Sunday 31 August 2008

Sehingga Sumpahpun Tidak Lagi Dipercayai

Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh sememangnya diduga, tetapi pertambahan majoriti yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang biasa. Secara keseluruhannya keputusan pilihanraya ini menandakan rakyat sudah tidak lagi mempercayai apa sahaja sumber yang datang daripada pihak berkuasa. Rakyat Malaysia sudah menjadi seperti rakyat negeri Kelantan yang tidak mempercayai apa sahaja pengkhabaran yang dibawa dari saluran pihak berkuasa melalui media massa. Perkara ini sebenarnya telah ditunjukkan pada Pilihanraya Umum yang lalu lagi, sehingga rakyat mula beralih kepada media-media alternatif seperti internet dan blogger.

Sepasukan pengkaji dari Universiti Malaya telah membuat kajian tentang trend penerimaan pengundi terhadap pengkhabatan yang dibuat oleh media-media perdana. Keputusannya lebih 40% daripada pengundi telah beralih kepada pengkhabaran maya yang lebih diyakini kebenarannya. Peratusan ini sebenarnya diterjemahkan kepada peratusan undi popular pembangkang yang hampir mencapai 50% dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Dari segi politik nasional, trend penerimaan rakyat seperti ini akan menjadikan pihak yang berkuasa akan semakin sukar memperkukuhkan kedudukan dan jauh sekali untuk menstabilkan politik dalam negara ini.

Sekiranya rakyat sesebuah negara mempunyai trend seperti ini, bermakna apa sahaja propaganda dan penerangan yang dilakukan oleh kerajaan akan dianggap palsu. Secara langsung menunjukkan tiada lagi tali penghubung antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan tidak lagi dapat menyampaikan dasar dan pendirian mereka untuk disebarkan kepada rakyat. Media yang sepatutnya menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat telah lumpuh. Sebaliknya rakyat lebih senang mempercayai sumber-sumber yang tidak diketahui sumbernya, walaupun mereka sedar sumber itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka dalam situasi seperti ini mana-mana kerajaanpun akan goyang.

Berkemungkinan bila menyedari senario seperti ini, maka pihak berkuasa menggunakan pula satu kaedah untuk meyakinkan masyarakat Islam iaitu dengan bersumpah. Bersumpah ini adalah sebagai satu kaedah bagi meyakinkan mana-mana pihak setelah seseorang itu tiada bukti lain yang boleh menyokong dakwaannya. Sumpah dalam Islam ini ada beberapa kategori termasuklah yang paling ringan seperti qasam sehingga yang paling berat seperti mubahalah. Menyedari bahawa trend rakyat sekarang sudah tidak lagi menerima propaganda media-media perdana, maka beberapa pihak telah mengambil langkah bersumpah. Sumpah yang dilakukan oleh mereka sehinggalah ke tahap yang paling berat.

Begitu mengejutkan apabila rakyat tidak juga boleh menerima perakuan oleh mereka-mereka yang bersumpah ini. Rakyat yang beragama Islam diyakini bukanlah tidak mempercayai kaedah bersumpah ini tetapi tidak mempercayai orang yang dianggap menyalahgunakan kaedah ini. Perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang baru kerana dalam al-Quran sendiri menukilkan ada golongan yang menjadi sumpah-sumpah ini sebagai perisai bagi melindungi kesalahan diri mereka. Episod sumpah ini seharusnya dilihat oleh semua pihak bahawa rakyat Malaysia hari ini bukan lagi mereka yang boleh diperbodohkan, sebaliknya mereka telah mempunyai anjakan kefahaman politik yang lebih baik.

Wednesday 20 August 2008

Sekali Lagi UMNO Perak Ikut Pintu Belakang

Penahanan dua Exco Kerajaan Negeri Perak dilihat sebagai satu lagi percubaan UMNO Perak untuk meragut kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri tersebut. Sehingga kini masih tidak diketahui apakah peranan BPR Perak sama ada dipergunakan oleh UMNO Perak atau turut memainkan peranan penting. Samsiah Abu Bakar yang menerajui BPR Perak sememangnya mempunyai 'track record' yang meragukan di kalangan pihak-pihak tertentu di negeri itu. Tuduhan rasuah terhadap seorang hakim Mahkamah Syariah Perak masih lagi menjadi bualan mulut masyarakat negeri ini khususnya, iaitu sejauh mana kebenaran BPR turut terlibat untuk memerangkap hakim tersebut?

Sebelum ini UMNO Perak telah melakukan tawar menawar terhadap PAS Perak untuk menggagalkan pembentukan kerajaan PR sejurus selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu. Bermacam saluran digunakan oleh UMNO Perak bermula dengan meminta Mufti Perak sebagai orang tengah untuk mempelawa PAS bekerjasama dengan UMNO. Mufti ini dikatakan menghubungi pimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri untuk tujuan tersebut. UMNO Perak juga menggunakan Ziyad menantu Tajul Rosli yang pernah bergiat dengan PAS di luar negara untuk mengemukakan tawaran tersebut. Tawaran yang cuba diberikan kepada pimpinan PAS Perak bukan 'kecil-kecil anak'.

Bagaimanapun PAS menunjukkan kesetiaan yang tinggi bersama PR walaupun tawaran yang dikemukakan oleh UMNO Perak sebenarnya lebih lumayan. Setelah melalui episod tarik menarik yang panjang, akhirnya kerajaan PR di Perak berjaya juga dibentuk dan usaha UMNO Perak untuk masuk melalui pintu belakang gagal. Tindakan UMNO Perak menggunakan saluran Mufti Perak tersebut bukan sahaja memburukkan nama UMNO Perak sebaliknya turut memalit nama Mufti tersebut. Beliau yang pernah mendapat tempat di hati pencinta-pencinta Islam sebelum ini, sekarang tidak lagi boleh dipercayai kerana terlibat dengan satu usaha kotor bersama UMNO Perak.

Setelah gagal memancing PAS, UMNO Perak cuba pula memancing ADUN-ADUN dari PKR dan DAP. Sebagaimana yang di dakwa oleh pimpinan DAP, Perak tawaran yang dikemukakan kepada ADUN-ADUN tersebut cukup besar, berkali ganda lebih besar daripada tawaran kontraktor yang sekadar bernilai lebih sedikit RM 100 ribu. Bagaimanapun ADUN-ADUN tersebut menunjukkan setiakawan yang tinggi dan tidak sanggup mengkhianati amanah rakyat yang mengundi mereka. Dikhabarkan antara ADUN yang ditawarkan sogokan lumayan itu termasuklah dua Exco yang ditahan oleh BPR. Sekali lagi cubaan UMNO untuk masuk ikut pintu belakang gagal.

Laporan terhadap BPR telah dibuat dengan butiran yang lengkap termasuklah nombor telefon penyogok dan SMS yang terlibat dalam sogokan tersebut. Sehingga hari ini Samsiah Abu Bakar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan aduan rasuah oleh pimpinan PR itu. Kepantasan beliau jauh berbeza dengan apa yang beliau lakukan dalam kes penahanan dua Exco Perak ini. Beliau yang beridolakan Rafidah Aziz turut meneladani idola tersebut yang diragui oleh banyak pihak tentang kesuciannya. Nama Samsiah Abu Bakar dan BPR Perak kini turut disenarai hitam bersama Mufti Perak oleh pihak-pihak yang mempejuangkan nasib rakyat dan kerajaan yang telus.

Penahan dua Exco Perak ini merupakan satu lagi episod UMNO Perak untuk menumbangkan Kerajaan PR melalui pintu belakang. Dikatakan Exco Perak yang merupakan ADUN Changkat Jering ditahan bersama seorang lelaki yang ingin bertemu beliau di sebuah restoran. Lelaki tersebut datang bersama sebuah beg. Baru sahaja dua tiga minit bercakap BPR telah bertindak menahan Exco tersebut dan beg lelaki tersebut telah dirampas. Menurut satu sumber kesemua wang dalam beg tersebut telahpun siap 'ditanda' untuk dijadikan bahan bukti sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah. Kes seperti mengingatkan kepada perangkap yang dibuat oleh PAS Johor terhadap wakil UMNO yang menyogok calon PAS pada PRU tahun 2004 yang lalu supaya menarik diri. Sampai sekarang kes yang dilaporkan kepada BPR itu senyap sunyi.

Manakala Exco Perak yang nerupakan ADUN Behrang pula ditahan di pejabatnya. Tidak diketahui adakah ditahan atas kes yang sama. Sekiranya dilihat kepada maklumat yang dikemukakan oleh BPR kepada Mahkamah bagi tujuan menahan reman beliau, seolah-olah kesnya berlainan. Beliau dikatakan meminta wang sejumlah RM 5000 daripada seorang yang tidak dikenali. Kelihatan kes beliau ini menyamai kes sogokan terhadap Hakim Mahkamah Syariah Perak sekiranya dilihat dari segi modus operandi pihak yang terlibat. Jumlah RM 5000 bukanlah satu jumlah yang besar berbanding sogokan yang pernah ditawarkan kepada beliau untuk melompat parti.

Isu penahanan Exco Perak ini bersama bekas ADUN Bota dari PKR mungkin bersifat serampang dua mata, iaitu menjatuhkan Kerajaan Perak melalui pintu belakang dan menjejaskan peluang Anwar Ibrahim dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Sebab itulah individu PKR yang dilibatkan bukannya DAP. Sekali lagi media cuba memainkan peranannya untuk mencapai maksud ini. Sepatutnya BPR tidak mengheboh-hebohkan penahanan tersebut termasuklah memasukkan unsur-unsur yang belum pasti seperti rasuah seks. Dalam kes binaan runtuh di Gerik akhir tahun lalu, ketika BPR ditanya adakah kemungkinan Tajul Rosli akan turut disiasat, BPR dilihat sangat menjaga kerahsiaan siasatan. Mengapa tidak pada kali ini?

Saturday 16 August 2008

Dr Asri kah Penasihat Saiful?

Sekiranya benar tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) adalah konspirasi, maka mungkinkah Dr Asri salah seorang daripada konspiratornya? Tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari yang 'kebetulan' dibuat sehari sebelum penamaan calon bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah atas pandangan Dr Asri. Sekiranya Dr Asri jadi bertanding bagi merebut kerusi tersebut atas tiket BN, maka kesangsian atas kemungkinan tersebut amat tipis sekali. Malah kalau beliaulah calon BN sudah pasti isu sumpah Saiful itu akan menjadi isu beliau yang utama dalam kempen tersebut. Nasib baiklah beliau tidak terdorong untuk menerima pelawaan BN tersebut sekaligus memperlihatkan beliau masih 'setia'.

Tindakan Dr Asri mencadangkan supaya Saiful dan DSAI bermubahalah benar-benar menimbulkan lagi kecelaruan dalam senario politik Malaysia. Cadangan tersebut telah digunakan sebaik mungkin oleh BN untuk dijadikan isu politik bagi menghadapi DSAI dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Meskipun Saiful menyatakan tindakannya bukan atas dorongan politik, tetapi tindakan beliau telah digunakan sebaik mungkin oleh pimpinan UMNO termasuklah bekas ahli UMNO Dr Mahathir. Peranan yang dimainkan oleh pihak media pula telah menjadikan rakyat semakin keliru terhadap penyelesaian Islam tentang isu tersebut. Kesemua ini adalah hasil daripada pandangan Dr Asri.

Sumpah yang dilakukan oleh Saiful ini sukar ditentukan untuk dikategorikan di bawah peruntukan hukum yang mana. Adakah sumpah boleh ini dikategorikan di bawah Mubahalah, al-Yamin atau Li`an. Sekiranya sumpah Saiful ini hendak dikategorikan di bawah Mubahalah, maka banyak keraguan yang boleh ditimbulkan. Demikianlah juga sekiranya hendak dikategorikan di bawah al-Yamin seperti pandangan Presiden Persatuan Peguam Syari`e, pun banyak pertikaian yang boleh ditimbulkan. Jika hendak dikategorikan sebagai Li`an, lagilah banyak pertikaiannya.

Mubahalah seperti yang terdapat dalam Islam adalah bersandarkan kepada ayat 61 Surah Ali Imran. Para ulama tafsir seperti Ibn Katsir telah merujukkan ayat ini kepada peristiwa Rasulullah s.a.w. didatangi oleh sekumpulan Kristian daripada Najran berdasarkan kepada riwayat-riwayat yang kuat. Setelah berlaku pertikaian terhadap dakwaan mereka bahawa Isa a.s. adalah Tuhan atau anak Tuhan dan juga tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini mencabar golongan Kristian tersebut bermubahalah. Diriwayatkan Rasulullah s.a.w. membawa Ali, Fatimah, Hassan dan Hussain r.a. ke sebuah tempat bagi menunggu golongan Kristian itu bermubahalah, tetapi akhirnya mereka enggan.

Sekiranya Mubahalah ini hendak dijadikan sandaran, maka tuduhan liwat ini tidak sesuai dibandingkan dengannya. Mubahalah yang dikehendaki oleh ayat al-Qur'an ini adalah berkaitan dengan persoalan yang begitu besar iaitu `aqidah seperti persoalan benarkan Isa a.s. anak Tuhan yang ditimbulkan oleh golongan Kristian dari Najran tersebut. Demikianlah juga berkaitan dengan sama ada Ibn `Arabi sesat ataupun tidak seperti contoh yang diberikan oleh Dr Asri. Pertikaian-pertikaian seperti ini tiada jalan lain untuk diselesaikan melainkan kemuncak kepada pertikaian atau perdebatan tersebut bolehlah dilakukan mubahalah. Manakala pertuduhan liwat mempunyai jalan yang tertentu seperti yang terdapat dalam hukum hudud.

Berkenaan dengan al-Yamin pula, sumpah Saiful ini tidak bertepatan langsung dengan hukum al-Yamin seperti dalam prosedur mahkamah yang terdapat dalam hukum-hukum Islam. Ulasan Presiden Persatuan Peguam Syar`ie bahawa sumpah Saiful mempunyai Taghliz boleh dipertikaikan kerana al-Yamin sepatutnya dilakukan di hadapan hakim atau Qadhi atas tuntutan beliau. Dengan pengertian lain al-Yamin ini dilakukan dalam perbicaraan mahkamah bukannya seperti dilakukan oleh Saiful yang kemudiannya diikuti dengan sidang akhbar. Malah hukum asal al-Yamin itu sebenarnya dituntut ke atas mereka yang didakwa setelah mereka tiada bukti dan saksi untuk menafikan dakwaan itu, dan dalam kes ini yang didakwa ialah DSAI.

Lebih daripada itu al-Yamin tidak terpakai dalam kes-kes yang berkaitan dengan hudud dan Qisas. Menurut Wahbah al-Zuhayli dalam kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Fuqaha bersepakat terhadap enam syarat al-Yamin dan beliau menyebut syarat yang kelimanya ialah ia tidak berlaku dalam kes-kes hudud dan Qisas. Dalam melakukan al-Yamin ini tidak terdapat kalimah la`nat seperti yang terdapat dalam li`an, sebaliknya cukup dengan bersumpah atas nama Allah s.w.t atau sifat-sifatNya. Maka sumpah yang dilakukan oleh Saiful tidak langsung menepati syarat-syarat al-Yamin seperti yang terdapat dalam hukum Islam, malah dilakukan sebelum bermulanya perbicaraan mahkamah.

Manakala sekiranya hendak dikaitkan sumpah Saiful ini dengan hukum Li`an, lagilah tidak mempunyai asas langsung. Seperti yang diulas oleh Utusan Malaysia sumpah Saiful ini berkaitan dengan ayat 4-9 Surah al-Nur, jelas sekali ayat-ayat ini berkaitan dengan hukum Qazaf dan Li`an. Dalam ayat-ayat tersebut khususnya ayat 6 menyebutkan dengan terang sekali tentang hukum Li`an adalah berkaitan dengan kes suami-isteri. Pendirian Tuan Guru Abdul Hadi tentang perkara ini adalah tepat, iaitu hukum Li`an langsung tidak terpakai dalam kes tuduhan Saiful ini. Oleh sebab itu, sumpah Saiful ini walaupun hampir menyamai lafaz Li`an tidak boleh dikategorikan sebagai Li`an.

Sumpah Li`an seperti yang terdapat dalam ayat ini bukan dilakukan sekali sepertimana yang dibuat oleh Saiful. Dalam ayat-ayat Surah al-Nur itu menyebut bahawa Li`an adalah untuk menggantikan empat saksi yang adil seperti yang dikehendaki dalam kes yang mensabitkan perlakuan zina. Maka sesorang yang mendakwa pasangannya berzina hendaklah bersumpah empat kali dan diikuti yang kelima la`nat Allah s.w.t. ke atasnya sekiranya dia berdusta. Oleh kerana itu, sumpah yang dilakukan oleh Saiful ini bukan sahaja tidak tepat dari segi dasarnya malah teknikal melakukannya pun tidak bertepatan dengan kehendak Islam. Jelas sekali sumpah tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai Li`an.

Maka sumpah Saiful ini tidak diketahui dalam kategori mana, Mubahalah, al-Yamin atau Li`an. Tindakannya bersumpah dilihat lebih didorong oleh motif politik sekiranya dilihat dari segi masanya. Kalaulah benar beliau ingin menjadikan sumpahnya sebagai Mubahalah, maka beliau perlu menunggu bila DSAI boleh bersumpah sekali dengannya di suatu masa dan tempat yang tertentu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. DSAI juga pernah menyebut sekiranya ulama yang dipercayai berpendapat wajar bermubahalah, maka beliau sanggup menyahut cabaran. Mengapa Saiful tidak boleh menunggu masa dan tempat yang ditetapkan sehingga Mubahalah itu benar-benar mengikut seperti yang dilakukan Rasulullah s.a.w.

Siapakah penasihat agama Saiful dalam melakukan sumpah ini?