Tuesday 28 October 2008

Harapan Baru Kepada Pemuda PAS

"Ketepikan dahulu sentimen perkauman yang menjadi nyawa politik UMNO". "Mulakan satu era baru politik Malaysia yang benar-benar berteraskan kepada Islam". "Terjemahkan slogan PAS Untuk Semua". "Bina keyakinan orang Melayu bahawa hanya Islam yang boleh menjamin survival mereka". Demikianlah beberapa ungkapan yang meletakkan harapan setinggi gunung kepada PAS untuk merealisasikan keadilan Islam. Harapan itu datang dari semua lapisan rakyat sama ada Melayu, Cina atau India. Tidak dapat dinafikan bahawa PAS lah satu-satunya parti politik di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, justeru harapan untuk melihat keadilan Islam itu terletak di bahu PAS.

Bagaimanapun setelah lebih setengah setahun diberi kesempatan yang agak terbatas itu, PAS kelihatan masih teragak-agak untuk melaksanakan Islam yang diperjuangkan olehnya. Sebaliknya PAS mengambil alih peranan UMNO yang terbawa-bawa dengan politik perkauman yang tidak mempunyai asal-usulnya daripada Islam. Sebelum PAS memperolehi kesempatan ini, pimpinan-pimpinan PAS selalu menyebut "sekiranya Islam memerintah, maka Malayu, Cina dan India akan selamat". Malangnya prinsip politik seperti itu sehingga kini masih dihantui oleh keresahan politik perkauman ala UMNO. Sehingga kini rakyat masih tertunggu-tunggu di mana janji-janji manis PAS itu untuk melaksanakan keadilan Islam.

Sebelum mempunyai kuasa yang terbatas ini, PAS sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa Islam pada bila-bila masa sesuai dengan masyarakat majmuk. Model masyarakat majmuk di Madinah ketika pemerintahan Rasulullah saw dijadikan sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan dengan isu ini. Sebaliknya selepas PAS berkuasa penuh sekurang-kurangnya di dua negeri dan berkongsi kuasa di dua buah negeri yang lain, jawapan yang dikemukakan sebelum ini seperti dirasakan tidak lagi sesuai. PAS kelihatan terus tertekan dengan 'hantu raya' semangat perkauman UMNO sehingga teragak-agak untuk melaksanakan model masyarakat Madinah tersebut.

Masyarakat bukan Islam tiada masalah apabila Pemuda PAS Selangor menentang konsert Ella semasa sambutan 100 hari Pakatan Rakyat. Mereka juga tiada masalah ketika Kerajaan Kelantan mengharamkan premis judi suatu ketika dahulu. Kaum Cina tiada masalah ketika PAS memperjuangkan supaya mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Kaum India tiada masalah sewaktu PAS memperjuangkan nasib sekolah agama rakyat yang ditekan oleh UMNO. Kesemua isu-isu ini adalah selari dengan perjuangan PAS dan mereka menghormati prinsip perjuangan PAS tersebut. Mereka cuba memahami bahawa PAS tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip-prinsip Islam.

Bagaimanapun mereka mula mempersoalkan, mengapa Kerajaan Kedah menetapkan kuota 50% untuk bumiputera bagi projek-projek perumahan. Mereka mula bertanya mengapa Exco Negeri Selangor daripada PAS menentang perlantikan seorang wanita Cina memangku pengurusan PKNS. Apakah pendirian PAS tentang perkara-perkara ini berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang didukung oleh mereka. Adakah PAS berpegang dengan prinsip Islam berkaitan dengan keperluan perumahan rakyat dalam isu kuota 50%? Adakah PAS berpegang dengan prinsip Islam berkaitan dengan perlantikan bukan Islam dalam perkara yang berkaitan wilayah al-tanfiz seperti dalam isu PKNS?

Sistem politik Islam sememangnya syumul dan adil. Islam telah mendahului Barat dalam memastikan hak-hak kemanusiaan dan hak-hak rakyat dalam bernegara. Kesemua pekara itu telah dihadam oleh pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli PAS dalam program-program usrah, tamrin, liqa dan sebagainya. Hari ini prinsip-prinsip yang telah dihadamkan itu menuntut kepada pelaksanaan. PAS perlu yakin dengan keadilan prinsip-prinsip itu dan melaksanakan 'without fear and favor'. Biarkan 'hantu raya' semangat perkauman UMNO mati bersama-sama dengan UMNO yang sudah siap sedia untuk dikuburkan. Yakinlah, sekiranya Islam dilaksanakan semua kaum akan terjamin hak-hak mereka.

Kesempatan yang tidak sampai lima tahun ini perlu direbut oleh PAS untuk menunjukkan keadilan sistem politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. Usaha ini akan menjadi dakwah bil hal yang terpenting, yang akan membuka hati-hati golongan bukan Islam untuk memeluk Islam. Sejarah telah membuktikan khususnya ketika Islam memerintah di Andalus, manusia berbondong-bondong memeluk Islam setelah melihat sistem sendiri sistem politik yang adil. Setelah lebih 50 tahun UMNO menghijabkan hati golongan bukan Islam terhadap Islam, maka kesempatan 5 tahun ini sangat-sangat perlu dimanfaatkan oleh PAS. Sekiranya tidak, kemungkinan PAS akan kembali semula kepada 'zero' selepas ini.

Seminar berkaitan dengan Siyasah Shar`iyyah yang diusahakan oleh Pemuda PAS baru-baru ini diharapkan bakal menjadi 'turning point' kepada usaha ini. Pemuda PAS merupakan harapan baru untuk mendesak pelaksanaan sistem politik Islam dalam negeri-negeri yang PAS mempunyai kuasa. Setiap tindakan kerajaan Negeri perlu disuluh dengan Siyasah Shar`iyyah, bukannya bisikan 'hantu raya' politik perkauman UMNO. Sesungguhnya sistem politik Islam telah terbukti lebih 1400 tahun yang lalu memberi keadilan kepada semua manusia. Beban untuk memperlihatkan keadilan itu kini terletak di bahu PAS, manakala Pemuda PAS adalah tulang belakangnya.

Thursday 16 October 2008

Mengapa PAS Kedah Lebih Nasionalis Dari UMNO

Sekonyong-konyong kita dikejutkan dengan keputusan Kerajaan Negeri Kedah untuk menaikkan kouta bumiputera dalam projek perumahan di negeri itu sebanyak 50%. Tindakan itu sukar difahami adakah berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam yang menjadi teras perjuangan PAS atau berdasarkan prinsip-prinsip nasionalis yang menjadi teras perjuangan UMNO. Yang jelas tindakan itu menunjukkan kerajaan yang diterajui oleh PAS lebih nasionalis daripada UMNO, yang sebelum ini hanya menetapkan kouta sebanyak 30% sebagaimana semangat DEB. Jika begitu apa perbezaannya antara UMNO dengan PAS dalam politik?

Kalaulah PAS Kedah mendakwa bahawa mereka berbeza dengan UMNO kerana ketelusan pentadbirannya, maka apa pula perbezaannya dengan DAP? Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP juga mementingkan ketelusan, malah mungkin lebih telus daripada kerajaan negeri Kedah. Kehidupan Ketua Menterinya juga amat sederhana seperti juga kehidupan Tuan Guru Nik Aziz yang menjadi Menteri Besar Kelantan. Kalau begitu, apa bezanya kerajaan PAS Kedah yang mendukung prinsip-prinsip Islam dengan kerajaan DAP yang mendukung prinsip-prinsip sosial-demokratik. Maka PAS Kedah dilihat menyerupai UMNO dalam Nasionalisme dan menyerupai DAP dalam semangat Sosial-demoktarik.

Setelah hampir setengah tahun PAS mendapat kemenangan hasil daripada kurniaan ALlah melembutkan hati orang-orang bukan Islam, sehingga hari ini PAS masih gagal untuk menonjolkan kebaikan prinsip-prinsip Islam yang didukunginya. Sebaliknya rakyat di negara ini dikejutkan pula oleh tindakan PAS Kedah yang lebih nasionalis daripada UMNO. Adakah keputusan PAS Kedah ini didorong oleh keputusan yang berdasarkan kepada Fiqh Islami atau semangat perkauman yang ditiru daripada UMNO. YAB Menteri Besar Kedah merupakan seorang yang alim dalam bidang Usul al-Fiqh, maka apakah tindakan kerajaannya menurut ilmu yang dipelajarinya?

Dalam Usul al-Fiqh, ada satu kaedah yang menyebut "tindakan ketua negara ke atas rakyatnya perlu dipertimbangkan menurut maslahah". Maka adakah tindakan menaikkan kouta ini berteraskan kepada maslahah untuk kepentingan rakyat yang turut meliputi orang Melayu dan bukan Melayu. Dalam Usul al-Fiqh juga ada menggariskan Maqasid al-Shariah yang antara lain bertujuan untuk menjaga kepentingan dan keperluan manusia. Persoalan keperluan perumahan ini dalam Islam boleh diketegorikan kepada Dharuriyyat dalam perkara menjaga kepentingan harta atau sekurang-kurangnya Hajiyyat. Kalau menurut PBB pula keperluan perumahan dikategorikan sebagai 'basic needs'.

Sekiranya keperluan perumahan itu termasuk dalam Dharuriyyat atau sekurang-kurangnya Hajiyyat, maka sesebuah kerajaan yang berteraskan Islam perlu mangmbil kira kepentingan itu untuk memenuhi keperluan rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama. Sebagaimana juga dalam persoalan menjaga nyawa, nasab, akal dan maruah, sesebuah kerajaan Islam turut bertanggungjawab terhadap rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama, maka demikianlah juga keperluan perumahan yang termasuk dalam persoalan menjaga harta. Jadi, apakah kerajaan PAS Kedah boleh menjawab di hadapan ALlah swt nanti, adakah mereka telah menunaikan tanggungjawab itu terhadap rakyat negeri Kedah.

Sepatutnya kerajaan PAS Kedah membuat kajian berapa ramaikah lagi rakyat di Kedah yang tidak mempunyai rumah kediaman? Berapa ramaikah rakyat Kedah yang rumah kediaman mereka tidak sesuai dengan saiz keluarga? Berapa ramaikah rakyat Kedah yang masih menumpang di tanah saudara-mara atau menjadi penghuni-penghuni setinggan? Berapakah kemampuan rakyat Kedah untuk membeli sesebuah rumah? Apakah kategori rumah yang mampu-beli bagi rakyat yang tiada rumah kediaman? Persoalan-persoalan seperti ini yang sepatutnya di terokai oleh kerajaan PAS Kedah sebelum menentapkan sesuatu dasar berkaitan dengan perumahan. Kesemua persoalan ini ada kaitan dengan menjaga maslahah rakyat dan menunaikan keperluan dharuriyyat.

Setelah adanya kajian tersebut, kerajaan Negeri Kedah boleh menetapkan polisi yang sesuai dengan keperluan rakyat Kedah. Sebagai contoh, kerajaan PAS Kedah boleh menetapkan kouta 50% bagi setiap projek perumahan hendaklah rumah kos sederhana, atau kouta 30% untuk rumah yang mampu-beli dengan kos RM 30,000 ringgit. Kerajaan PAS Kedah juga boleh menetapkan umpamanya kouta 30% diberikan kepada rakyat yang tidak memiliki rumah tanpa mengira kaum dan agama. Sekiranya kaum Melayulah yang ramai tidak memiliki rumah dan tidak mampu memiliki rumah dengan kos yang tertentu, maka kouta itu secara tidak langsung memberi kebaikan kepada mereka. Dasar-dasar seperti inilah yang menepati prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sebaliknya pertimbangan Fiqh seperti ini diketepikan mungkin kerana mahu bersaing dengan UMNO siapakah yang lebih nasionalis. Sepatutnya kerajaan PAS Kedah yang diberi peluang oleh ALlah swt melalui undi orang-orang bukan Islam menonjolkan keadilan pemerintahan Islam, mengambil kesempatan yang tidak sampai lima tahun ini untuk tujuan tersebut. Tempoh lima tahun ini tidak sepatutnya digunakan untuk menonjolkan mereka lebih nasionalis daripada UMNO. Masih belum terlambat untuk kerajaan PAS Kedah menarik balik dasar ini. Sekiranya tidak, percayalah rakyat khususnya yang bukan Islam akan melihat PAS dan UMNO tiada beza.

Monday 13 October 2008

Kalaulah Endon Masih Hidup

Sepertimana Dr Mahathir, ramai juga pemerhati politik Malaysia yang agak terkejut dengan keputusan Pak Lah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Sekiranya Pak Lah terus berpendirian untuk mempertahankan jawatan tersebut, hampir pasti beliau akan dicalonkan semula oleh bahagian-bahagian UMNO yang mula bersidang sehari selepas beliau meletakkan jawatan. Bahagian-bahagian UMNO akan menyokong mereka yang sedang berkuasa. Sekuat-kuat pengaruh Dr Mahathir, selepas beliau meletakkan jawatan tidak seorangpun yang menyokongnya melainkan mereka yang memang kagum dengan kelicikan politiknya dan cengkaman kediktatorannya.

Kedudukan Pak Lah sebenarnya masih kukuh kerana kebanyakan ahli MT UMNO dan kabinet masih bersama-sama dengannya. Kecuali Zaid Ibrahim, apa sahaja tindakannya yang tidak popular seperti menaikkan harga petrol dan diesel serta penangkapan ISA tetap disokong oleh MT UMNO dan kabinet. Beliau dan teamnya dipercayai masih lagi menguasai media yang menjadi faktor terpenting menentukan pengaruh seseorang dalam UMNO dan BN. Beliau juga masih mendapat sokongan ahli-ahli komponen BN sehingga hari ini Anwar dan PR masih sukar untuk merampas teraju kerajaan. Oleh sebab itu, agak mengejutkan bila Pak Lah memilih untuk berundur.

Pak Lah sememangnya lebih toleran berbanding dengan Dr Mahathir. Kalaulah Dr Mahathir berada ditempat Pak Lah kemungkinan Muhyidin Yassin sekarang sedang menghadapi tuduhan liwat atau apa-apa lagi tuduhan yang pelik. Kemungkinan juga pekung Muhyidin akan mula dibongkar sedikit demi sedikit oleh pihak media. Muhyidin dikatakan sebagai orang yang membangkitkan kemungkinan Pak Lah tidak akan mendapat sokongan bahagian-bahagian UMNO dalam Mesyuarat MT. Kalau Pak Lah bertindak seperti ini dipercayai Muhyidin dan mereka yang senadanya dengannya akan bersegera kembali mencium tangan Pak Lah.

Lebih daripada itu Pak Lah begitu lembut dengan musuh politiknya dan kadangkala membelakangkan rakannya yang sebenar. Kesilapan Pak Lah ini dapat dilihat apabila beliau tidak memberi jawatan kabinet kepada Radzi Sheikh Ahmad sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO. Pak Lah kemudiannya melantik 'musuh' politiknya Tengku Adnan Tengku Mansor memegang jawatan tersebut. Perlantikan Tengku Adnan tersebut sebenarnya meletakkan pisau ke tengkuk Pak Lah, kerena Tengku Adnan sememangnya dikenali rapat dengan Dr Mahathir. Hubungan mereka terserlah dalam kes VK Linggam.

Selain daripada itu, Pak Lah juga tidak bijak dalam strategi politiknya, apabila menganggap Ku Li sebagai musuh politik utama. Ku Li dan Pak Lah pernah berada satu team untuk menghadapi Dr Mahathir, tetapi Pak Lah seperti langsung tidak kembali membina jambatan dengan Ku Li. Kalaulah selepas pilihanraya baru-baru ini, Pak Lah melantik Ku Li sebagai menteri kabinet, dipercayai Ku Li boleh menjadi saingan yang rapat terhadap Najib kerana kekananannya. Kalau Ku Li berada dalam kabinet, setidak-tidaknya MT UMNO dan Kabinet tidak didominasikan oleh team Najib. Kembalinya Ku Li dalam kabinet merupakan ancaman besar kepada Najib, bukanlah Pak Lah.

Tidak diketahui secara jelas siapakan penasihat sebenar Pak Lah dalam percaturan politik ini. Kemungkinan Khairy Jamaluddin sebagai penasihat dalam tindakan-tindakan ini adalah tipis. Pak Lah kelihatan menjadi paranoid setelah Dr Mahathir menyerangnya habisan-habisan kerana mengikut nasihat menantunya. Walaupun Khairy masih mentah dalam politik, setidak-tidaknya nasihat beliau telah berjaya mempengaruhi Pak Lah untuk membebaskan mahkamah dalam perbicaraan rayuan kes Anwar Ibrahim. Sekurang-kurangnya Khairy telah berjaya memperkukuhkan pengaruh Pak Lah menguasai media.

Kekuatan Pak Lah sebenarnya memang terletak kepada Khairy dan teamnya. Manakala Khairy dan teamnya pula sangat bergantung kepada kedudukan Pak Lah untuk terus naik dalam UMNO. Bagaimanapun selepas PRU Mac yang lalu Pak Lah seperti diserang paranoid untuk terus mendengar nasihat menantutnya disebabkan tuduhan-tuduhan Dr Mahathir dan konco-konconya. Situasi ini menyebabkan kedudukan Pak Lah makin goyah ditambah pula dengan ramainya 'gunting dalam lipatan' di kalangan angggota MT UMNO dan Kabinet. Apabila Pak Lah menyatakan hasratnya untuk berundur, maka dengan sendiri kedudukan Khairy sangat terancam dalam Pemuda UMNO.

Kelihatan Khairy dan mereka di sekeliling Pak Lah tidak lagi berupaya untuk menasihati Pak Lah berhubung dengan tindakan-tindakannya dalam politik. Pak Lah benar-benar merasai kehilangan Endon yang menjadi tulang belakangnya dalam kerjaya politik. Ketika Endon masih hidup, beliau banyak memberi sokongan yang padu di samping nasihat yang tepat terhadap kedudukan politik Pak Lah. Dikatakan atas nasihat Endon, Pak Lah tidak menyertai Semangat 46 sebaliknya kembali semula dalam UMNO. Nasihat itulah yang kemudiannya memungkinkan Pak Lah berada di kedudukan PM sekarang. Kalaulah Endon masih hidup mungkin keadaan politik Pak Lah sekarang berubah.