Wednesday 30 April 2008

Respon Terhadap Fiqh Siyasah Tanpa Negara Islam

Oleh: Fansuri Mutiara

"Fiqh Siyasah Tanpa Dawlah Hanya Berummah dan Berwilayah"

Sesuatu yang menarik, situasi dan kondisi dunia baru melahirkan pelbagai fenomena ketamaddunan dan kemanusiaan yang tidak sekata walaupun sempadan-sempadan demografi kian terbuka. Maka setiap keadaan perlukan jalan dan tindakan yang berbeza berdasarkan kebijaksaaan Fiqh Siyasah. Satu sumber satu hadaf. Maka lontaran idea penulis Fiqh Siyasah tanpa Daulah Islamiyyah perlu dilanjutkan bersama. Mahu diakuri atau tidak penggerak Gerakan Islam terutama dikalangan sesetengah pimpinan atasan, pertengahan, pimpinan bawahan dan pengikut PAS sering terbawa-bawa dengan fenomena politik tidak keruan. Ketaasuban dengan pendapat dan hujjah totok terhadap Syariat Islam dan keindahannya memalitkan noda-noda kejahilan yang akhirnya dipalitkan kembali kepada Gerakan Islam itu sendiri. Ingatlah Islam dan syariatnya tetap suci walau apapun kesalahan kita.

Kepada penggerak dan pencinta Islam jangan terkedu kerana apabila Allah menjanjikan keampunan kepada mereka yang berjuang dijalanNya, maka ia kena yakini bahawa mereka tidak maksum. mereka bukan Nabi dan Rasul. Pendapat-pendapat totok yang kita kemukakan dengan mengharamkan memangkah non muslim dan wanita sebagai calon seolah ianya adalah satu pendapat yang mutlak dan qat'iyy, tidak akan berubah dan tiada flesibiliti, kini menyeringai tajam mahu menikam balik kita. Samada mahu diakui atau tidak, itulah realitinya. Tanpa memikirkan bahawa realiti Muslim di Malaysia bukanlah yang dominan dalam masyarakat. Tanpa melihat bagaimana seharusnya kita bersiasah dalam kondisi dan situasi Malaysia perlu kita bergerak dalam kerangka Fiqh Siyasah Tanpa Daulah walaupun punyai Wilayah, perlu kebijaksanaan.

Apapun kita ucapkan kepada pimpinan kita secara umum. Mereka telah dan sedang lakukan apa yang terbaik sekadar kemampuan mereka. Untuk yang menyokong Umno mereka tidak diperlukan untuk membaca catatan ini kerana meraka sendiri terlau totok mengkirikan Islam. Pas = bagi saya- walaupun terlalu totok - tapi ketotokan mereka adalah usaha menkanankan Islam. Usah dibandingkan antara yang tersilap dalam mencari kebenaran dan yang tersesat dalam merelai kesesatan. Tidak sama. Tidak sama dan sememangnya tidak sama dulu kini dan selamanya. Alhamdulillah, kejayaan gerakan Islam dari sudut politik dan perjuangannya kini amat disyukuri.

Model wilayah tanpa daulah yang dianjurkan ditinjau dalam kerangkan negara Habsyah suatu perkara yang perlu diberi perhatian dan difahami... manakal model negara Islam Madinah tetap menjadi mimpi. Mungkinkah kita di Era " min Habsyah ila al-Madinah ". Dengan kata lain apakah Fiqh Siyasah yang perlu dibuat untuk menggerakkan wilayah kita ini kepada daulah. Cukupkah dengan kuasa politik, tanpa ada anjakan baru dalam masalah ekonomi, tarbiyah dan dakwah kepada non muslim. Sejauh mana juga kita belajar dari pengalaman gerakan-gerakan Islam semasa seperti mesir, turki mahupun di indonesia. Saya yakini situasi kita lebih baik lebih hampir dengan kondisi, posisi dan komposisi untuk menjadi Madinah setelah kita memahami situasi di Habsyah.

Bibit kejayaan kita dalam agenda politik tampak tidak jauh. Tetapi perjalanan untuk menegakkan daulah yang syumul terasa - bagi pandangan saya- belum terlalu dakat. Sepak terajang dalam politik mungkin berlaku dari kawan mahupun lawan, hanya tawakkal sahaja yang kita ada. Fiqh Siyasah tanpa daulah sekadar berwilayah berwawasankan daulah satu idea yang bagus untuk kita sama mengkaji sama menerokai. Namun fiqh siyasah seperti ini meruntum untuk kita membuktikan kemampuan kita dalam memberi kemakmuran dan kesejahteraan sekurangnya dalam kerangka Gerakan Islam PAS. Apa salahnya sebagai lontaran idea Negara Kebajikan yang kita highlightkan pada PRU yang lepas kita terapkan dalam PAS itu sendiri.

Dengan kata lain untuk peringkat dalaman jayakan konsep bahawa: PAS ITU DAWLAH. Sekurangnya kita mempunyai pendokong penyokong yang komited dan terbukti tahan lasaknya... Layak untuk digelar Ummah, Kita punyai cita-cita yang sama untuk Siyasat al-DIn dan wa hirasat al-Dunya bihi dan kita juga mengambil pendakatan yang satu iaiatu Tarbiyah dan dakwah yang menjadikan politik salah satu cabang ceburan. Apabila Pas itu boleh bergerak sebagai Dawlah bersendikan ilmu, berlidahkan kebijaksanana berbuahkan berintikan kebajikan dan kemaslahatan maka fajar madinah semakin dekat :Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau akan lihat manusia masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan beramai-ramai. Maka bertasbihlah memuji Tuhan-mu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah sangat Pemberi taubat. (Surah al-Nasr ayat 1-3). Sekadar lontaran idea untuk sama direnungkan... untuk yang berkanankan Islam berkirikan kejahilan dan keegoan

Sunday 27 April 2008

Fiqh Siyasah Tanpa Negara Islam

Kebanyakan perbincangan para ulama khususnya ulama silam mengenai Fiqh Siyasah berkisar tentang bagaimanakah pentadbiran sesebuah negara menurut model negara yang didirikan oleh Rasulullah saw dan para khulafa selepas baginda. Sekiranya model itu diterjemahkan ke dalam bahasa politik moden, Fiqh Siyasah tersebut mengupas tentang bagaimanakah pentadbiran sesebuah Negara Islam. Kupasan tentang pentadbiran Negara Islam itu bermula daripada mengupas tentang definisi Negara Islam sehinggalah kepada kewajipan jihad untuk mempertahankan kedaulatan. Demikianlah yang banyak tertulis dalam kitab-kitab turath seperti al-Ahkam al-Sultaniyah, Siyasah al-Syari'yah dan lain-lain.

Dalam konteks masa kini, selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924, para ulama khususnya para ulama haraki telah menulis pula satu lagi bentuk gerakan siyasah ketika mana tiadanya sebuah Negara Islam. Kupasan tentang Fiqh Siyasah dalam konteks itu lebih menumpukan kepada pergerakan politik yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam dalam usaha membebaskan tanahair daripada penjajah dan berusaha untuk mendapatkan kekuasaan bagi melaksanakan tuntutan Islam dalam bernegara. Kupasan tersebut merupakan satu ijtihad besar demi untuk melangsungkan Fiqh Siyasah ketika tanpa kuasa politik. Kupasan tentang Fiqh Siayasah seperti ini banyak didapati dalam karangan ulama-ulama Gerakan Islam seperti Said Hawa, Fathi Yakan, al-Maududi dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun di penghujung abad ke 20 dan awal abad ke 21 ini menyaksikan pula keperluan kepada satu perkembangan baru Fiqh Siyasah. Pada ketika ini perbincangan Fiqh Siyasah seharusnya pula ditumpukan kepada pentadbiran negara sebelum kewujudan Negara Islam. Dalam erti kata yang lain, perbincangan Fiqh Siyasah yang baru ini adalah pertengahan antara Fiqh Siyasah tentang pentadbiran Negara Islam dan Fiqh Siyasah yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam. Kemenangan Gerakan Islam di beberapa negara, khususnya yang terbaru di Malaysia memperlihatkan bahawa memiliki kuasa politik belum tentu mengizinkan Gerakan Islam untuk melaksanakan sebuah Negara Islam.

Situasi seperti ini sememangnya tidak begitu dijangka kerana sebelum ini kebanyakan Gerakan Islam begitu optimis Negara Islam akan tertegak selepas memperolehi kuasa politik. Fiqh Siyasah dalam konteks situasi seperti ini sudah tentulah tidak menuruti sepenuhnya model negara yang didirikan oleh Rasulullah saw dan khulafa selepasnya. Demikianlah juga, Fiqh Siyasah pada situasi ini tidak sekadar pergerakan politik yang dilaksanakan oleh Gerakan Islam yang tidak mempunyai kuasa politik seperti sebelum ini. Fiqh Siyasah model ini mengambil amalan-amalan politik yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw sebelum Hijrah dan prinsip-prinsip pentadbiran negara oleh Rasulullah saw selepas Hijrah.

Sebenarnya dalam Sirah Rasulullah saw terdapat satu pentunjuk yang cukup penting menjelaskan tentang model Fiqh Siyasah ini. Sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda terlebih dahulu mengarahkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Penghijrahan ke Habsyah dilakukan dua peringkat yang pertama diketuai oleh Uthman Bin Maz'un (setengah mengatakan Uthman Bin Affan) dan peringkat yang kedua diketuai oleh Jaafar Bin Abi Talib. Matlamat berhijrah ke Habsyah ini yang paling utamanya ialah dakwah dan siyasah, bukan sekadar menyelamatkan diri dari seksaan. Kalangan mereka yang berhijrah ini bukan dari kalangan mereka yang ditindas oleh pembesar musyrikin Quraysh.

Yang paling menarik menurut satu riwayat yang kuat, Rasulullah saw telah mengarahkan para sahabat untuk melaksanakan Solat Jenazah ghaib ketika kemangkatan Najaashi pemerintah Habsyah. Riwayat ini secara langsung menjelaskan bahawa Najaashi adalah seorang muslim kerana Rasulullah saw melakukan Solat Jenazah ke atasnya. Di sini timbul persoalan sekiranya Najaashi seorang muslim, mengapa sebagai pemerintah Habsyah beliau tidak melaksanakan pemerintahan menurut model Negara Madinah? Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh ditimbulkan tentang peristiwa Sirah berkaitan dengan Habsyah ini, sehingga menjadi kewajipan kepada para ulama haraki masa kini untuk menerokainya.

Disebabkan terdapat Gerakan Islam hari ini yang telah meraih kuasa politik, tetapi masih terbatas kekuatannya untuk melaksanakan Negara Islam sebenarnya, maka model Negara Habsyah di bawah Najaashi ini sangat menarik untuk dikaji. Dalam riwayat Sirah dan Hadith sememangnya terdapat beberapa petunjuk tentang model Negara Habsyah ini, antara yang terpentingnya memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab Islam secara individu dan keluarga terlebih dahulu, manakala menekankan prinsip keadilan sosial dalam konteks tanggungjawab masyarakat dan negara. Model ini boleh digabungkan pula dengan amalan-amalan politik Rasulullah saw sebelum berhijrah ke Madinah.

Menyedari hakikat tersebut, sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS perlu melakukan usaha untuk menerokai Fiqh Siyasah seperti yang dikemukakan. Cita-cita melaksanakan Negara Islam sememangnya telah termaktub dalam perlembagaan PAS yang tidak mungkin akan berubah. Bagaimanapun pada hari ini, meskipun telah mempunyai sedikit kuasa politik pelaksanaan Negara Islam itu masih agak jauh. Malah sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah Kerajaan Persekutuan sekalipun masih banyak halangan ke arah pelaksanaan Negara Islam yang sebenar. Oleh sebab itu, persediaan untuk menerokai Fiqh Siyasah sebagaimana model Habsyah ini sudah seharusnya dimulakan oleh PAS.

Wednesday 23 April 2008

PAS Kerajaan Berwatak Pembangkang

Sekiranya kita menonton filem 'Ali Baba Bujang Lapok' arahan ALlahyarham P. Ramlee, ada satu slot yang sangat menarik untuk dijadikan teladan dalam politik. Slot itu berkaitan dengan Ali Baba yang telah mendapat harta berusaha untuk merubah watak dirinya daripada watak seorang miskin kepada watak seorang kaya. Beliau mencuba dengan menggayakan cara orang kaya berjalan dan batuk bagi menunjukkan kepentingan beliau merubahkan watak dirinya. Dalam filem tersebut akhirnya memaparkan bagaimana Ali Baba kemudian menjadi seorang kaya yang pemurah dan baik. Mungkin ALlahyarham P. Ramlee cuba menggambarkan betapa pentingnya merubah watak diri seseorang apabila kedudukan dirinya telah berubah.

Telah lebih dari sebulan, PAS berjaya membentuk kerajaan di beberapa buah negeri. PAS berjaya mengekalkan pemerintahan di Kelantan, menjadi peneraju utama di Kedah, menjadi ketua kerajaan campuran di Perak dan berkongsi kuasa di Selangor. Dengan pencapaian yang seperti itu PAS bukanlah lagi sebuah parti pembangkang sebagaimana watak yang dimainkannya sebelum ini, sebaliknya merupakan sebuah parti yang memerintah atau sekurang-kurangnya 'government in waiting'. Boleh jadi hikmah ALlah swt tidak memberikan kemenangan sekaligus, adalah untuk memberi senggang masa yang selesa untuk PAS berubah watak daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan.

Transisi daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan ini sebenarnya sangat penting memandangkan persekitaran politik Malaysia yang agak unik dengan wujudnya kepelbagaian kaum, sistem politik federalisme, monarki berpelembagaan dan wajah sosial masyarakat Malaysia kesan daripada pemerintahan BN dalam tempoh yang agak lama. Sebagai contohnya, dasar-dasar tentang hiburan dan budaya yang wujud dalam negara Malaysia sekarang sudah pasti memerlukan kepada dasar-dasar alternatif. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Dzulkifli Ahmad pernah menyatakan, nasib baik PAS tidak menang dalam PRU yang lalu (merujuk PRU 1999), kalau tidak bagaimana PAS hendak berhadapan dengan amalan hiburan dan budaya yang melampau di Malaysia sekarang.

Demikianlah pentingnya PAS mengambil peluang dalam suasana yang ada sekarang, untuk mereka melakukan perubahan watak daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan. Malangnya setelah lebih sebulan, perubahan itu masih begitu lambat. Di peringkat ahli-ahli bawahan tidak begitu kelihatan perubahan tersebut. Sepatutnya ahli-ahli di peringkat 'grassroots' bukan lagi bertindak sebagai penghentam BN sebaliknya menjadi agen penerangan kerajaan Pakatan Rakyat yang berkesan. Mereka juga perlu bersedia dengan minda masyarakat madani (civil society) demi untuk melaksanakan agenda Negara Kebajikan yang diwarwarkan. Sebenarnya mereka inilah yang menjadi tunggak pelaksanaan agenda Negara Kebajikan tersebut sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

Malangnya yang begitu dibesar-besarkan sekarang melibatkan ahli-ahli PAS ialah ceramah besar-besaran di stadium-stadium, meneruskan tradisi PAS mengkritik UMNO sepertimana ungkapan 'Umno akan dimuziumkan di Johor'. Demikian jugalah ceramah-ceramah di ceruk-ceruk desa, watak yang hampir sama diteruskan malah sehingga ke peringkat menjaga tepi kain UMNO, berkaitan dengan isu-isu dalaman yang mereka hadapi. Kesemua ini tidak banyak membantu transisi perubahan watak politik PAS daripada watak pembangkang kepada watak kerajaan. Pimpinan PAS perlu memikirkan satu pendekatan untuk melonjakkan minda ahli-ahli mereka setelah lebih 50 tahun terbudaya dengan watak pembangkang.

Lidah rasmi PAS iaitu Harakah atau Harakahdaily juga tidak terkecuali, kebanyakan berita-berita yang dipaparkan masih mengekalkan watak yang sama. Harakah menyiarkan kenyataan kepimpinan PAS tentang rumahtangga UMNO dan pandangan balas mereka terhadap polisi dan amalan kerajaan BN. Jarang kedengaran kenyataan kepimpinan PAS mengulas panjang lebar tentang polisi dan amalan kerajaan negeri yang mereka terajui. Sebagai contoh, apabila MB Perak mengisytiharkan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dipilih sebahagiannya terdiri dari kalangan bukan ahli politik, tiada ulasan lanjut oleh kepimpinan PAS. Bolehlah dianggap lidah rasmi PAS ini lebih sibuk dengan apa yang BN buat daripada menerangkan apa yang PAS buat.

Yang lebih malang lagi, lidah rasmi PAS lebih cenderung untuk menjaga tepi kain 'rumahtangga' UMNO. Pada ketika ini lidah rasmi PAS seperti menjadi suara penyambung kepada desakan-desakan dalam UMNO meminta Presiden mereka meletakkan jawatan. Apa perlunya lidah rasmi PAS terlibat dengan masalah dalaman UMNO ini? Bukankah siapa sahaja yang menerajui UMNO pendirian mereka terhadap PAS tetap sama dan sukar berubah? Oleh sebab itu, lidah rasmi PAS perlu melakukan anjakan paradigma daripada sekadar menjadi agen 'check and balance' terhadap kerajaan BN kepada agen propaganda PAS sebagai kerajaan. Harakah sepatutnya menjadi penyampai kepada polisi dan amalan PAS sebagai kerajaan untuk meyakinkan rakyat terus menerima dan menyokong PAS.

Di peringkat pimpinan tertinggi PAS juga tidak menunjukkan perubahan yang memberansangkan. Pada masa ini, rakyat sedang ternanti-nanti apakah seterusnya (what's next) berkaitan dengan manifesto Negara Kebajikan. Boleh dikatakan keseluruhan pimpinan tertinggi PAS tidak bersuara tentang apakah langkah seterusnya untuk merealisasikan manifesto Negara Kebajikan dengan kuasa terbatas di peringkat kerajaan negeri? Rakyat sudah tentu tidak puashati sekadar diberikan 'gula-gula' tiket bola percuma, penghapusan saman tertunggak PBT dan tarif air percuma untuk sejumlah tertentu. Menyedari hakikat tersebut, pimpinan tertinggi PAS seharusnya menerajui penerangan tentang pelaksanaan agenda Negara Kebajikan untuk memastikan sokongan rakyat kekal dan bertambah.

Dengan menerajui 5 buah negeri, Pakatan Rakyat sebenarnya berada dalam posisi yang seimbang dengan BN, malah mungkin lebih kuat sekiranya dilihat kepada kekuatan negeri yang mereka kuasai. Tetapi kekuatan tersebut tidak pergunakan, sebaliknya mereka masih berwatak pembangkang seperti Kerajaan PAS Kelantan 18 tahun yang lalu. Apabila Kerajaan Pusat membatalkan beberapa MOU dan menarik balik beberapa projek, kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat menggelabah merasai tergugat. Pergantungan terhadap Kerajaan Pusat begitu kuat sehingga kelima-lima negeri itu seperti tidak boleh berdiri sendiri. Setelah lebih sebulan berlalu inilah watak yang masih tebal pada Pakatan Rakyat khususnya PAS menjadikan mereka sebagai kerajaan berwatak pembangkang.

Monday 14 April 2008

Dr Mahathir Kian Hampir Melakukan Hattrick

Dalam sejarah politik Malaysia Dr Mahathir adalah antara politikus yang paling licik. Beliau selalu berjaya menguasai massa sama ada semasa beliau berkuasa atau tidak. Kelicikan politik Dr Mahathir diperakui oleh kawan dan lawan sehingga Tuan Guru Nik Aziz pernah menyebut: "Sseandainya Dr Mahathir menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, nescaya umat Islam akan beroleh manfaat besar mempunyai tokoh seperti beliau". Dr Mahathir pernah jatuh dan bangun dalam politik Malaysia, tetapi setiap kali dia jatuh dia akan bangun dengan lonjakan yang lebih tinggi. Sejarah politik jatuh bangun inilah yang telah menjadikan Dr Mahathir benar-benar berpengalaman dengan sepak terajang politik Malaysia.

Sudah terpahat dalam sejarah Malaysia dan Umno khususnya, Dr Mahathir inilah yang pernah disingkirkan daripada parti, kemudiannya bukunya 'Malay Dilemma' pula diharamkan. Sebelumnya beliau telah kalah dalam pilihanraya di Kota Setar kerana menjadi seorang yang ultra-malay dalam kempen-kempennya. Beliau pernah merempat di pentas-pentas pembangkang khususnya PAS untuk bersuara. Pada ketika itu juga, beliau memohon simpati mahasiswa untuk membelanya sehingga bermulalah hubungan politiknya dengan Anwar Ibrahim. Kemudian beliau naik semula dalam pentas politik antaranya dengan sokongan kuat Dato' Harun Idris. Kesemua ini memperlihatkan betapa liciknya politik beliau sejak zaman mudanya lagi.

Kejatuhan Tunku Abdul Rahman dalam politik Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan kelicikan politik Dr Mahathir. Kekalahan Perikatan di beberapa buah negeri dalam PRU 1969 telah menyediakan ruang yang besar kepada Dr Mahathir untuk mengkritik Tunku habis-habisan berlarutan sehingga selepas Peristiwa 13 Mei. Asakan Dr Mahathir inilah yang telah menyebabkan Tunku akhirnya tertiarap dalam politik, walaupun beliau seorang negarawan yang besar ketika itu. Tunku sendiri terpaksa menulis sebuah buku khusus untuk menjawab kritikan-krtikan Dr Mahathir terutama berkaitan dengan Peristiwa 13 Mei. Selepas itu nama Dr Mahathir semakin mengharum dalam senario politik negara.

Kelicikan politik beliau terus terserlah apabila dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tun Razak meninggal dunia, walaupun beliau bukanlah Naib Presiden Umno yang mendapat undi tertinggi semasa pemilihan parti 1975. Malah selang enam tahun kemudian Tun Hussien Onn yang memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir ini pula yang melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepadanya. Peristiwa perletakan jawatan Tun Hussien ini sehingga kini masih misteri, iaitu apakah masalah kesihatan yang dihidapinya? Beliau dilihat masih sihat malah menyertai Tunku Abdul Rahman bersama-sama menyerang Dr Mahathir selepas peritiwa pengharaman Umno 1987. Semua pemerhati politik maklum dengan rahsia umum tersebut, Dr Mahathirlah yang menyebabkan Tun Hussien bersara awal.

Semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau sebenarnya telah melakukan 'hattrick kecil' dengan menyingkirkan tiga Timbalan Perdana Menteri. Kecuali Tun Ghaffar Baba, kedua-dua yang lain disingkirkan secara berlawan. Manakala Tun Ghaffar Baba disingkirkan melalui proksi 'anak didik' politiknya Anwar Ibrahim. Ketiga-tiga Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan ini bukan calang-calang politikus, tetapi kelicikan politik Dr Mahathir dapat mengatasinya. Musa Hitam yang disingkirkannya terus senyap daripada berpolitik, manakalah Tun Ghaffar pula sebelum meninggal dunia tiada lagi peranannya dalam politik selain daripada vateran Umno. Hanya tinggal Anwar Ibrahim yang masih terus berpolitik.

Kini Dr Mahathir sedang mengira detik untuk melakukan satu lagi hattrick iaitu menumbangkan seorang Perdana Menteri. Beliau telah melakukannya terhadap Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien. Sekarang beliau sedang melakukannya terhadap Pak Lah. Dari segi daya kepimpinan Pak Lah hampir menyerupai Tun Hussien, maka apakah lagi halangan untuk Dr Mahathir melakukan perkara yang sama. Cuma semasa zaman Tun Hussien beliau mempunyai kedudukan dalam Umno iaitu sebagai Timbalan Presiden. Bagaimanapun kedudukan tidak penting bagi Dr Mahathir kerana beliau telahpun melakukannya semasa mengasak Tunku Abdul Rahman. Situasi yang dihadapi Pak Lah pada hari ini pula menyerupai situasi ketika politik Perikatan dalam PRU 1969.

Kini Pak Lah semakin hampir menjadi mangsa ketiga kelicikan politik Dr Mahathir. Dengan tidak semena-mena Pak Lah telah mengumumkan pelan peralihan kuasa yang merupakan riak-riak awal berulangnya semula peristiwa yang pernah berlaku kepada Tun Hussien. Pelan peralihan kuasa ini secara jelas menggambarkan Pak Lah sudah tidak lagi tertahan dengan asakan bertubi-tubi Dr Mahathir. Namun demikian adakah Dr Mahathir akan berjaya melakukannya pada kali ini? Ada satu faktor yang para pemerhati politik perlu memberikan perhatian iaitu penjuru yang ketiga Anwar Ibrahim. Perlawanan Dr Mahathir kali ini bukan dua penjuru tetapi tiga penjuru. Selamat kembali berpolitik diucapkan kepada Anwar Ibrahim.

Friday 11 April 2008

Politik Babi Dulu, Kini dan ....

Sebelum Pakatan Rakyat menerajui Selangor, Sepang sememangnya telah terkenal. Daerah ini bukan sahaja terkenal disebabkan wujudnya KLIA dan Litar Formula 1, tetapi juga merupakan antara kawasan penternakan babi yang terbesar di Asia Tenggara. Sebagaimana Bukit Pelanduk yang hampir tiada pelanduk, demikian jugalah Tanjung Sepat yang hampir tiada Ikan Sepat disebabkan perncemaran sungai yang begitu tercemar. Tanjung Sepat sememangnya dikenali sebagai antara kawasan penternakan babi yang terbesar sejak dekad 1980-an lagi. Kesan penternakan babi ini telah menyebabkan pantai pelancongan Morib dan Bagan Lalang semakin sepi.

Kawasan di sebelah sempadan Negeri Sembilan juga turut bersaing untuk mencapai status negeri penternak babi yang terbesar sehingga turut mengancam alam sekitar berhampiran pantai pelancongan yang terkenal iaitu Port Dickson. Sekali lagi kegiatan menternak babi telah bermula lebih dua dekad yang lalu, bukannya selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan. Kegiatan penternakan babi ini telah menjadikan kedua-dua kawasan bersempadan ini tercemar teruk terutama sungai-sungai utama yang terdapat di sana seperti Sungai Sepang dan Sungai Pelek. Para pencinta alam sekitar telah membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan pencemaran kegiatan penternakan babi ini sejak sekian lama dahulu, tetapi sedikit sangat mendapat perhatian media massa pro Umno.

Kalaulah tiada berlakunya wabak yang disebabkan oleh virus Nipah di kedua-dua kawasan ini, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa bilangan babi di kawasan ini melebihi jumlah manusia yang mendiami kawasan yang sama. Namun tidak kedengaran pula penduduk-penduduk dari kawasan tersebut membuat rombongan bantahan ke Pejabat Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan membantah kegiatan penternakan babi ketika itu. Tiada pula liputan besar-besaran tentang tahap pencemaran darat, air dan udara di kedua-dua kawasan bersempadan. Dengan perkataan lain babi di sana mendapat hak sebagai warga negeri di Selangor dan Negeri Sembilan.

Sehingga kini tidak diketahui adakah kegiatan penternakan babi itu mempunyai permit yang sah atau tidak. Sekiranya mempunyai permit yang sah maka siapakan yag mengeluarkan permitnya dan siapakah pula yang meluluskan EIAnya? Sudah tentulah yang mengeluarkan permit bukan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana beliau baru genap sebulan menerajui negeri Selangor. Sekiranya kegiatan itu tiada permit sehingga dapat dilihat tidak langsung terurus, maka mengapa pihak berwajib tidak mengambil tindakan. Sekali lagi pihak berwajib yang tidak mengambil tindakan itu bukanlah Tan Sri Khalid, kerana babi-babi telah lama beranak-pinak di kawasan itu sebelum ini lagi.

Dalam Islam khususnya mazhab Syafie, babi ini merupakan najis berat (mughallazah) sejak sekian lama lagi. Di rantau Melayu kejijikan kepada najis babi ini begitu tinggi sehingga ia merupakan perkara yang dikaitkan dengan sensitiviti kaum sejak dahulu. Betapa pula, apabila najis mughallazah ini diternak dalam kawasan ladang yang besar, sudah tentulah keselesaan umat Islam yang berhampiran terganggu. Akan tetapi mengapa sensitiviti itu hanya timbul selepas Dr Hassan Ali memegang Exco berkaitan dengan agama Islam. Adakah hukum najis mughallazah itu hanya bermula selepas beliau mengangkat sumpah jawatan itu. Mungkin babi yang diternak semasa zaman Umno memerintah adalah suci dan babi yang ada semasa PKR, PAS dan DAP memerintah sekarang adalah najis mughallazah.

Demikianlah minda politik yang dididik oleh media-media pro Umno kepada masyarakat yang sekarang telah celik. Sudah pastilah mereka meneladani para pemimpin Umno yang mengamalkan politik diskriminasi bermula terhadap Kelantan dan sekarang diikuti oleh empat negeri yang lain. Rakyat di negeri-negeri tersebut menjadi mangsa diskriminasi dengan menafikan hak-hak mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak cukup rakyat menjadi mangsa itu, kini babi pula menjadi mangsa diskriminasi apabila makhluk ciptaan Allah swt itu mempunyai hak hidup semasa zaman Muhammad Taib, Abu Hassan Omar dan Khir Toyo, tetapi ditarik balik hak tersebut semasa zaman Tan Sri Khalid.

Tuesday 8 April 2008

Daripada DEB kepada Babi

Tidaklah diketahui apakah motif sebenar media-media pro Umno memainkan isu-isu yang berbau perkauman. Semenjak kekalahan BN di lima buah negeri, media-media pro Umno begitu ghairah memutarbelitkan isu-isu berkaitan DEB, Negara Islam dan yang terakhir projek penternakan babi di Selangor. Siapakah dalang yang merancang manipulasi isu-isu ini setelah penglipulara Umno Zainudin Maidin bersara? Sekiranya dalang yang merancang manipulasi isu-isu ini adalah Menteri Penerangan sekarang, maka ketara benar kedangkalannya dalam politik walaupun beliau bekas pensyarah sains politik. Jika bukan beliau, kemungkinan Ketua Penerangan Umno yang mungkin tidak menyedari tindakannya akan memakan diri.

Keputusan PRU yang lalu sememangnya jelas menunjukkan bahawa BN dapat bertahan disebabkan oleh undi kaum Melayu khususnya mereka yang berada di luar bandar. Manakala kaum Cina dan India majoriti besar daripada mereka memberikan undi kepada pembangkang. Demikian juga sebahagian besar kaum Melayu yang berada di bandar-bandar yang boleh dikelaskan sebagai golongan pertengahan Melayu, mereka memberikan undi kepada pembangkang. Pola pengundian seperti itu telah diterjemahkan dengan kemenangan pembangkang di negeri dan kawasan yang tidak dijangka. Sesungguhnya pola pengundian seperti itu begitu berbeza dengan PRU pada tahun 1999.

Selepas PRU 1999, jelas sekali BN dan Umno khususnya kehilangan sokongan kaum Melayu, maka sesuailah mereka cuba meraih semula sokongan kaum Melayu dengan memperkenalkan Islam Hadhari di samping menampilkan calon-calon yang kelihatan Islamik seperti Amran Kasimin, Firdaus Ismail dan Masitah Ibrahim. Berbagai program untuk menarik kaum Melayu seperti kelas tuisyen percuma, meniupkan semula semangat DEB atau menghunuskan keris tidak bersarung diharapkan dapat mengembalikan sokongan kaum Melayu. Pada masa yang sama secara senyap BN mewujudkan persempadanan semula yang dapat mengekalkan kemenangan dengan memastikan undi kaum Cina dan India sebagai penentu.

Natijah daripada manipulasi isu-isu tersebut dan kelicikan mewujudkan sempadan-sempadan baru kawasan pilihanraya, BN mencapai kemenangan besar dalam PRU 2004. Bagaimanapun pada PRU 2008 perancangan mereka meletakkan undi kaum Cina dan India sebagai penentu telah memakan diri, apabila kaum Cina dan India memberikan undi kepada pembangkang. Sekaligus BN telah kehilangan 5 negeri disebabkan percaturan politik yang silap. Kemungkinan untuk BN memperbetulkan semula sempadan-sempadan kawasan pilihanraya sebelum PRU akan datang adalah tipis dengan ketiadaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Oleh sebab itu undi kaum Cina dan India terus menjadi penentu dalam PRU akan datang paling tidak di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kini sekali lagi Umno akan melakukan percaturan yang silap apabila memainkan isu-isu berbau perkauman seperti DEB dan projek penternakan babi. Isu-isu tersebut dimainkan berkemungkinan dengan tujuan memporak-porandakan Pakatan Rakyat, di samping menarik sokongan kaum Melayu. Namun Pakatan Rakyat tidak mungkin terjejas terutama mereka sekarang sedang berkuasa menerajui lima buah negeri. Kepimpinan PAS, DAP dan PKR tidak sebodoh yang mereka sangka, mudah melatah apabila diajukan dengan isu-isu seumpama ini. Tidak dinafikan Umno mungkin akan dapat menarik sokongan kaum Melayu, tetapi sokongan Melayu tidak lagi menjadi faktor penentu yang kuat. Malah dalam PRU 2008 yang lalupun, majoriti kaum Melayu telah sedia menyokong BN dan Umno.

Yang jelas isu-isu berbau perkauman yang dimainkan akan mengekalkan atau menambahkan sokongan kaum Cina dan India kepada PAS dan PKR. Kaum Cina dan India semakin jelas kefahaman mereka tentang pendirian PAS dan PKR terhadap isu DEB yang termasuk dalamnya pemberian tender secara terbuka. Mereka juga dapat melihat pendirian PAS yang boleh menangguhkan agenda Negara Islam dalam situasi masyarakat majmuk yang tiada kefahaman yang jelas tentangnya. Dalam isu projek penternakan babi, kaum Cina dan India boleh melihat keterbukaan pimpinan PAS tentang hak-hak mereka sebagai bukan Islam. Dengan sebab itu, isu-isu seumpama ini akan terus mengukuhkan sokongan kaum Cina dan India kepada PAS dan PKR.

Sekiranya dalam PRU 2008 baru-baru ini, sokongan mereka kepada PAS dan PKR mungkin disebabkan undi protes mereka kepada BN, maka dengan isu-isu berbau perkauman yang terus ditimbulkan ini, pada PRU akan datang sokongan mereka akan terus bertambah kerana ia turut disertai dengan kesedaran. Semakin galak media-media pro Umno memainkan isu-isu berbau perkauman ini, semakin jelaslah pendirian sebenar PAS dan PKR terhadap hak-hak bukan Islam dan semakin kukuhlah sokongan kaum Cina dan India kepada kedua-dua parti tersebut. Dalam keadaan kemungkinan yang besar kaum Cina dan India terus menjadi undi penentu dalam PRU akan datang, maka percaturan media-media pro Umno ini umpama menggali kubur sendiri.

Thursday 3 April 2008

Masa Untuk Tuan Guru Nik Aziz Berundur?

Sememangnya sedih untuk melihat Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) berundur daripada jawatan Menteri Besar (MB) yang disandang beliau hampir 18 tahun yang lalu. Ketokohan dan kewibawaan beliau sebagai seorang ulama sekaligus sebagai seorang MB sememangnya diperakui sama ada oleh kawan dan lawan. Malah boleh juga dikatakan faktor peribadi beliaulah antara salah satu sebab yang menjadikan PAS masih boleh bertahan di Kelantan. Dalam PRU ke 12 baru-baru ini, poster beliau sedang tunduk dan berdoa yang dinaikkan di seluruh negeri menjadi tarikan yang penting untuk PAS meraih undi paling kurang undi simpati sehingga memberi kemenangan besar kepada PAS.

TGNA adalah tokoh satu antara seribu yang dilahirkan oleh Allah swt untuk Malaysia secara khususnya dan untuk dunia secara umumnya. Sifat warak dan tawaduk yang ada pada beliau menjadi teladan kepimpinan yang terpenting sebagai piawai kepada mana-mana tokoh PAS yang menjadi MB di Kelantan dan di negeri-negeri yang lain. Dari segi melaksanakan agenda pembangunan, beliau telah memperkenalkan satu konsep pembangunan yang tidak lari daripada prinsip-prinsip Islam, memalsukan mitos modern bahawa pembangunan dan agama tidak seiring. Beliau juga seorang ahli politik yang hebat bacaan politiknya dengan mengambil sikap lembut dalam sesuatu keadaan dan keras dalam keadaan yang lain.

Namun demikian, sehebat manapun TGNA akan tiba masanya beliau berundur daripada jawatan MB. Malah kemungkinan untuk beliau kembali menemui ALlah swt ketika memegang jawatan MB juga tiada siapapun dapat menghalangnya. Usia TGNA sekarang kurang 3 tahun mencapai umur 80 tahun menyebabkan sekiranya beliau diberi pilihan, diyakini beliau sendiri sememangnya mahu berundur. Sekiranya tempoh pemerintahan Rasulullah saw selama 10 tahun di Madinah dijadikan kayu ukur, pemerintahan TGNA telah melebihi 8 tahun. Hakikatnya semua ahli-ahli PAS dan rakyat Malaysia akan melalui saat itu, iaitu TGNA berundur sama ada semasa hidup ataupun beliau akan kembali ke alam baqa semasa memegang jawatan MB.

Persoalan yang timbul ialah bilakah saat itu? Sudah pasti sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam, PAS seharusnya memastikan saat pengunduran itu merupakan saat yang paling kondusif. Paling tidak pengunduran TGNA tidak akan menyebabkan kelemahan penguasaan PAS di Kelantan. Sukar untuk dibayangkan bagaimanakah situasi politik di Kelantan sekiranya ALlah swt mengambil nyawa TGNA dalam tempoh penggal pentadbiran 2004-2008 yang lalu. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu PAS seharusnya mempunyai perancangan bila waktu yang paling sesuai untuk TGNA berundur serta sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang tidak ingini.

Keselesaan politik yang wujud selepas PRU ke 12 baru-baru ini khususnya di Kelantan sewajarnya dijadikan peluang yang terbaik untuk membuat persediaan tersebut. Sebenarnya ketika inilah peluang yang terbaik untuk melepaskan pergantungan kepada faktor TGNA sebagai antara faktor terpenting politik Kelantan. Sepatutnya telah ada tokoh bayangan yang berperanan sebagai MB de facto untuk menggantikan TGNA dalam tempoh masa terdekat. Tokoh tersebut sudah seharusnya mewarisi kewibawaan TGNA sehingga tiada sebab rakyat Kelantan untuk tidak menerimanya dalam PRU akan datang. Pilihan yang lain ialah kita menyerahkan semata-mata kepada ALlah swt tanpa perlu memikirkan bila saat yang paling sesuai.

Wednesday 2 April 2008

Perak Penentu Masa Depan Pakatan Rakyat

Seluruh pemerhati politik semestinya teruja dengan kemunculan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebagai gabungan parti-parti alternatif kepada Barisan Nasional (BN). Pakatan Rakyat ini ditubuhkan setelah parti-parti pembangkang menerajui lima buah negeri di Semenanjung Malaysia. Kelima-lima negeri itu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri, iaitu daripada sebuah negeri Melayu seperti Kelantan sehinggalah sebuah negeri yang dikuasi oleh kaum Cina seperti Pulau Pinang. Dari segi kacamatan pembangunan pula, parti-parti pembangkang menguasai negeri yang mempunyai antara teramai golongan miskin tegar sehinggalah sebuah negeri yang paling maju seperti Selangor.

Kemunculan Pakatan ini sudah pasti tidak boleh disamakan dengan beberapa gabungan parti pembangkang yang pernah wujud sebelum ini seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif (BA). Kesemua gabungan tersebut diwujudkan sebelum kemenangan dicapai khususnya sebagai satu usaha bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum. Manakala penubuhan Pakatan pula adalah dilakukan selepas parti-parti pembangkang menerajui beberapa buah negeri dan menguasi lebih satu pertiga kerusi Parlimen. Oleh sebab itu, kelainan situasi ini sudah tentu memberi perbezaan yang besar kepada Pakatan berbanding gabungan parti-parti pembangkang diwujudkan sebelum ini.

Paling tidakpun Pakatan tidak boleh disebut gabungan parti-parti pembangkang, kerana parti-parti yang menganggotainya telah menjadi kerajaan sama ada secara tunggal atau secara bersama di lima buah negeri. Tokoh-tokoh yang ada dalam parti tersebut bukan lagi sekadar menjadi Ketua Pembangkang tetapi juga telah menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri. Malah parti-parti yang menganggotai Pakatan ini dikhabarkan sedang menuntut satu kerusi Speaker di Dewan Rakyat. Maka kewujudan Pakatan kali ini sudah pasti memberi saingan yang sebenar kepada BN, di atas pentas yang agak sama rata. Sekiranya Pakatan berjaya mentadbir lima buah negeri itu dengan sebaiknya, tidak mustahil BN akan tumbang dalam PRU yang akan datang.

Antara kelima-lima negeri yang diterajui oleh Pakatan, negeri Peraklah merupakan negeri yang paling signifikan. Dengan pengertian mudah, sekiranya Pakatan berjaya mentadbir Perak dengan sebaik mungkin, maka tiada lagi alasan untuk tidak memberikan kepercayaan kepada Pakatan untuk memerintah negara pada masa akan datang. Pakar ekonomi Dr Jomo pernah menyebut semasa era reformasi bermula 1998, antara faktor yang menyebabkan BN sentiasa menang ialah tiada satu gabungan alternatif yang diyakini rakyat untuk memerintah negara. Sememangnya rakyat khususnya golongan pertengahan menyedari kebobrokan dan kepincangan BN dalam mentadbir negara, tetapi apakah pilihan yang ada pada mereka untuk menggantikan BN ini.

Rakyat tidak mungkin boleh memperjudikan masa depan mereka untuk memberikan amanah kepada parti-parti pembangkang ketika itu. Kebimbangan berlakunya kemusnahan negara oleh parti-parti yang tiada pengalaman memerintah berbanding kepincangan pentadbiran BN, maka rakyat memilih jalan selamat untuk mengekalkan BN. Selama mana wujudnya krisis keyakinan terhadap parti-parti selain BN untuk memerintah negara, maka selagi itulah BN akan terus berkuasa. Sebenarnya rakyat khususnya golongan pertengahan bukannya tidak sedar dengan seribu satu kepincangan dan skandal yang dilakukan oleh BN, namun apakah lagi pilihan yang mereka ada untuk diberikan kepercayaan menerajui negara.

Kemunculan Pakatan sudah pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat. Yang paling ditunggu-tunggu ialah natijah pentadbiran Pakatan di Perak. Selalunya kemenangan tipis seumpama di Perak ini akan mencetuskan ketidakstabilan politik. Dalam sejarah negara, situasi politik seperti di Perak ini selalunya tidak kekal lama hatta yang menerajuinya BN sendiri. Menyedari hakikat tersebut, sekiranya Pakatan berjaya menunjukkan penguasaan politik yang baik seterusnya melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat di Perak, maka diyakini Pakatan akan berupaya menumbangkan BN pada PRU akan datang. Pakatan di Perak mempunyai cabaran yang terbesar pada kali ini, dan secara fokusnya Ir. Nizar Jamaluddin sedang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.