuinya sendiri semasa bekerjasama dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Ketika Hussein Onn 'meletak jawatan' sebagai Perdana Menteri dan tempatnya diganti oleh Dr Mahathir, sekali lagi nasib tidak menyebelahi Ku Li apabila beliau gagal merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau kalah kepada Musa Hitam sekaligus menyebabkan beliau gagal untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Semenjak itu beliau terus mencuba untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO sehingga berlaku persaingan yang hebat antara mereka berdua. Walaupun Dr Mahathir mengambil pendirian berkecuali, tetapi ramai pihak melihat beliau lebih cenderung kepada Musa Hitam berbanding Ku Li. Dengan tidak diduga-duga pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987 Ku Li bekerjasama pula dengan Musa Hitam untuk melawan Dr Mahathir sehingga hampir-hampir Dr Mahathir tumbang.

Perseteruan yang berlaku di peringkat tertinggi UMNO ini seterusnya telah membawa kepada pengharaman UMNO dan perpecahan sehinggalah Ku Li kemudiannya tersingkir. Beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) setelah usahanya untuk menubuhkan semula UMNO gagal. Beliau turut disertai oleh ramai tokoh-tokoh UMNO yang lain seperti Rais Yatim dan Manan Othman. Menjelang PRU pada tahun 1990 beliau telah menubuhkan APU bersama-sama PAS, Hamim serta Berjasa dan Gagasan Rakyat bersama-sama DAP serta PRM. PRU pada tahun 1990 telah menyaksikan hagemoni politik BN tergugat kerana mereka hilang banyak kerusi khususnya di kawasan bandar dan Kelantan pula jatuh kepada PAS (APU).

Bagaimanapun pada PRU tahun 1995, APU dan Gagasan Rakyat gagal mengulangi kejayaan tahun 1990 menyebabkan masa depan politik Ku Li mulai kelam. Beliau mengambil keputusan untuk membubarkan S46 dan menyertai semula UMNO. Bermula daripada titik inilah sinar politik Ku Li semakin malap. Kalaulah beliau terus mengekalkan S46 kemungkinan beliau akan terus menjadi figure yang penting dalam politik tanah air, apalagi pada tahun 1998 berlaku satu lagi episod penting dalam perkembangan politik Malaysia. Selepas menyertai semula UMNO beliau terus kehilangan sokongan kerana penyokongnya sendiri seperti Rais Yatim dan Zainal Abidin Zin telah diberikan kedudukan dalam UMNO dan kerajaan oleh Dr Mahathir. Tinggallah Sabree Chik yang menjadi gurkha setia kepada Ku Li.

Kemudian apabila Pak Lah mengambil alih teraju UMNO pada tahun 2003, nasib Ku Li terus tidak berubah. Malah gurkha Ku Li, Sabree Chik pula telah diberikan kedudukan oleh Pak Lah. Tinggallah Ku Li keseorangan dalam UMNO sehingga untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pun beliau tidak mendapat pencalonan kecuali daripada kawasannya sendiri. Namun sebagai seorang ahli politik Ku Li tidak pernah berputus asa dengan cuba meraih sokongan daripada NGO-NGO Melayu. Melalui sokongan NGO-NGO Melayu ini beliau berharap akan dapat melonjakkan suaranya dalam arena politik tanahair sekurang-kurangnya dia dilihat masih aktif dalam berpolitik. Hakikatnya beliau telah terpisah jauh daripada arus perdana politik UMNO.

Bagaimanapun Allah swt menentukan nasibnya tidak selalu malang apabila UMNO mengalami pukulan yang teruk dalam PRU ke 12 baru-baru ini. Kemalangan bagi UMNO pada PRU tersebut merupakan peluang keemasan untuk Ku Li kembali ke arus perdana politik Malaysia. Namun begitu Ku Li kini masih keseorangan sedangkan budaya politik dalam UMNO tidak memungkinkan beliau melonjak secara keseorangan. Jika tidak beliau hanya akan mengulangi kegagalannya untuk mencabar Pak Lah dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang lalu. Ku Li mesti membina kumpulan atau dalam bahasa politik selalu disebut 'team'. Siapakah yang akan menyertai team Ku Li ini?

Monday 24 March 2008

Menunggu Dr Mahathir Kembali

Tiga orang tokoh politik negara yang paling tidak disenangi oleh Dr Mahathir ialah Abdullah Badawi, Anwar Ibrahim dan Tengku Razaliegh. Tetapi di antara ketiga-tiga mereka, yang paling dimusuhi oleh Dr Mahathir pada hari ini ialah Pak Lah disebabkan beliau memegang kuasa dalam UMNO dan menerajui negara. Manakala Anwar pula jatuh di tempat kedua diikuti oleh Ku Li di tempat ketiga dalam senarai tokoh politik yang paling dimusuhi oleh Dr Mahathir. Khairy Jamaluddin pula adalah sebahagian daripada kemarahannya terhadap Pak Lah kerana sekiranya tiada Pak Lah, maka Khairy bagi Dr Mahathir adalah 'nothing'. Darjah kemarahan Dr Mahathir kepada Pak Lah (Khairy) begitu meluap-luap sehingga tumpuan politiknya lebih tertumpu kepadanya berbanding dengan Anwar dan Ku Li.

Namun ketiga-tiganya tetap musuh utama Dr Mahathir sehingga tidak mungkin ada jalan kerjasama dengan mereka. Memang ramai politikus mengharapkan kerjasama Dr Mahathir dengan Ku Li untuk berhadapan dengan Pak Lah sebagaimana pernah dicetuskan oleh Mahfuz Omar satu ketika dahulu. Sehingga hari ini Dr Mahathir tidak memberi sokongan kepada Ku Li untuk melawan Pak Lah melainkan sokongan terhadap cadangannya mengadakan Perhimpunan Agung Khas (luarbiasa) UMNO. Sekiranya Dr Mahathir menyenangi Ku Li, pasti telah lama Ku Li di bawa dalam kabinet semasa beliau menerajui negara. Sebaliknya Dr Mahathir hanya melantik orang rapat Ku Li seperti Dr Rais Yatim sebagai usaha untuk memencilkan politik Ku Li.

Hubungannya dengan Anwar pula ibarat kaca berderai yang sangat sukar dicantumkan semula. Sememangnya ada usaha-usaha untuk membina semula jambatan antara Dr Mahathir dan Anwar khususnya selepas tercetusnya pertelingkahan politik antara Dr Mahathir dengan Pak Lah termasuk oleh beberapa bloggers yang anti Pak Lah. Namun Dr Mahathir adalah seorang tokoh sangat sukar memaafkan orang yang baginya dianggap pengkhianat seperti Anwar. Bagi Anwar pula membina semula jambatan adalah tidak mungkin walaupun tidak mustahil, betapa pula Anwar telah mula merasai sedikit kejayaan daripada trek baru politik yang tidak berbau perkauman seperti yang diterokainya.

Oleh sebab itu, mengharapkan Dr Mahathir akan bekerjasama dengan Ku Li dan Anwar berhadapan dengan musuh nombor wahid politiknya Pak Lah adalah hampir tidak mungkin berlaku. Pilihan yang masih ada ialah Dr Mahathir menghadapi Pak Lah melalui proksinya yang masih tinggal dalam UMNO. Dalam UMNO, Dr Mahathir sememangnya mempunyai ramai penyokong-penyokong sama ada yang masih berkuasa ataupun yang telah 'expired'. Sanusi Junid dan Daim Zainuddin adalah antara tokoh-tokoh 'expired' yang menyokong Dr Mahathir, tetapi adalah silap jika ramai menganggap mereka tidak lagi berperanan. Kedua-dua mereka ini sebenarnya masih berperanan besar dalam percaturan politik UMNO hari ini.

Bagaimanapun peranan mereka terbatas disebabkan mereka tidak lagi berkuasa seperti dahulu. Satu-satunya harapan yang masih boleh diharapkan untuk menghadapi Pak Lah ialah Najib Tun Razak. Sehingga hari ini, Najiblah satu-satunya harapan yang masih tinggal bagi Dr Mahathir untuk menghadapi Pak Lah. Kekuatan akar-umbi politik Najib sebenarnya banyak dibantu oleh Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya, kerana Najib bukanlah seorang tokoh politik sehebat bapanya. Think-Tank politik Najib selain daripada Razak Baginda, termasuk ada yang berkelulusan Cambridge dan murid Edward de Bono masih tidak dapat menandingi kehebatan Khairy. Yang mampu mereka lakukan hanyalah mengasah minda politik Najib dengan slogan-slogan politik 'Melayu Glokal' dan 'Mengangkasakan Bangsa'.

Kalaulah tiada sokongan dari belakang oleh Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya, sudah lama politik Najib berkubur. Dr Mahathir sebenarnya sudah banyak kali kecewa dengan Najib disebabkan jiwa penakutnya sehingga beberapa kali bola tanggung yang dilambungkannya tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh Najib. Contoh yang paling jelas ialah ketika Dr Mahathir berusaha untuk menjadi perwakilan UMNO bagi berhadapan dengan Pak Lah secara berdepan dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak langsung mendapat sokongan kuat Najib. Demikian juga dengan pendedahan Dr Mahathir yang mahukan Pak Lah menjadi Perdana Menteri selama sepenggal langsung tidak diambil peluang oleh Najib.

Kekalahan besar UMNO dalam PRU ke 12 ini sekali lagi digunakan oleh Dr Mahathir untuk melambungkan bola tanggung untuk dimanfaatkan oleh Najib. Dr Mahathir telah menggunakan beberapa saluran termasuk anaknya sendiri Mukhriz untuk menjatuhkan Pak Lah. Malangnya sehingga hari ini 'ayam sabung' Dr Mahathir ini masih dengan gaya politik 'play safe'nya. Najib sebenarnya seorang politikus yang penakut bukan seperti Tun Razak bapanya. Meskipun ramai pemerhati politik menganggap beliau mengambil jalan politik 'play safe' seperti bapanya, tetapi Tun Razak telah bertindak keluar daripada mode politik seperti itu sebaik sahaja Perikatan mengalami kekalahan teruk pada tahun 1969.

Kekalahan UMNO dalam PRU ke 12 ini lebih teruk daripada tahun 1969, tetapi tanda-tanda Najib akan keluar daripada mode politik 'play safe'nya masih jauh kelihatan. Malah beliau terus-menerus memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Pak Lah. Betapa lagi kes perbicaraan pembunuhan Altantunya masih dalam separuh masa pertama. Menyedari hakikat tersebut, ayam sabung Dr Mahathir ini bukanlah daripada jenis ayam yang berani berlaga, sebaliknya ayam daging yang boleh diumpan untuk disembelih. Apa lagikah pilihan Dr Mahathir khususnya dalam memanfaatkan peluang keemasan pasca PRU ke 12 ini? Tidak ada pilihan lain melainkan beliau sendiri menyarung semula baju silatnya untuk masuk semula ke gelanggang sebagai guru silat yang kembali giat.

Tidak ramai pemerhati politik yang menjangkakan Dr Mahathir boleh kembali semula ke gelanggang politik. Kebanyakan mereka melihat Dr Mahathir hanya menghitung hari-hari terakhir usianya untuk menemui ALlah swt. Dulu Dr Mahathir pernah menyatakan selepas bersara beliau mahu menumpukan beribadat di masjid-masjid. Sehingga hari ini tidak diketahui masjid mana yang begitu kerap Dr Mahathir beriktikaf di dalamnya. Sebaliknya beliau terus mengatur strategi politik bagi menghadapi Pak Lah sehingga banyak masanya ditumpukan untuk itu. Dr Mahathir bukanlah seorang negarawan yang boleh dibandingkan dengan warga tua lain yang memanfaatkan hari-hari tua mereka sebagaimana lazim.

Semasa menyambut hari jadinya yang ke 70, seorang pemimpin politik pembangkang dengan nada gurauan pernah bertanya kepadanya sampai bila beliau akan menerajui negara. Beliau menjawab, sekiranya dibandingkan dengan umur orang tuanya yang meninggal dunia sewaktu usia lanjut 100 tahun, beliau ada 30 tahun lagi untuk berpolitik. Sekarang umur Dr Mahathir baru melepasi 82 tahun, bermakna beliau ada 18 tahun lagi. Kesihatan beliau khususnya selepas pembedahan yang kedua baru-baru ini semakin baik, dan jika dibandingkan dengan pembedahannya yang pertama beliau ada hampir 15 tahun untuk berada dalam tahap kesihatan seperti ini. Kecergasan Dr Mahathir pula lebih baik daripada Pak Lah yang kerap tertidur. Apakah kesemua ini tidak memungkinkannya untuk kembali? Hanya kematian yang boleh menghalang kemungkinan itu.

Sunday 23 March 2008

Wayang Kulit Politik Terengganu

Setelah hampir dua minggu menelaah kemelut perlantikan MB Terengganu, maka semakin jelas siapakah sebenarnya dalang di sebalik politik wayang kulit tersebut. Kebanyakan politikus termasuk Husam Musa dalam blognya bersetuju bahawa dalang tersebut ialah Khairy Jamaluddin, tetapi mereka mengupas plot drama politik yang agak lazim. Menurut Husam dan beberapa blog yang lain seperti blog antikhairy, PM dan Khairy bermatian mempertahankan Idris Jusoh demi survival projek Patrick Lim di Terengganu. Kemungkinan untuk beralasan seperti itu sememangnya ada, tetapi adakah seringkas itu mainan politik Khairy?

Kita semua tersilap sekiranya menganggap Khairy sedang bersembunyi sambil membilang hari-hari terakhir karier politiknya. Menganggap Khairy sebagai 'budak hingusan' politik adalah sesuatu yang tidak tepat sebagaimana simplistiknya tanggapan awal Dr Mahathir terhadap beliau. Hanya selepas negarawan itu tumpas di kawasannya sendiri Kubang Pasu sekadar untuk menjadi perwakilan UMNO, barulah Dr Mahathir membuka mata bahawa Khairy tidak seperti yang beliau sangka. Malah kemungkinan Khairy didukung oleh sekumpulan 'brilliant' politik sama ada junior atau senior sememangnya tidak boleh dinafikan.

Kemelut perlantikan MB di Terengganu sebenarnya hanyalah wayang kulit yang dipaparkan layar hadapannya kepada rakyat melalui media. Lakonan di sebalik layar hadapan itu adalah konflik dalaman Pak Lah dan Mahathir (Najib) pasca PRU ke 12 yang lalu. Wayang kulit seumpama itu telah berakhir di Perlis dan Selangor, dan bakal berakhir di Terengganu. Selepas ini pentasnya akan dibuka di Melaka. Hampir pasti penamat wayang kulit di Terengganu itu berpihak kepada Pak Lah dan menantunya Khairy, selepas kejayaan seumpama itu ditempa di Perlis dan Selangor.

Dalam kes wayang kulit di Perlis yang menyaksikan tumbangnya Shahidan Kassim, semua pihak tidak menunding jari kepada Khairy. Sebenarnya kekuatan akar-umbi politik Shahidan di Perlis sememangnya kukuh sehingga usaha untuk menyingkirkannya dari jawatan MB dan Ketua Perhubungan UMNO Perlis tidak berjaya dilakukan oleh Khairy sebelum PRU ke 12. Dosa Shahidan kepada Pak Lah hanyalah beliau diragui kesetiaannya oleh Khairy sehingga arahan sulit Khairy kepadanya boleh sampai ke pengetahuan Dr Mahathir. Dalam politik, mereka yang diragui kesetiaannya seharusnya disingkir terutama dalam keadaan getir.

Namun begitu surat watikah Pak Lah yang dipertahankannya sehingga Dr Isa Sabu mengangkat sumpah sama sekali telah mengaburi rakyat menunding jari kepada Pak Lah dan Khairy sebagai punca penyingkiran Shahidan. Cuma tidak diketahui keterlibatan pihak Istana Perlis ini secara langsung atau tidak langsung, tetapi campurtangan Radzi Sheikh Ahmad sememangnya merupakan anasir yang utama. Sehingga hari ini masih ditelaah, mengapa selepas wayang kulit di Perlis ini selesai, Radzi tidak dilantik ke jawatan Menteri dan seterusnya membawa kepada perletakan jawatan beliau. Tempat beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO kemudiannya digantikan pula oleh politikus yang pro Mahathir.

Manakala dalam kes wayang kulit di Selangor pula plot ceritanya agak mudah dibaca. Perletakan jawatan Khir Toyo adalah merupakan pukulan terakhir yang tidak dapat ditepis lagi olehnya. Setelah pelbagai pukulan dikenakan kepadanya selepas PRU ke 11 pada tahun 2004 yang lalu membabitkan beberapa isu seperti Bukit Cerakah sehinggalah kepada usaha untuk membawa semula pengaruh Muhammad Taib dalam PRU ke 12 di Selangor, Khir masih boleh menepis. Tepisan Khir ini disebabkan beliau menerajui tampuk sebuah negeri yang paling strategik bagi UMNO, sehingga usaha memaksakannya meletakkan jawatan sangat sukar demi untuk memastikan Selangor tidak terlepas ke tangan pembangkang. Kini setelah Selangor terlepas kepada pembangkang, tiada lagi halangan untuk memaksa khir berbuat demikian.

Kini rakyat sedang menyaksikan pula episod wayang kulit di Terengganu. Layar hadapannya memaparkan kepada rakyat bahawa Pak Lah mempertahankan Idris Jusoh dan membelakangkan watikah istana. Dalam kes ini, pihak Istana diyakini tidak terlibat dengan permainan wayang kulit ini, tetapi pendirian pihak Istana telah dipergunakan sebaik mungkin oleh Khairy untuk menyingkirkan Idris Jusoh ini. Idris bukanlah orang Pak Lah di Terengganu walaupun selalu menjadi balaci kepada Patrick Lim. Orang kepercayaan Pak Lah khususnya Khairy di Terengganu ialah Wan Farid, yang gagal ditabalkan semasa PRU ke 12 yang lalu.

Kegagalan team Pak Lah di Terengganu semasa PRU ke 12 ini sebenarnya hanya sementara. Sikap tidak gopoh Khairy untuk tidak terus menyingkirkan Idris dalam PRU ke 12 yang lalu adalah satu strategi licik bukan sekadar memberi kemenangan kepada UMNO di Terengganu, tetapi juga untuk mengelakkan banyak pihak menunding jari kepadanya sebagai dalang di sebalik 'grand design' ini. Khairy telah merasai bagaimana getirnya melakukan grand design secara terbuka sehingga beliau selalu dilihat sebagai liablity kepada UMNO. Maka selepas PRU ke 12 berkebetulan dengan pendirian pihak Istana seperti ini, beliau mula memainkan watak dalangnya.

Semua kita boleh menilai adakah Ahmad Said seberani itu untuk berdepan dengan 22 Adun yang menyokong Idris melainkan ada satu kuasa politik di belakangnya. Dalam media hari ini pula telah muncul beberapa sokongan kepada Ahmad daripada ketua-ketua bahagian UMNO termasuk dari luar Terengganu mendesak supaya menghormati watikah istana walaupun Wan Farid masih melakonkan sokongan kepada Idris. Hari-hari yang berikutnya akan dilihat bahawa sokongan kepada Ahmad semakin bertambah dan akhirnya Idris akan menuruti jejak Shahidan. Setelah itu siapa boleh menunding jari kepada Pak Lah sebagai punca penyingkiran Idris?

Di mata rakyat dan ahli-ahli UMNO yang menonton layar hadapan wayang kulit ini, Idris disingkirkan oleh Istana. Namun demikian pihak yang paling gembira dan turut mengambil kesempatan mendalangi penyingkiran ini ialah Khairy. Selepas tumbangnya Idris di Terengganu, hampir keseluruhan negeri dikuasai oleh team Pak Lah dan Khairy kecuali beberapa negeri seperti Melaka. Bagi team Dr Mahathir dan juak-juaknya seperti Kelab Maya Umno serta Prowaris, kekalahan besar UMNO dalam PRU ke 12 akan memungkinkan tumbangnya Pak Lah, tetapi dengan beberapa episod wayang kulit ini jalan Khairy menuju ke puncak semakin cerah.