Wednesday 30 July 2008

Muzakarah Matangkan Politik Malaysia

Pembentukan kerajaan campuran sememangnya merupakan satu fenomena baru dalam politik Malaysia. Selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, sekurang-kurangnya 3 buah negeri telah di perintah atas muafakat parti-parti politik untuk membentuk kerajaan campuran. Sebelum daripada ini, Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi oleh UMNO telah memerintah dengan selesa di bawah satu parti gabungan. Walaupun BN adalah gabungan parti-parti politik, tetapi setiap parti politik itu tidak bebas untuk membuat keputusan. Malah dalam perkara-perkara yang bersabit dengan kepentingan rakyat, MP dan ADUN mereka tiada kebebasan melainkan menyokong apa sahaja yang telah ditentukan oleh kerajaan BN.

Pembentukan sebuah kerajaan campuran sudah tentulah berbeza dengan amalan politik BN dalam membentuk kerajaan. Kerajaan campuran yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat (PR) seharusnya membawa satu kematangan politik yang baru, iaitu setiap parti yang membentuk pakatan itu mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan yang difikirkan memberi kebaikan kepada rakyat. Setiap parti juga mempunyai hak untuk bersetuju dan tidak bersetuju dengan keputusan-keputusan yang dibentuk oleh kerajaan campuran dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Kebebasan yang seperti inilah yang akan menghalang komplot-komplot di kalangan parti-parti yang memerintah untuk mengkhianati rakyat.

Dalam situasi yang lebih ideal, setiap MP dan ADUN dalam parti-parti yang membentuk kerajaan campuran itu juga mempunyai kebebasan politik. Mereka boleh menyuarakan apa sahaja yang difikirkan memberi kebaikan kepada rakyat, walaupun suara mereka itu tidak selari dengan kehendak parti yang diwakili ataupun kerajaan campuran yang dibentuk. Maka setiap MP dan ADUN tidak akan menjadi burung kakak tua yang mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh kerajaan campuran, sebaliknya keputusan kerajaan campuran itu akan terpaksa melepasi tapisan-tapisan yang banyak. MP dan ADUN itu bertindak bebas untuk kebaikan rakyat secara umum.

Sememangnya sukar parti-parti politik yang membentuk kerajaan campuran dan ahli-ahli mereka untuk menerima kematangan politik seperti ini. Setelah lebih 50 tahun politik Malaysia dibudayakan dengan gaya pemerintahan BN, maka sangatlah sukar untuk setiap parti politik dan ahli-ahlinya menerokai satu tahap kematangan politik tersebut. Demikianlah sukar untuk menerima bagaimana Dewan Pemuda PAS Selangor boleh menentang program-program hiburan tidak bermoral yang dianjurkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang mereka dukungi. Malah paling sukar untuk menerima kesediaan PAS untuk berbincang dengan UMNO dalam hal yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan Melayu.

Satu perkara yang paling menghantui mereka ialah bagaimana kestabilan politik boleh terjamin dengan adanya kebebasan seperti ini? Sekiranya setiap parti mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan tanpa terikat dengan pakatan politik, maka bolehkah kerajaan campuran yang dibentuk itu stabil? Jika setiap MP dan ADUN bebas bersuara untuk menyokong dan membangkang, maka bolehkan kerajaan campuran itu memerintah dengan selesa? Persoalan-persoalan seperti ini pastinya menghambat mereka yang telah 50 tahun dibudayakan dengan gaya pemerintahan BN. Sedangkan semua mereka mengakui gaya pemerintahan BN itulah yang telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Kestabilan sesebuah kerajaan campuran dan pakatan politik yang dibentuk akan terjamin selama mana wujudnya persefahaman yang tinggi di dalam kerajaan campuran dan pakatan politik tersebut. Persefahaman yang tinggi ini akan tercapai sekiranya setiap parti meletakkan asas kebersamaan yang kukuh. Dalam konteks Pakatan Rakyat asas yang telah dibentuk ialah bersama menegakkan keadilan, menolak kezaliman, menghapuskan rasuan dan lain-lain. Pada masa yang sama setiap parti perlu menghormati dasar perjuangan yang didukung oleh parti-parti masing-masing sebagai satu perbezaan yang tidak mungkin dielakkan. Di sinilah dapat dilihat kepentingan dialog yang berterusan dan hidup.

Kestabilan sesebuah kerajaan campuran juga terletak di atas tindakan kerajaan memenuhi tuntutan masyarakat madani (civil society) yang mewakili rakyat teramai. Sebaliknya yang berlaku hari ini, parti-parti dalam PR bertindak memenuhi tuntutan masyarakat madani yang mewakili golongan penyokong tegar mereka. Golongan penyokong tegar ini hanyalah mewakili tidak lebih dari 30% para pengundi yang menyokong PAS, PKR dan DAP. Selebihnya adalah rakyat yang mengundi atas dasar menegakkan keadilan, menolak kezaliman dan lain-lain janji yang disepakati bersama oleh PR. Malangnya setiap parti dalam PR ini hanya cuba memenuhi tuntutan penyokong tegar mereka sahaja.

PAS sememangnya cuba memenuhi setiap tuntutan penyokong tegar mereka khususnya di kalangan orang Melayu. Mereka diwakili oleh kumpulan masyarakat madani seperti TERAS, ABIM dan lain-lain. Manakala DAP pula akan cuba memenuhi tuntutan penyokong tegar mereka seperti Suaram, Aliran dan lain-lain. Sedangkan golongan yang majoriti menyokong PR atas dasar menyokong asas kebersamaan PR tidak diwakili oleh mana-mana pihak. Hakikatnya golongan inilah yang sepatutnya ditonjolkan dan dipenuhi tuntutan mereka. Usaha-usaha perlu dibuat untuk memberi platform kepada golongan ini melalui forum-forum sehingga ke peringkat akar-umbi.

Menyedari hakikat tersebut, tindakan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan UMNO merupakan satu langkah menerokai kematangan politik di negara ini. Perbincangan dengan UMNO bukan untuk menghasilkan penyatuan sebaliknya untuk membincangkan perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat. Pada ketika yang sama PAS tetap terus bersama PR selama mana PR meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Perkara inilah yang disentuh oleh Presiden PAS dalam temuramah dengan Harakah baru-baru ini, iaitu PAS mempunyai hak untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja. Beliau juga menyebut dalam PR tiada siapa yang menjadi ketua, sebagai menggambar PR bukanlah BN.

Kebijakan politik yang ditunjukkan oleh pimpinan tertinggi PAS ini sememangnya sukar diterima pada masa kini. Akan tetapi apabila minda politik rakyat akan menganjak dalam memahami sebuah sistem demokrasi, maka kebijakan politik seperti ini akan diperakui. Garisan penamat ini mungkin masih jauh kerana di kalangan saf kepimpinan PAS sendiri masih belum menerima kebijakan politik yang diterokai, sebaliknya mengharapkan PR akan memerintah sepertimana amalan pemerintahan BN. Gaya pemerintahan BN yang mengongkong setiap parti komponen, MP dan ADUN nya untuk membuat keputusan dan bertindak seharusnya disimpan di muzium sebagai bahan kenangan sejarah.

Tuesday 29 July 2008

Berlakukah Tsunami Politik Dalam PAS?

Kepada generasi baru PAS, isu-isu mutakhir berkaitan dengan muzakarah dan muqabalah ini seakan-akan membawa satu tsunami politik kepada parti tersebut. Kelihatannya saf kepimpinan PAS pusat sendiri seolah-olah tiada kesepakatan berkaitan dengan perbincangan dan pertemuan dengan UMNO tersebut. Paling akhir, Ketua Penerangan PAS Pusat saudara Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Saudara Hanifah Maidin telah bertindak agak agresif menyalahkan individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi PAS yang dikatakan tidak telus dalam berterus-terang. Sebelum inipun telah ada polemik yang tersembunyi atau terserlah di kalangan saf pimpinan PAS pusat tentang isu tersebut.

Sekiranya di peringkat saf kepimpinan PAS pusatpun telah wujud kegelisahan, betapa pula saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi. Rata-rata di kalangan mereka begitu gelisah untuk melihat perkembangan seterusnya, adakah kemungkinan PAS akan bekerjasama dengan UMNO atau terus bersama Pakatan Rakyat (PR). Ahli-ahli di peringkat akar umbi sememangnya gelisah untuk bersatu dengan UMNO kerana merekalah pada hakikatnya berhadapan dengan UMNO sejak lebih 50 tahun yang lalu. Setelah beberapa dekad bersinsing lengan dengan akar-umbi UMNO, tiba-tiba wujud kemungkinan PAS dan UMNO akan bekerjasama. Faktor inilah yang menyebabkan kegelisahan saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi.

Selain daripada faktor pertama berkaitan dengan hubungan yang tidak harmoni dengan UMNO di peringkat akar-umbi, PAS juga tidak mungkin boleh menerima UMNO yang penuh dengan sejarah busuk dan hanyir. Sejak mencapai kemerdekaan UMNO yang menerajui kepimpinan negara telah terpalit dengan amalan-amalan yang tidak demokratik, menindas rakyat, menzalimi seteru politik, korupsi, nepotisme dan lain-lain lagi. Manakala PAS secara konsisten mengkritik UMNO disebabkan amalan-amalan tersebut atas dasar mencegah kemunkaran. Setelah lebih 50 tahun jatuh-bangun berhadapan dengan UMNO yang melakukan dosa-dosa ini, amatlah sukar bagi ahli-ahli PAS bersekongkol dengan mereka.

Faktor ketiga yang menyebabkan ahli-ahli PAS gelisah ialah kebimbangan terhadap tuduhan PAS sebagai pengkhianat dalam PR. Keputusan PRU yang lalu jelas menunjukkan PAS mendapat undi yang begitu besar dari kalangan bukan Islam. Kepercayaan yang ditunjukkan melalui kertas undi oleh masyarakat bukan Islam ini merupakan satu lembaran baru kepada dakwah PAS. Sepatutnya kesempatan yang ada ini digunakan sebaik mungkin untuk melebarkan dakwah kepada mereka, antaranya dengan menunjukkan kesetiaan kepada PR. Malah sepanjang sejarah PAS tidak pernah berkhianat dalam berkerjasama dengan parti lain.

Ketiga-tiga faktor inilah yang menyukarkan ahli-ahli PAS dan saf kepimpinan PAS di peringkat akar-umbi untuk bekerjasama dengan UMNO. Bagi beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sepeti Mahfuz dan Hanifah, mereka berhasrat menyuarakan suara akar-umbi PAS yang begitu gelisah dengan tindakan-tindakan beberapa pimpinan di peringkat kepimpinan tertinggi PAS. Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Nasharuddin, Timbalan Presiden, yang selalu di anggap sebagai golongan elit dalam PAS yang tidak begitu turun ke peringkat akar-umbi. Beliau juga sering dianggap sebagai lebih mesra dengan golongan kelas elit dalam masyarakat sesuai dengan 'life-style' nya.

Situasi yang berlaku hari ini sebenarnya bukanlah satu fenomena baru dalam PAS, sebaliknya telah berlaku berulang-ulang kali. Kegelisahan di peringkat akar-umbi terhadap keputusan kepimpinan PAS paling ketara pernah berlaku ketika PAS menyertai UMNO dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional (BN) pada tahun 1970-an. Penyertaan PAS ini telah mendapat banyak tentangan di peringkat akar-umbi, malah terdapat juga pimpinan-pimpinan PAS yang meletakkan jawatan dan mengisytiharkan keluar daripada PAS. Sebahagian daripada mereka tawaquf (tidak lagi aktif) walaupun masih menjadi ahli. Kesemua mereka hanya kembali kepada sediakala apabila PAS disingkirkan oleh BN.

Ketika PAS berura-ura untuk berkerjasama dengan Parti Semangat 46 (S46), sekali lagi berlaku kegelisahan di peringkat akar-umbi khususnya di Kelantan. Hasil daripada kegelisahan tersebut, lahirlah golongan yang menggelar diri mereka sebagai Islah, yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan ulama. Mereka telah mengambil sikap untuk menentang PAS dalam PRU tahun 1990. Akhirnya golongan inilah pula bersekongkol dengan UMNO yang pernah ditohmahkan dengan label yang tidak sanggup didengar oleh telinga. Bagaimanapun situasi ini agak lebih ringan kerana Parti Semangat 46 tidak dilihat sebagai UMNO dan mereka sanggup menerima Islam sebagai al-Din.

Yang paling terakhir ialah pada tahun 1998, ketika almarhum Ustaz Fadzil mengambil pendirian untuk menziarahi Anwar Ibrahim ketika beliau diambang kejatuhan. Tindakan almarhum tidak begitu disenangi oleh beberapa pimpinan PAS dan mewujudkan kegelisahan di peringkat akar-umbi. Mujurlah, selepas itu berlaku pemecatan Anwar yang seterusnya menyatukan kaum Melayu sehingga tidak memungkinkan kegelisahan dalam PAS itu terus berkembang. Pimpinan PAS dan ahli-ahli yang gelisah sebelum itupun turut sama bersimpati dengan Anwar, lalu membenarkan tindakan almarhum yang dibuat atas kebijakan politiknya sendiri. Sekiranya episod reformasi tidak berlaku kemungkinan sejarah 1990 akan turut berulang.

Sebenarnya banyak lagi episod-episod seumpama ini berlaku dalam PAS semenjak daripada almarhum Ustaz Ahmad Fuad sehinggalah hari ini. Kesemua ini berlaku atas dasar kecintaan semua pimpinan dan ahli kepada dasar perjuangan PAS untuk meninggikan kalimah Allah swt. Oleh sebab itu, isu muzakarah atau muqabalah ini tidaklah begitu besar sekiranya dibandingkan dengan beberapa peristiwa yang pernah berlaku dalam PAS. Yang penting ialah kesetiaan ahli kepada PAS sebagai wadah menegakkan Islam di samping keterbukaan mereka terhadap kebijakan politik yang dilakukan oleh pimpinan tertinggi. Mereka perlu memberi kepercayaan kepada pimpinan yang mereka lantik sendiri melalui forum yang sah dalam parti.

Setiap kepimpinan yang bersilih-ganti mempunyai kebijakan politik mereka masing-masing. Almarhum Ustaz Fadzil yang begitu dikagumi dari segi kebijakan politiknya, turut mendapat kritikan hebat khususnya di awal-awal beliau menerajui PAS. Ketika itu usia kepimpinan beliau masih terlalu muda ketika keputusan di buat untuk bergabung dengan S46. Jika dibandingkan usia kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi hari inipun yang baru menjangkau enam tahun, masih terlalu awal untuk kita menilai kebijakan politik beliau. Demikian jugalah dengan Ustaz Nasharuddin yang baru menjangkau empat tahun menjawat Timbalan Presiden, sudah tentu memerlukan kematangan yang lebih dalam usianya yang masih muda.

Dalam situasi ini, sudah pastilah yang sangat dituntut ialah kematangan politik supaya setiap tindakan pimpinan dan ahli PAS tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menghancurkan parti dan hubungan dengan PR. Sayyidina Ali ketika ditanya tentang kekalutan yang belaku dalam kepimpinan beliau menjawab: "Sewaktu Abu Bakar dan Umar memerintah, pengikut-pengikutnya seperti aku, manakala sewaktu aku memerintah, pengikut-pengikutnya adalah seperti kamu". Sekiranya ahli-ahli PAS seperti penarik beca dan lain-lain meneladani kata-kata Saiyyidina Ali ini, maka situasi yang berlaku dalam PAS tidak akan menjadi tsunami, sebaliknya hanyalah ombak besar yang terjahannya hanya sampai ke tepian pantai.

Wednesday 23 July 2008

Bagaimana Kalau UMNO Mahu Bertaubat?

Ketika blog ini mengulas tentang khabar-khabar angin pertemuan pimpinan tertinggi PAS dan pimpinan tertinggi UMNO sebulan yang lalu, seorang moderator akhbar internet Tranungkite menyatakan ulasan tersebut tersasar. Hari ini, jelaslah ulasan tersebut bukan berasaskan kepada berita-berita tepi jalan, sebaliknya daripada sumber maklumat yang boleh dipercayai. Seperti yang dijangkakan pertemuan (muqabalah) ini telah menimbulkan pandangan pro dan kontra, malah dianggap boleh menyebabkan perpecahan di dalam PAS sendiri. Beberapa pemerhati politik temasuk dari kalangan ahli PAS seperti blog penarik beca telah begitu ghairah memainkan isu ini walaupun terdapat banyak maklumat yang salah dipaparkan seperti berkaitan dengan pemergian pimpinan PAS ke London.

Sebagai sebuah parti yang mendukung Islam sebagai matlamat perjuangan, PAS sudah semestinya tidak harus terikat dengan mana-mana pihak dalam memastikan teras perjuangannya tercapai. Persefahaman PAS dengan PKR dan DAP adalah atas dasar untuk sama-sama menolak kezaliman yang dilakukan oleh BN bukannya untuk menghancurkan teras Islam dan Melayu yang menjadi asas pembinaan negara Malaysia. Tindak-tanduk pimpinan bukan Islam daripada DAP dan PKR tidak menghormati asas-asas ini, seperti berdemontarasi meminta azan tidak dilaungkan ke luar masjid dan menghalang pembinaan surau adalah satu tindakan yang melampau.

Sememangnya kemenangan PAS turut disumbang oleh golongan bukan Islam, tetapi kemenangan DAP dan PKR juga turut disumbang oleh golongan Islam termasuk ahli-ahli PAS yang berada di seluruh negara. Sekiranya PAS boleh bersabar untuk tidak bermain dengan isu-isu sensitif seperti Negara Islam dan Hukum Hudud, mengapa DAP dan PKR tidak boleh turut berbuat demikian? Sekiranya PAS boleh bertolak ansur untuk tidak menuruti tuntutan penyokong tegarnya buat masa ini, mengapa DAP dan PKR tidak boleh bertolak ansur untuk turut tidak menuruti tuntutan penyokong tegarnya pula? Keadaan yang tidak memihak kepada PAS ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Setiap parti politik seperti PAS, DAP dan PKR mempunyai penyokong tegar masing-masing. Bagaimanapun jumlah penyokong tegar ini sekitar 30% daripada keseluruhan pengundi, selebihnya adalah pengundi yang tidak berparti. Sememangnya penyokong tegar ini mempunyai tuntutan masing-masing yang mahu parti yang mereka sokong menunaikan tuntutan itu. Penyokong tegar PAS sudah tentu menuntut dilaksanakan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya hukum-hukum Islam sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan PAS. Manakala penyokong tegar DAP pula menuntut konsep Malaysian Malaysia yang telah lama diperjuangkan. Jelas PAS boleh bertolak-ansur dalam memenuhi kehendak penyokong tegar mereka tetapi tidak bagi DAP dan PKR.

Kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) juga semakin terpinggir sepertimana yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Dalam keadaan PR belum memerintah negara, kedudukan PAS telah dipencilkan, betapa pula selepas kemasukan 30 orang MP yang disebut-sebut oleh Anwar Ibrahim selepas ini. Mereka ini besar kemungkinan terdiri daripada golongan bukan Islam Sabah dan Sarawak. Sekaligus golongan bukan Islam ini akan menjadi majoriti di kalangan MP PR. Bagaimana pula nasib PAS dan agenda politik Islam yang diperjuangkan olehnya. Dengan kedudukan yang tidak seimbang ini, mungkinkan tuntutan supaya azan tidak dilaungkan ke luar masjid akhirnya akan tertunai.

Kesemua perkiraan dan kemungkinan ini tidak boleh dipandang kecil, maka saf kepimpinan tertinggi PAS tidak boleh berdiam diri. PAS memerlukan alternatif-alternatif lain sekiranya perkiraan dan kemungkinan tersebut berlaku. Bibit-bibitnya mulai kelihatan berdasarkan gelagat yang ditunjukkan oleh pimpinan bukan Islam daripada DAP dan PKR. Oleh sebab itu, tindakan pimpinan tertinggi PAS bertemu dengan pimpinan tertinggi UMNO adalah sebagai persediaan sekiranya bibit-bibit tersebut menjadi kenyataan. Apakah selepas agenda politik Islam dipencilkan sebaliknya konsep Malaysian Malaysia dijulang, barulah pimpinan tertinggi mencari alternatif secara gelabah?

Sekiranya PAS boleh memaafkan Anwar, mengapa tidak PAS tidak boleh memaafkan Pak Lah. Semasa Anwar dalam UMNO serangan-serangan PAS tertuju kepadanya, tetapi kemudian dosa-dosa Anwar itu dimaafkan selepas beliau tersingkir daripada UMNO. Sekiranya Pak Lah tersingkir daripada UMNO dan bersekutu dengan PAS, maka dosa-dosanya turut akan dimaafkan oleh PAS sebagaimana Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn dahulu. Malah kalau Dr Mahathir bersekutu dengan PAS, diyakini PAS turut akan memaafkan Dr Mahathir. Dari segi rekod politik, sehingga kini tindakan Pak Lah terhadap PAS adalah yang paling ringan berbanding dengan Tunku, Tun Hussien, Dr Mahathir dan Anwar sendiri.

Pada zaman Tunku lah ramai pimpinan-pimpinan PAS dipenjarakan termasuklah Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada zaman Tun Hussien pula, PAS disingkirkan dari BN dan Kelantan ditawan dengan cara politik Gestapo. Pada zaman Dr Mahathir, berlakunya Tragedi Memali dan lain-lain penindasan terhadap PAS. Anwar yang ketika itu berada dalam kerajaan UMNO langsung tidak bersuara ketika kawan lamanya Ustaz Ibrahim Libya dibunuh. Akan tetapi kesemua dosa-dosa mereka boleh dimaafkan oleh PAS selepas mereka tersingkir daripada UMNO dan bersekutu dengan PAS. Mengapa pula apabila dengan Pak Lah, PAS tidak boleh berlapang dada untuk memaafkannya.

Pak Lah telah memulakan inisiatif awal dengan mewujudkan suasana kondusif kepada hubungan PAS dan UMNO dengan membenarkan harakah diterbit dua kali semingggu dan mengembalikan royalti petroleum negeri Trengganu. Sekiranya Pak Lah mencadangkan persempadanan semula bagi mengembalikan dominasi politik Melayu-Islam sebelum PRU akan datang apakah PAS tidak perlu menyokongnya? Hubungan PAS dan UMNO tidak semestinya duduk satu parti, sebaliknya hubungan kedua-dua parti seumpama hubungan MCA dan DAP. Meskipun mereka berlainan parti tetapi saling bersinergi untuk menjulang agenda politik mereka. Maka mengapa tidak PAS dan UMNO? Apakah apabila Pak Lah dan UMNO ingin bertaubat, maka PAS tidak boleh memaafkannya?

Tuesday 1 July 2008

Kes Liwat: Konspirasi Najib atau Konspirasi Anwar?

Buat kali kedua rakyat Malaysia dipersaksikan dengan satu lagi peristiwa dakwaan kes liwat, kali ini sekali lagi membabitkan Anwar Ibrahim. Bagaimanapun dakwaan kali ini benar-benar menjadi penentu kepada keadaan politik negara yang begitu meruncing, iaitu ketika teraju kepimpinan negara tidak diketahui akan beralih ke tangan siapa. Empat individu yang dilihat berpotensi untuk berada di tempat tertinggi teraju kepimpinan negara ialah Pak Lah, Najib Tun Razak, Anwar dan Tengku Razaliegh. Keempat-empat mereka mempunyai peluang yang begitu seimbang untuk menerajui negara. Apa-apa senario yang berlaku dalam tempoh terdekat ini mampu mengubah senario politik negara dan menabalkan salah seorang mereka.

Oleh sebab itu, kes dakwaan liwat ini merupakan satu faktor yang begitu penting boleh menentukan senario politik itu. Pak Lah awal-awal lagi menafikan beliau terlibat dengan konspirasi tersebut. Manakala Tengku Razaliegh pula tidak mungkin terbabit dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar kerana setakat yang diketahui beliau tidak mempunyai orang-orang kuat yang boleh bertindak ala-gestapo dan mafia. Malah kedua-dua Pak Lah dan Tengku Razaliegh dilihat tidak akan mendapat kesan langsung dari segi politik sekiranya isu dakwaan itu akan menjadi isu penentu dalam politik negara. Maka tinggal dua individu yang akan terkesan secara langsung iaitu Anwar dan Najib.

Selepas tersebarnya dakwaan itu senario politik negara kelihatan mengimbau semula kepada simpati rakyat terhadap peristiwa pemecatan Anwar hampir satu dekad yang lalu. Peristiwa itulah yang telah menyebabkan majoriti kaum Melayu bersimpati dengan Anwar sehingga simpati itu diterjemahkan ke dalam bentuk sekongan politik dalam Pilihanraya Umum 1999. Sokongan itu bagaimanapun mulai berkurangan dengan tertabalnya Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Sokongan majoriti kaum Melayu pada tahun 1999 sememangnya diakui berpunca daripada simpati terhadap Anwar dan boleh dikatakan ketika itulah pembangkang mendapat sokongan majoriti kaum Melayu.

Faktor Anwar ini mulai merosot selepas Pilihanraya Umum 1999 dan berterusan sehinggalah Anwar disumbat ke dalam penjara. Seruan reformasi Anwar yang bercampur-baur dengan simpati terhadapnya bagaimanapun terus ditiup oleh penyokong-penyokong kuat Anwar seperti Ezam dan rakan-rakannya. Bagaimanapun menjelang tahun 2004 setelah Dr Mahathir meletakkan jawatan sokongan terhadap Anwar itu semakin merosot. Fenomena kemerosotan ini dibuktikan melalui peti-peti undi pada Pilihanraya Umum 2004. Kemungkinan selepas menyedari bahawa Anwar tidak lagi menjadi faktor politik yang penting dalam senario politik, terdapat usaha-usaha untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan yang dilemparkan.

Tidak dinafikan selepas pembebasan itu pengaruh Anwar kembali meningkat sedikit tetapi tidaklah seperti yang berlaku seperti sejurus selepas pemecatannya pada tahun 1998. Sokongan terhadap Anwar ini dengan seruan reformasinya mulai mendapat tempat di kalangan kaum bukan Melayu, manakala kaum Melayu tidaklah begitu banyak berubah. Malah agak menghairankan juga apabila rakan-rakan lama Anwar dalam ABIM, PKPIM, JIM dan lain-lain juga turut meragui masa depan Anwar dalam politik. Keputusan Pilihanraya Umum 1999, merupakan antara petunjuk yang penting kepada sokongan kaum Melayu dan bukan Melayu kepada Anwar.

Dengan tercetusnya isu terbaru tentang liwat ini, dilihat telah mengimbau semula sokongan masyarakat Melayu kepada Anwar. Rakan-rakan lama Anwar mulai menzahirkan simpati termasuklah melalui proksi mereka seperti PKPIM. Akhbar internet Malaysiakini pula menyatakan bahawa isu ini akan menaikkan semula reputasi Anwar dalam senario politik negara. Sememangnya sukar dan tidak bertanggungjawab untuk menuduh Anwar merancang ini semua untuk tujuan itu sebagaimana tuduhan Dr Mahathir bahawa Anwar menumbuk dirinya sendiri. Bagaimanapun kemungkinan itu tidak seharusnya diketepikan betapa pula tiada telahan dibuat oleh kebanyakan pemerhati politik tentang itu.

Tuduhan liwat terhadap Anwar ini sememangnya satu perbuatan yang melampau kerana cuba membunuh nama baik lawan politik dengan cara yang begitu jijik. Pandangan majoriti rakyat terhadap imej baik Anwar boleh tergugat sekiranya pihak pendakwa benar-benar berjaya menunjukkan dakwaan itu berlaku. Menyedari hakikat tersebut kemungkinan untuk Anwar merancang sendiri konspirasi itu agaklah kecil kerana isu ini amat berisiko terhadap Anwar. Sekiranya kita menerima tanggapan ini maka, tidak boleh tidak pihak yang merancang itu sebagaimana tuduhan Anwar ialah Najib. Jika benar Najib yang terlibat sebagai dalang, maka telahan kebanyakan pemerhati politik ada kebenarannya.

Berdasarkan kemungkinan-kemungkinan tersebut, maka isu berkaitan dengan gambar budak yang diliwat dengan Pegawai Khas Najib ini mungkin boleh menjadi penentu yang terbaik. Pegawai Khas Najib itu ialah Khairil Anas Jusoh. Beliau sebenarnya bekas lulusan UIA dan University of Cambridge dalam bidang undang-undang. Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Edward De Bono yang terkenal sebagai tokoh yang memperkenalkan banyak kaedah berfikir. Khairil Anas ini seorang yang agak Islamik yang mendapat tarbiyah ABIM dan dipercayai beliaulah antara yang membantu Najib dalam memperkenalkan beberapa idea seperti Melayu Glokal.

Bagaimanapun Khairil Anas ini pula sememangnya merupakan penyokong Anwar yang agak kuat. Gambar-gambar beliau di rumah Anwar semasa pemecatan Anwar tahun 1998 boleh menjadi bukti keterlibatannya menyokong Anwar semasa reformasi dahulu. Semasa di kampuspun beliau merupakan antara pengkagum Anwar serta mengenali ramai pembantu-pembantu rapat Anwar seperti Khalid Jaafar. Persoalannya sekarang kepada siapakah kesetiaannya diberi. Adakah Khairil Anas masih setia kepada Anwar atau beliau telah berpaling kepada Najib. Hanya beliau yang tahu di mana kesetiaannya dan kemungkinan beliaulah lebih mengetahui siapakah berkonspirasi.