Sunday 1 November 2009

Tangkapan Dr Asri: Satu Lagi Perangkap?

Apabila Najib mengisytiharkan bahawa BN akan merampas semula kerajaan negeri Selangor, maka perisytiharan itu bukanlah kosong. Najib pasti mengarahkan seluruh jentera, termasuklah golongan 'intelligence' untuk mencapai hasrat tersebut. Sama ada disedari atau tidak pelbagai isu mula dilalui oleh kerajaan PR Selangor sehingga perpaduan di kalangan parti-parti semakin retak. Malah bukan sekadar perpaduan antara parti, sebaliknya perpaduan dalam parti-parti komponen PR seperti PAS Selangor juga turut goyah. Dengan pengertian lain, cakap Najib bukan cakap kosong.

Salah satu laluan yang diguna oleh Najib dan UMNO ialah memanfaatkan para pengikut setia mereka yang menjawat jawatan penting dalam jabatan-jabatan kerajaan di negeri Selangor. Dalam isu rampasan bir yang dilakukan oleh pegawai-pegawai MBSA, rampasan itu dilakukan tanpa mendapat terlebih dahulu persetujuan ahli-ahli majlis. Sebaliknya pegawai yang bertindak dilaporkan mendapat arahan langsung daripada pimpinan UMNO negeri. Berikutan dengan itu, berlakulah pertelingkahan antara dua Exco, iaitu Dr Hassan Ali yang mewakili PAS dan Ronnie Liu yang mewakili DAP.

Dalam kes perobohan binaan yang didakwa kuil oleh MBSA, sekali lagi modus operandi yang sama digunakan. Pegawai itu bertindak tanpa mendapat persetujuan ahli-ahli majlis, sedangkan isu seumpama ini adalah merupakan isu sensetiviti perkauman. Dalam isu-isu seumpama ini, seharusnya persetujuan ahli-ahli majlis diambil perhatian oleh pegawai-pegawai MBSA. Tindakan yang dilakukan telah dimanipulasi semaksima mungkin oleh MIC dengan mendakwa kerajaan PR Selangor merobohkan kuil. Seorang Exco negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan rumah penyembahan bukan Islam telah menyelar MBSA.

Kini yang terbaru ialah isu penangkapan Dr Asri, bekas Mufti negeri Perlis oleh JAIS. Beliau telah ditangkap malam tadi ketika menyampaikan kuliah yang turut dihadiri oleh YB Saari Sungip dan YB Zuraidah Kamaruddin. Penguatkuasa agama telah melakukan penyerbuan dan tangkapan secara tidak beradab seperti Dr Asri seorang pesalah jenayah dan benar-benar seperti pemimpin ajaran sesat. Siapakah sebenarnya yang mengarahkan penguatkuasa JAIS membuat tindakan yang tidak rasional seperti itu. Dikhabarkan bahawa tindakan mereka ini adalah atas desakan UMNO Ulu Kelang, kalaupun ia bukanlah arahan.

Mengulas perkara ini Harakahdaily telah mendapatkan maklumbalas YB Saari dan YB Zuraidah, yang kedua-duanya kelihatan tidak senang dengan tindakan JAIS tersebut. Namun begitu apabila ditanya pandangan Dr Hassan Ali, beliau telah menyokong tindakan JAIS dengan mengatakan bahawa setiap yang berceramah mestilah mempunyai tauliah. Kenyataan beliau kelihatan menyebut bahawa Dr Asri mengengkari undang-undang berkaitan dengan agama Islam di Selangor. Respon dari kedua-dua pihak tanpa diselidungkan lagi memaparkan bibit perpecahan yang ketara dalam kerajaan PR Selengor.

Tangkapan yang dibuat terhadap Dr Asri oleh JAIS akan menjadi isu besar yang akan dimanipulasikan oleh UMNO. Sewaktu hadir di Mahkamah Syariah, Dr Asri turut diiringi oleh beberapa tokoh-tokoh UMNO termasuklah Shamsuddin Moner dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JEK), selain daripada tokoh-tokoh SIS seperti Marina Mahathir. Dr Asri dikatakan akan bertemu dengan Jamil Khir selepas ini, dan diyakini para pimpinan UMNO akan bertindak mengecam JAIS disebabkan serbuan dan tangkapan tersebut. Sekali lagi kerajaan PR Selangor dijangkakan akan menghadapi kemelut berhubung isu tersebut.

Sehingga rencana ini ditulis, belum ada apa-apa pertuduhan dibuat terhadap Dr Asri. Sekiranya tiada pertuduhan dibuat seolah-olah tindakan mereka yang menyerbu dan menangkap seumpama 'baling batu sembunyi tangan'. Sekiranya dibuat pertuduhan JAIS dan kerajaan PR Selangor akan mendapat kecaman termasuk pimpinan UMNO yang akan menggunakan media mereka semaksima mungkin. Situasi ini benar-benar menjadikan kerajaan PR Selangor tersepit, lebih-lebih lagi Dr Hassan Ali sejak akhir-akhir ini sering ditanggap sebagai bermasalah. Dengan demikian, isu penangkapan Dr Asri ini merupakan saty lagi perangap UMNO.

Peranan yang dimainkan oleh pegawai kerajaan di negeri Selangor benar-benar berkesan. Golongan inilah yang menyalurkan maklumat tentang isu korban lembu di Bandar Tun Razak, membuat tindakan sendiri terhadap isu-isu yang berkaitan sensetiviti perkauman, mendesak dilakukan penilaian terhadap SELCAT dan yang terakhir bertindak untuk menangkap bekas Mufti Perlis. Setiap kali mereka bertindak akan bertambah lagi keretakan dalam PR Selangor, sehinggalah akhirnya hasrat Najib untuk merampas kembali Selangor akan tercapai. Bukankah kesemua ini satu parancangan yang teliti.

Wednesday 28 October 2009

Tok Guru Nik Aziz Selamatkan Prof Aziz

Dalam dunia akademik, seseorang ahli akademik akan dinilai kewibaannya berdasarkan kepakarannya yang mendalam, pandangannya yang tajam dan analisisnya yang tamam. Kesemuanya aspek ini selalunya akan diterjemahkan dalam bentuk bicara dan pena. Bagaimanapun, biasanya bicara seseorang ahli akademik itu kurang pemberatnya berbanding penanya. Hasil penanya kadang-kadang dipersembahkan dalam bentuk buku akademik, artikel ilmiah, kertas kerja dan rencana popular. Lazimnya, buku akademik yang diterbitkan oleh penerbit berautoriti dan artikel ilmiah yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal yang berwasit mempunyai nilai yang tinggi dalam dunia akademik.

Demikianlah kaedahnya untuk menilai kewibawaan seseorang ahli atau tokoh akademik, termasuklah Prof Aziz Bari. Beliau telah menempa nama yang hebat dalam dunia akademik di Malaysia. Prof Aziz telah menulis begitu banyak buku-buku akademik yang telah diterbitkan oleh penerbit yang berautoriti di dalam bidang Undang-undang Perlembagaan Malaysia. Demikian juga artikel-artikel ilmiah beliau telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal berwasit. Penerbitan beliau ini telah melayakkan beliau untuk dianugerahkan Professor, iaitu tahap tertinggi kepakaran dalam dunia akademik. Kewibawaan Prof Aziz dalam dunia akademik khususnya Perlembagaan Malaysia sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun kehebatan seseorang dalam dunia akademik tidak semestinya melayakkan dia turut menjadi hebat dalam dunia politik. Seorang tokoh akademik British pada kurun ke 16 - 17, Francis Bacon, boleh menjadi contoh dalam isu ini. Bacon sememangnya dikenali kehebatannya termasuk dalam bidang perundangan dan falsafah. Beliau telah menceburi dunia perundangan dan kemudiannya mengaplikasikan kaedah-kaedah perundangan itu dalam metodologi sains. Sungguhpun kehebatannya dalam dunia akademik, tetapi beliau tidak menyerlah dalam politik, malah boleh dikatakan beliau gagal dalam kerjaya politiknya.

Demikianlah juga, Bertrand Russell, seorang lagi tokoh akademik Britain pada kurun ke 19 - 20, turut melalui pengalaman yang sama dalam politik. Russell adalah tokoh sains sosial dan falsafah yang terkenal pada zamannya. Buku-buku dan artikel-artikel ilmiahnya sehingga hari ini masih mendapat tempat yang penting dalam dunia akademik. Beliau juga telah dianugerahkan Nobel Prize dalam bidang kesusasteraan sebagai anugerah berprestij dalam bidang tersebut. Beliau turut menguasai falafah politik. Bagaimanapun kecemerlangannya dalam dunia akademik tidak membawanya turut cemerlang dalam kegiatan dunia politik.

Badi yang sama mungkin terkena kepada Prof Aziz, sebagaimana yang pernah dihinggapi oleh tokoh-tokoh akademik Malaysia yang lain seperti Dr Syed Hussin al-Attas dan Chandra Muzaffar. Sesiapa yang membaca artikel beliau dalam Harian Sinar khususnya artikelnya yang mengulas tentang kekalahan PAS di Bagan Pinang boleh menilai kedangkalan analisisnya dalam dunia politik. Kalaulah Harian Sinar tidak menulis nama Prof Aziz sebagai penulisnya, sebagaimana kaedah 'blind review' yang selalu digunakan oleh jurnal-jurnal berwasit, pasti para pembaca akan menganggap artikelnya sebagai sampah.

Dengan menjadikan kekalahan di Bagan Pinang sebagai alasan memaksa PAS melakukan reformasi kepimpinan, jelas sekali menunjukkan kedangkalan analisis politik Prof Aziz. Dalam kaedah logik induktif yang turut juga digunakan dalam Falsafah Perundangan, satu premis (bukti) tidak cukup untuk dibuat satu generalisasi (kesimpulan umum) sebagaimana yang beliau lakukan. Betapa pula sebelum itu PAS telah memenangi kesemua siri pilihanraya kecil (PRK) yang berhadapan dengan UMNO, yang secara langsung melemahkan premis kekalahan di Bagan Pinang. Sepatutnya dalam mempertimbangkan gesaannya, Prof Aziz perlu melihat kerelevanan siri PRK tersebut.

Tidak diketahui apakah kaedah yang digunakan oleh Prof Aziz dalam membuat gesaan itu, adakah kaedah kuantitatif atau kualitatif. Diyakini beliau tidak menggunakan kuantitatif, kerana tiada satu argumen statistikpun dikemukakan untuk mengesahkan kepimpinan sekarang telah ditolak. Keputusan pengundian bukanlah satu kaedah kuantitaif yang tepat menggambarkan kehendak tersebut. Kalau beliau menggunakan kaedah kualitatif, sepatutnya ia dilakukan dengan membuat cerapan lapangan(observation) sebagaimana yang sering dilakukan oleh ahli akademik yang menggunakan kaedah ini. Besar kemungkinan beliau tidak turun ke Bagan Pinang untuk tujuan itu.

Tanpa mempunyai kaedah jitu berkaitan dengan penghujahan akademik, tiba-tiba sahaja beliau menulis mengulas senario politik yang berlaku. Dengan sebab itu, dari segi akademik artikel Prof Aziz itu tiada nilai ilmiahnya, sebaliknya dipersembahkan dengan menggunakan bahasa politik bukannya bahasa retorik. Sayang sekali artikel itu ditulis oleh seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia akademik, sedangkan nilai artikel itu seperti sampah dari sudut ilmiahnya. Demi sangkaan baik, bolehlah disebut bahawa artikel itu ditulis oleh Prof Aziz sebagai artikel popular di luar bidang kepakarannya.

Sekiranya tidak, nama baik Prof Aziz pasti tercalar dengan terbitnya artikel itu. Bagaimanapun nasib Prof Aziz agak baik, kerana artikel itu telah diberi perhatian penting oleh Tok Guru Nik Aziz, seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia politik. Tok Guru Nik Aziz telah bertindak menghargai artikel tersebut dengan mengusulkan PAS mengadakan EGM. Kalau tidak, pasti artikel Prof Aziz ini menjadi nila kepada susu sebelanga. Setelah begitu banyak buku-buku dan artikel-artikelnya yang hebat, kesemuanya telah tercemar dengan terbitnya artikel seperti sampah yang disiarkan oleh Harian Sinar. Seharusnya Prof Aziz berterima kasih pada Tok Guru.

Saturday 12 September 2009

UMNO Menghantar Pengkaji ke Jepun

Tanpa diduga Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah memerintah Jepun secara berterusan selama 54 tahun, telah kecundang dalam Pilihanraya Kebangsaan Jepun akhir bulan lalu. Parti LDP begitu banyak berjasa untuk membawa negara matahari terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Bagaimanapun dalam pilihanraya baru-baru ini parti itu kecundang kepada sebuah parti pembangkang baru, iaitu Parti Demokratik Jepun (DPJ), sebuah parti yang cenderung kepada haluan sederhana-kiri.

Kekalahan mengejut LDP ini telah mencatatkan sejarah baru dalam politik Jepun apabila sebuah parti paling kuat dan berpengaruh tumbang di tangan parti baru, yang langsung tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah. Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada krisis dalaman LDP yang memuncak ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri sebelum ini Junichiro Koizumi pada tahun 2006. Ekoran kekalahan itu, Perdana Menteri Jepun Taro Aso, yang memimpin LDP dan beberapa pemimpin kanan parti itu mengumumkan perletakan jawatan bagi memikul tanggungjawab kekalahan teruk LDP.

Berikutan dengan kekalahan LDP itu, UMNO sebagai tunjang BN yang memerintah Malaysia telah menghantar sebuah kumpulan untuk mengkaji faktor-faktor kekalahan LDP tersebut. UMNO benar-benar bimbang nasib LDP ini akan menimpa mereka berkebetulan umur pemerintahan UMNO akan genap 54 tahun menjelang ulangtahun kemerdekaan negara pada tahun 2011 kelak, iaitu beberapa bulan sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Malah bukan sekadar umur, faktor-faktor kekalahan LDP yang lain juga telah ada pada UMNO.

Ramai pemerhati politik melihat dasar liberalisasi LDP sejak tahun 1990 an menyumbang kepada kekalahan besar parti itu. Dasar liberalisasi tersebut telah memberi tumpuan kepada golongan peniaga dan korporat dan mengabaikan rakyat teramai. Kesannya dasar tersebut telah melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Jepun. Dasar yang sama telah dilaksanakan oleh Malaysia sejak era pemerintahan Dr Mahathir pada dekad 1980 an. Bagaimanapun pelaksanaannya pada ketika itu secara terpilih.

Pada dekad 1990 an, Dr Mahathir melonggarkan sedikit lagi dasar kawalannya terutama dalam sektor tertentu seperti pendidikan dan teknologi komunikasi sehinggalah berlakunya krisis kewangan tahun 1997. Semasa era pemerintahan Pak Lah, dasar liberalisasi ini diperluaskan kembali oleh penasihat-penasihat Pak Lah di tingkat empat. Salah satu bukti yang jelas ialah perkongsian kepentingan asing di Wilayah Iskandar di samping beberapa dasar yang lebih liberal seperti dasar yang berkaitan dengan teknologi automatif.

Semasa era Najib hari ini, beliau dilihat lebih agresif memperkenalkan dasar liberalisasi ini. Baru-baru ini, beliau telah bertindak melonggarkan kawalan pemilikan saham asing. Beliau juga telah memberikan komitmen untuk meneruskan dasar perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat yang masing tergantung sehingga hari ini. Malah dalam ucapan beliau melancarkan program 1 Malaysia, dasar liberalisasi kelihatan turut diberikan penekanan penting. Kesan dasar ini akan melebarkan lagi jurang golongan kaya dan miskin yang telah sedia lebar sebelum ini.

Sepertimana LDP, UMNO masih mengharapkan kesetiaan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus menyokong mereka. Kesetiaan orang Jepun kepada pemerintah sememangnya dikenali dunia, sehingga dianggap sebagai ciri-ciri tamadun mereka yang penting. Sehingga kini institusi raja di Jepun masih dikekalkan disebabkan semangat kesetiaan itu, walaupun peranan Maharaja Jepun itu tidaklah sepenting dahulu. Kesetiaan mereka itulah turut menjadi faktor LDP kekal begitu lama sejak 54 tahun lalu.

Selain daripada itu, kepimpinan LDP yang kerap bertukar khususnya semasa dekad 1990 an turut menyumbang rakyat terus meletakkan harapan kepada mereka. Setiap kali berlakunya pertukaran kepimpinan, maka rakyat akan meletakkan harapan baru kepada parti itu. Perdana Menteri Jepun sebelum ini, Junichiro Koizumi, adalah antara yang paling lama memegang jawatan iaitu dari tahun 2001 hingga 2006. Sepertimana LDP, UMNO juga sedang menggunakan pendekatan yang sama untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Penolakan rakyat terhadap LDP, turut diwarnai oleh kemunculan parti yang berhaluan sederhana-kiri seperti DPJ. Parti seperti ini lebih dilihat pro rakyat, bukannya pro korporat. Penolakan kepada parti-parti yang pro korporat seperti telah menjadi trend mutakhir ini bermula di Amerika Latin, dan yang terkahir di Jepun. Menarik sekali, lawan UMNO iaitu PAS, PKR, DAP, PRM dan PSM turut mempunyai ciri-ciri sederhana-kiri tersebut. Malah parti-parti itu telah mendapat tempat di kalangan golongan kelas menengah.

Fenomena-fenomena ini telah menyebabkan UMNO benar-benar bimbang. Diberitakan mereka telah menghantar para pengkaji untuk mengkaji kekalahan LDP di Jepun.

Monday 31 August 2009

Merdeka Kian Dilupakan

Hari ulangtahun ke 52 kemerdekaan Malaysia telah semakin dilupakan. Suasana Bulan Kemerdekaan yang disambut setiap tahun begitu hambar seperti tiada memberi erti lagi kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun kehambaran itu dikaitkan dengan kedatangan Ramadan yang dijadikan alasan oleh Kerajaan Malaysia sebagai faktor untuk tidak menyambut ulangtahun kemerdekaan secara besar-besaran dan meriah. Benarkah kehadiran bulan Ramadan itu menyebabkan Bulan Kemerdekaan itu disambut hambar?

Hakikatnya, tiada sebab untuk meletakkan kesalahan kepada bulan Ramadan. Sambutan Bulan Kemerdekaan boleh menjadi ibadat, sekiranya disambut dengan cara dan gaya yang menepati Islam. Sekiranya dengan menyambut Bulan Kemerdekaan boleh dikategorikan ibadat, maka setiap pahala yang dilakukan di bulan ini akan dilipat gandakan oleh Allah swt. Dengan menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan, maka jelas sekali sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini tidak boleh dikategorikan sebagai ibadat.

Sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini seringkali diwarnai dengan program-program maksiat sehingga kegiatan itu jika dilakukan oleh kita pada bulan Ramadan dibimbangi akan mencemarkan kesucian bulan tersebut. Lebih daripada itu, sambutan Bulan-bulan Kemerdekaan sebelum ini turut diwarnai dengan pembohongan, iaitu dalam menampilkan fakta-fakta sejarah berkaitan kemerdekaan. Kesemua itu tidak sayugia dilakukan dalam Ramadan kerana bulan itu adalah suci.

Demikianlah cara golongan sekular berfikir dalam melihat bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain. Larangan-larangan Allah swt itu hanya dijaga pada bulan Ramadan, di dalam masjid atau ketika berada di Tanah Suci. Di ketika dan tempat yang lain, larangan itu tidak dikuatkuasakan. Dalam sambutan ulangtahun kemerdekaan sebelum-sebelum ini, larangan-larangan Allah swt itu tidak dikuatkuasakan sehingga menyebabkan bila ulangtahun kemerdekaan disambut pada bulan Ramadan, kegiatan-kegiatannya dibimbangi mencemarkan bulan itu.

Thursday 27 August 2009

Isu Kartika: Dakwah Didahulukan, Shari`ah Didaulatkan

(Artikel dipertik dari blog http://mzuhdi.blogspot.com)
Sememangnya isu hukuman sebatan ke atas model Kartika Sari sekali lagi mengundang polemik di kalangan masyarakat Malaysia khususnya antara golongan pendakwah Islam dan golongan liberal. Keruncingan polemik ini bertambah dengan tindakan YB Dr Hassan Ali untuk memberi kuasa kepada pegawai-pegawai masjid di Negeri Selangor bagi menguatkuasakan enakmen-enakmen yang berkaitan dengan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. Seperti biasa, NGOs yang cenderung kepada idealisme liberal seperti Sister in Islam (SIS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) akan bersuara.

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan ini kadang-kadang bertindak disebabkan kejahilan mereka terhadap hukum-hukum Islam, malah berkemungkinan juga mempunyai agenda lain yang tersirat. Bagaimanapun, terdapat juga pandangan-pandangan mereka yang perlu dihargai oleh kita sebagai golongan pendakwah yang berjiwa besar. Karya peninggalan Sheikh Hasan al-Hudaibi, ‘Du`at La Quda’’ sewajarnya diterokai semula sebagai memberi panduan kepada PAS khususnya dalam berhadapan dengan isu-isu seumpama ini, betapa pula PAS telah diberi peranan penting di beberapa buah negeri.

Sebagai reaksi kepada hukuman sebat yang dikenakan kepada Kartika Sari, SIS telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

“"SIS percaya bahwa Islam adalah agama yang penuh kasih sayang yang memanggil manusia ke jalan Tuhan dengan cara bijaksana seperti disampaikan dalam Surah al-Nahl ayat 16. Kartika telah menyatakan penyesalan seharusnya pihak berkuasa Malaysia berusaha menunjukkan bahwa Tuhan itu maha pengasih dan penyayang khususnya memasuki bulan puasa Ramadan."

Secara umum reaksi seperti ini sememangnya mengguris hati para pendukung dakwah apalagi melihat reaksi-reaksi sebelum daripada ini. Namun demikian, bila kita merenung semula tinta Sheikh Hasan al-Hudaibi dan kedudukan PAS sebagai ‘Government in Waiting’, maka kita juga boleh mengambil reaksi SIS ini sebagai panduan penting bila kita diberi amanah memerintah.

Di dalam ‘Du’at La Quda’’, Sheikh Hasan al-Hudaibi telah menyarankan supaya pendakwah Islam menggunakan kaedah-kaedah Shari`ah yang tepat dan pertimbangan Islam yang mendalam dalam menghadapi manusia (sasaran dakwah). Beliau menegaskan bahawa peranan utama kita ialah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah swt dan berpegang dengan manhaj Islam, justeru kita perlu menghadapi golongan yang pelbagai pemikiran ini dengan penjelasan yang sahih dan menghindarkan kekeliruan. Ringkasnya, pendakwah Islam sepatutnya mendahulukan dakwah sebelum menghukum.

Dalam kes Kartika Sari ini, sememangnya hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh ditarik balik sebagaimana yang dituntut oleh SIS. Lebih daripada itu, Kartika Sari sendiri telah merelakan dirinya dihukum dengan tujuan ia menjadi pengajaran pula kepada orang lain. Tindakan Kartika Sari ini seharusnya dihargai sebagai satu usaha dakwah beliau. Para Fuqaha’ telah menulis tajuk yang khusus tentang topic ‘Adakah Bertaubat Menggugurkan Hukuman Hudud’. Menurut Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab al-Fiqh al-Islami:

Telah sepakat ulama bahawa apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Pemerintah atau Hakim, kemudian bertaubat pelakunya, maka hukum hudud tidak gugur malah wajib ditegakkan hukuman itu.

Malah Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta’:

اذا بلغت الحدود السلطان فلعن الله الشافع والمشفع

Maksudnya: Apabila kesalahan hudud telah diangkat kepada Sultan, maka Allah swt melaknat sesiapa yang hendak melepaskan pesalah dan yang meminta supaya dilepaskan.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pesalah telah bertaubat sebelum perkara itu diangkat kepada mahkamah, maka hukuman hudud itu boleh gugur kecuali jika ia berkaitan dengan hak manusia (hukum Qisas). Sebagai contoh dalam kes Hirabah (rompakan), para ulama bersepakat sekiranya perompak itu mendatangi hakim dengan sukarela dan pilihan sendiri untuk bertaubat dari kesalahannya maka gugurlah darinya hukuman dengan bersandarkan ayat ke 34 Surah al-Maidah:

إِلا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Kecuali mereka yang bertaubat sebelum ditentukan (hukuman) ke atas mereka, ketahuilah sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Meskipun ayat ini menyentuh tentang kesalahan Hirabah, ia juga menjadi hujah kepada kesalahan-kesalahan hudud yang lain.

Menyedari hakikat tersebut, tidaklah menjadi kesalahan malah dituntut, sekiranya seseorang Muhtasib (penguatkuasa) berdakwah terlebih dahulu kepada pesalah (khususnya yang melakukan kesalahan pertama) dengan memintanya bertaubat tidak mengulangi perbuatan tersebut. Tidak juga menjadi kesalahan kepada Muhtasib untuk tidak mengangkat kesalahan tersebut kepada mahkamah setelah pesalah yang melakukan kesalahan hudud itu bertaubat, kerana apabila kesalahan itu diangkat kepada mahkamah maka hukuman hudud tidak boleh lagi ditarik balik.

Dalam isu seumpama ini Rasulullah saw telah memberikan satu teladan yang sangat baik iaitu dalam kes ikrar seseorang penzina. Dalam sebuah hadis yang riwayat dari Abu Hurairah ra oleh al-Bukhari dalam membicarakan persoalan Hudud:

"Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina." Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau telah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): "Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia."

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja." Dia menjawab: "Tidak. Sebenarnya saya telah berzina."

Dan mengikut riwayat yang lain: "Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa." Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan dari Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya seperti diriwayatkan oleh Muslim dalam persoalan Hudud:

"Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: "Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah." Wanita itu berkata lagi: "Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma'iz bin Malik?" Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah masalah engkau?" Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah benar?" Wanita itu menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersalinlah dahulu." Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: "Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu." Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: "Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah." Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu."

Dari satu perspektif, kesemua kes pengakuan pengakuan ini telah cuba tidak diangkat oleh Rasulullah saw untuk dihukum, sebaliknya baginda menyuruh mereka bertaubat. Sehinggalah pesalah itu sendiri meminta supaya dirinya dihukum setelah membuat beberapa kali pengakuan, maka hukuman itu dijatuhkan. Di dalam Subul al-Salam, al-San`ani menyatakan terdapat riwayat yang menyatakan: “Ditinggalkan dia, moga-moga dia bertaubat dan Allah swt mengampunkan dosanya”. Menurut al-San`ani lagi, riwayat ini menjadi sandaran, sekiranya pesalah menarik balik pengakuannya (kerana mahu bertaubat) maka penarikannya diterima.

Berdasarkan kepada argumen-argumen di atas, para Muhtasib atau penguatkuasa sewajarnya mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dengan meminta pesalah bertaubat. Sewajarnya mereka perlu melakukan dakwah terlebih dahulu sebelum mengangkat perkara itu kepada mahkamah. Semoga dengan dakwah tersebut, pesalah akan bertaubat dengan bersungguh-sungguh, dan diampunkan dosanya oleh Allah swt. Pada pandangan saya, reaksi SIS dari perspektif positifnya boleh dilihat dari sudut itu, meskipun dari perspektif negatifnya mungkin lebih besar.

Demikianlah juga, kenyataan Dr Hasan Ali tentang perlantikan pegawai masjid sebagai penguatkuasa, sepatutnya menekankan aspek dakwah daripada aspek menghukum. Pada pandangan saya, lebih baik jika diumumkan bahawa pegawai masjid diberi tauliah untuk berdakwah kepada pesalah jenayah Shari`ah termasuk peminum arak dan mengambil tindakan-tindakan penguatkuasaan sekiranya tindakan itu perlu. Sebenarnya tiadalah perbezaan yang ketara dari segi ‘subtance’ nya tetapi ada perbezaan dari segi penampilannya. Hikmah seperti inilah yang cuba diketengahkan oleh Sheikh Hasan al-Hudaibi. Wallahu`alam.

Tuesday 30 June 2009

Rancangan Jahat UMNO ‘Makan Tuan’

Di dalam Sains Politik, konsep Kerajaan Perpaduan adalah merujuk kepada National Unity Government atau kadangkala disebut juga Unity Government. Konsep ini bermaksud kesemua parti politik dalam sesebuah negara bergabung membentuk sebuah kerajaan bersama bagi menghadapi situasi yang mendesak seumpama serangan musuh, bencana alam dan lain-lain. Dengan pengertian lain konsep Kerajaan Perpaduan itu berbeza daripada Kerajaan Campuran (Coalation Government).

Dalam sejarah politik moden, pembentukan sesebuah Kerajaan Perpaduan jarang-jarang sekali berlaku, berbeza dengan pembentukan Kerajaan Campuran. Dunia politik hari ini kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran terutama di negara-negara yang mengamalkan perwakilan berasaskan peratusan undi. Negara Indonesia merupakan antara contoh negara yang kerapkali menyaksikan pembentukan Kerajaan Campuran mutakhir ini.

Gagasan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS adalah merujuk kepada keterlibatan semua parti politik di Malaysia demi menghadapi situasi ekonomi global yang merudum. Dalam sebuah ucapannya di Parlimen, beliau menggagaskan perkara tersebut. Ketika gagasan ini dicetuskan UMNO sedang merancang peralihan kuasa daripada Abdullah Badawi kepada Najib Tun Razak. Peralihan kuasa ini seharusnya tidak berlaku ketika negara mula menghadapi kegawatan tersebut.

Kemelut politik dalam UMNO sepatutnya tidak mengheret negara dan rakyat untuk menerima apa-apa sahaja kehendak perwakilan UMNO termasuklah menukar taraju kepimpinan ketika negara dalam situasi tidak menentu. Betapa pula, bakal pengganti Abdullah Badawi adalah seorang yang kelihatan tidak bersih daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dengan kesedaran itu, Tuan Guru Presiden menyarankkan supaya kepentingan negara dan rakyat diutamakan melalui gagasan Kerajaan Perpaduan.

Dengan gagasan tersebut peralihan teraju kepimpinan negara tidak seharusnya berlaku, sebaliknya semua parti politik sama ada dalam PR dan BN bersama-sama membentuk kerajaan demi menghadapi kemelesetan. Sekiranya UMNO tetap meneruskan hasrat mereka menukar Presiden, keputusan ini tidak akan menjejaskan kerajaan, kerana kerajaan didukung oleh semua parti-parti politik. Sekiranya kesemua ahli-ahli Perlimen UMNO tetap mahukan Najib Tun Razak,, Abdullah Badawi masih mendapat sokongan majority dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Sikap UMNO yang ingin memaksakan hasrat mereka ke atas seluruh rakyat Malaysia ketika negara sedang menghadapi kegawatan jelas merupakan satu tindakan tidak patriotik. Kemelut dalaman UMNO tidak seharusnya dipikul oleh negara dan seluruh rakyat. UMNO seperti sebuah parti diktator untuk menentukan perjalanan politik negara secara unilateral. Maka, gagasan Tuan Guru Presiden memberikan satu alternative supaya masalah negara diselesaikan secara perundingan.

Bagaimanapun, ketika gagasan itu dicadangkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, tiada seorangun pimpinan UMNO yang berminat, jauh sekali untuk mengatakan Presiden PAS seorang yang ikhlas. Tidak ada sokongan padu daripada pihak-pihak lain termasuklah Mufti Perak. Malah ketika itu, UMNO terus mempertahankan pencabulan hak rakyat dan hak parti-parti politik lain melalui rampasan kuasa di Perak.

Secara tiba-tiba isu Kerajaan Perpaduan ini dibangkitkan semula oleh media menjelang Muktamar PAS dan berterusan sehingga selepas muktamar. Bukan sekadar itu, konsep Kerajaan Perpaduan itu disempitkan ruang-lingkupnya kepada pembentukan Kerajaan Campuran antara PAS dan BN. Gagasan Tuan Guru Presiden PAS tiada kait-mengait dengan kerjasama dua hala seperti yang difahami oleh UMNO. Namun demikian perkara inilah yang digembar-gemburkan.

Tindakan UMNO dan media-media yang pro kepadanya tidak sukar dibaca. Berdasarkan latar belakang bermulanya isu gagasan Kerajaan Perpaduan, jelas sekali sambutan pimpinan UMNO terhadap gagasan tersebut adalah untuk memecahkan PR dan menghakis kepercayaan terhadap pimpinan PAS yang baru dipilih. Tidak dapat dinafikan, fitnah jahat UMNO itu sedikit sebanyak mengeruhkan hubungan baik dalam PR.

Bagaimanapun UMNO lupa bahawa para pimpinan PAS seperti Tuann Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden adalah golongan ulama. Mereka bertindak tanpa ada sebarang kepentingan peribadi. Oleh sebab itu, mereka pada bila-bila masa boleh menarik balik pendirian mereka demi kepentingan perjuangan Islam dan menegakkan keadilan. Maka,, apabila Tuan Guru Mursyidul Am menarik balik kenyataannya dan Tuan Guru Presiden bertindak menghentikan cadangan beliau, fitnah jahat UMNO itu mulai tidak berkesan.

Seperti ‘biduk lalu kiambang bertaut’ persaudaraan Islam dalam PAS kembali bertaut dan hubungan dalam PR kembali pulih. Kini UMNO terus memainkan isu tersebut dengan sekali lagi cuba menyuburkan politik perkauman. Percakapan mereka tentang perkauman tersebut sekali lagi mencurigakan rakan-rakan mereka dalam BN. MCA mula mempersoalkan, bagaimana kalau mereka pula mengemukakan gagasan kesatuan Cina. Kini fitnah jahat UMNO itu telah ‘makan tuan’.

Friday 19 June 2009

Strategi Pecah dan Perintah UMNO

Dalam politik strategi ‘Devide and Rule’ atau ‘Pecah dan Perintah’ bukanlah sesuatu yang hanya baru digunakan di zaman moden ini. Sekiranya ditelusuri sejarah, strategi ini bukan hanya bermula setelah Machiavelli membincangkannya dalam The Art of War, tetapi berkemungkinan telah diaplikasikan sejak manusia mula bersengketa secara berkumpulan. Pemerintah Rom, Ceaser, dikatakan telah menggunakan strategi ini untuk menghadapi dan menguasai kaum Yahudi.

Semasa zaman Rasulullah saw, strategi ini juga digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan keutuhan umat Islam. Satu peristiwa yang dinukilkan sendiri oleh al-Quran berkaitan perkara ini ialah tindakan kaum Yahudi melaga-lagakan kaum `Aus dan Khazraj. Hasutan kaum Yahudi ini talah hampir-hampir mencetuskan peperangan di kalangan kedua-dua kabilah itu sehinggalah Rasulullah saw dengan pantas telah berjaya memadamkan api kemarahan tersebut. Berhubung dengan peristiwa ini Allah swt menurunkan ayat al-Quran surah Ali Imran, ayat 100 hingga 103 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus). Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

Sememangnya dimaklumi bahawa kaum Ansar dari kalangan kabilah `Aus dan Khazraj adalah tunjang kekukuhan negara Madinah pada ketika itu. Merekalah yang telah memberi kesanggupan yang tidak berbelah bahagi membela Rasulullah saw dan menolong saudara mereka dari kalangan Muhajirin. Menyedari perkara tersebut kaum Yahudi dan golongan munafik melihat bahawa tidak ada strategi lain untuk melemahkan negara yang diperintah oleh Rasulullah saw selain daripada melemahkan kaum Ansar.

Lalu merekapun mengaplikasikan strategi pecah dan perintah dengan mengapi-apikan semangat perkauman antara `Aus dan Khazraj. Kedua-dua kabilah hampir-hampir mencetuskan peperangan baru, yang kesannya akan melemahkan kekuatan negara Islam Madinah pada ketika itu. Rasulullah saw sebagai seorang Rasul menerima wahyu dan sebagai seorang pemimpin yang bijaksana cepat-cepat mencium strategi pecah dan perintah pihak musuh ini, lalu persengketaan itu dapat diselesaikan.

Ketika kuasa-kuasa imperialis Eropah menjajah dunia Islam, strategi yang sama digunakan. Mereka mengkaji dan mengenal pasti isu-isu sensetif yang dengan begitu mudah dicucuh untuk membakar api perpecahan di kalangan umat Islam. Antara isu-isu yang digunakan termasuklah semangat kebangsaan (nasionalisme) dan perbezaan mazhab. Dengan memenipulasikan isu-isu ini, umat Islam mula bersengketa dan akibat persengketaan itu, dengan mudah kuasa-kuasa ini menjajah dunia Islam.

Demi menyedari hakikat tersebut, Imam Hassan al-Banna menubuhkan Ikhwan al-Muslimin atau Persaudaraan Islam. Jelas sekali, antara tujuan terpenting beliau ialah menyatukan para pencintan Islam di bawah satu tujuan dan mengelakkan persengketaan yang tidak perlu sesama mereka. Visi dan misi Hassan al-Banna berkaitan persoalan ini termuat dalam Usul al-`Ishrin (Usul Duapuluh). Bagaimanapun, hari ini Ikhwan al-Muslimin turut tidak terkecuali daripada serangan yang berstrategikan pecah dan perintah oleh musuh-musuh mereka.

Demikianlah juga dengan PAS, tidak sunyi daripada menghadapi strategi ini. Hari ini, ramai pihak mengakui bahawa PAS adalah antara parti politik yang paling konsisten dan pengaruhnya semakin hari semakin bertambah. Dalam konteks senario politik terkini, PAS dianggap sebagai ‘King Maker’ yang mencorakkan politik Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sendi kekuatan PAS ialah kesatuan fikrah dan kesatuan bertindak di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

Semenjak era Kepimpinan Ulama, hampir tiada satu perselisihan pandangan yang mampu menggugat keutuhan PAS. Meskipun berlaku beberapa peristiwa perselisihan pandangan seperti kewujudan kumpulan Islah yang menentang kerjasama dengan Parti Melayu Semanngat 46, keretakan itu tidak berpanjangan. Sebaliknya, perselisihan tersebut telah menapis golongan yang sebelum ini menjadi bebanan kepada PAS disebabkan tindakan mereka yang dikaitkan dengan takfir.

Setelah hampir 40 tahun era Kepimpinan Ulama, sekali lagi PAS menghadapi perselisihan pandangan khususnya di kalangan pimpinan. Lazimnya perselisihan seumpama ini akan dapat diselesaikan melalui semangat syura sama ada di peringkat Majlis Syura Ulama atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Bagaimanapun ada sedikit kelainan pada kali ini, iaitu UMNO telah cuba menyuntik strategi pecah dan perintahnnya. Peranan ini dibantu oleh media-media massa yang pro-UMNO dan BN.

Cetusan idea Kerajaan Perpaduan oleh Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang tidak pernah langsung mengaitkan hanya hubungan PAS dan UMNO. Tuan Guru Presiden PAS telah menjelaskan bahawa gagasan itu akan melibatkan semua parti. Bagaimanapun, pimpinan-pimpinan UMNO dan media-media mereka mengelirukan rakyat termasuk ahli-ahli PAS sendiri dengan menyogokkan gagasan itu adalah antara PAS dan UMNO. Sehingga artikel ini ditulis, mereka terus menerus menyempitkan pengertian itu.

Strategi UMNO ini sememangnya sedikit sebanyak telah mewujudkan perselisihan yang agak runcing dalam PAS. Namun begitu sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa mengembalikan segala urusannya kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan dipimpin oleh para ulama. Saya percaya, strategi UMNO kali ini akan gagal, sebaliknya PAS akan bangkit semula dengan lebih kuat untuk menumbangkan mereka khususnya dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Wednesday 10 June 2009

Keutamaan Perpaduan Bagi PAS

Kemelut berkaitan dengan isu Kerajaan Perpaduan benar-benar telah dipergunakan oleh media-media Pro-Umno untuk menggugat keutuhan perpaduan dalam PAS. Tidak dapat dinafikan isu tersebut telah mewujudkan perselisihan pandangan bukan sahaja di kalangan ahli, tetapi juga di kalangan pimpinan. Bagaimanapun, perselisihan pandangan (khilaf) adalah merupakan perkara normal bagi sesebuah gerakan Islam yang kini telah menjangkau lebih 50 tahun usianya. Yang sangat dituntut dalam menghadapi situasi ini ialah adab al-ikhftilaf sehingga perselisihan pandangan itu membawa kebaikan kepada PAS.

Hukum perpaduan dalam Islam boleh jadi wajib dan boleh jadi haram. Dengan pengertian lain, dalam situasi tertentu perpaduan adalah wajib dan dalam situasi yang lain perpaduan itu boleh jadi haram. Hakikat ini dapat difahami daripada firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 2 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Jelas sekali ayat tersebut menyuruh supaya bekerjasama dalam perkara yang dikehendaki oleh Allah dan melarang diwujudkan kerjasama pada perkara yang dimurkai olehNya.

Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan sentiasa bertindak berpandukan kepada tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian, prinsip perpaduan seperti di atas akan menjadi dasar yang paling penting dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak di luar PAS. Seperti satu bidalan yang pernah diungkapkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, “PAS boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja untuk menegakkan tuntutan Allah swt malah sekiranya syaitanpun sanggup berbuat demikian PAS boleh berbincang.”

Selain daripada prinsip tersebut, PAS juga bertindak mengikut Fiqh al-Awlawiyat (Fiqh Keutamaan) dalam menilai pihak-pihak yang boleh dijalinkan kerjasama. Antara kesemua perpaduan itu, sudah pasti perpaduan dalam jamaah menjadi keutamaan yang tertinggi. Sebagai sebuah harakah Islamiyah yang berjuang mendaulatkan tuntutan Allah swt, perpaduan dalam harakah adalah terlebih utama. Keutuhan perpaduan yang ada dalam PAS menjadi faktor terpenting bagi melangsungkan perjuangan meninggikan kalimah Allah swt. Sehubungan dengan ini Allah berfirman dalam surah al-Saff ayat 4 bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Keutamaan perpaduan seperti ini dapat dilihat bilamana Rasulullah saw terlebih mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar, sebelum baginda mengambil tindakan untuk mewujudkan kerjasama dengan golongan bukan Islam di Madinah termasuklah kaum Yahudi. Peristiwa ini menjelaskan bahawa perpaduan di kalangan para pendukung Islam menjadi teras terpenting kepada kerjasama-kerjasama dengan pihak yang lain. Menyedari hakikat itu, perpaduan dalam PAS sewajarnya menjadi perkara paling utama bagi pimpinan dan ahli.

Dengan wujudnya perpaduan dalam PAS, maka para pimpinan telah menerokai pula kategori perpaduan peringkat kedua iaitu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menerima prinsip-prinsip perjuangan PAS, antara prinsip yang terpenting ialah menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman. Secara lebih khusus, PAS menamakan perpaduan kategori ini sebagai Tahalluf Siyasi (persepakatan politik). Penerokaan terhadap perpaduan kategori ini adalah memenuhi tuntutan al-Quran, antaranya firman Allah swt dalam surah al-Mumtahinah ayat 8 dan 9 bermaksud:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman juga adalah sebagai mengikuti tindakan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw yang menyukai Hilf al-Fudul (persepakatan fudul). Meskipun persepakatan itu berlaku semasa zaman jahiliyah, Rasulullah saw sangat menyukainya dan baginda diriwayatkan menyebut “sekiranya sewaktu Islam aku diajak kepada persepakatan seumpama itu, nescaya aku menyahutnya”. Dalam sebuah hadis sahih, baginda Rasulullah saw bersabda bermaksud:
Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama-sama bapa-bapa saudaraku satu persepakatan di rumah Abdullah bin Jad`an, yang amat aku sukai lebih daripada unta yang merah. (riwayat Ahmad).

Bersandarkan kepada nas-nas tersebut, maka PAS membentuk persepakatan politik dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka bersama-sama mendukung perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman. Malah PAS juga mewujudkan persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang turut memperjuangkan perkara tersebut. Sehingga hari ini PAS terus komited dengan agenda menegakkan keadilan dan menyanggah kezaliman seperti yang dipertegaskan dalam Muktamar Tahunan di Ipoh tahun lalu.

Setelah berjaya menerokai perpaduan peringkat kedua tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi Awang melontarkan pula satu lagi pandangan kehadapan iaitu Kerajaan Perpaduan. Lontaran itu bukanlah satu ketetapan dalam PAS kerana pandangan itu belum diputuskan secara matang di dalam PAS sendiri dan juga PR. Seperti yang dilihat hari ini, pandangan tersebut mencetuskan pro dan kontra termasuklah di kalangan pimpinan PAS. Bagaimanapun perselisihan pandangan ini merupakan sesuatu yang normal bagi PAS yang merupakan ‘Government in Waiting’.

Konsep Kerajaan Perpaduan atau National Unity Government sememangnya telah dikupas panjang lebar dalam buku-buku teks sains politik. Bagaimanapun adakah itu yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Presiden PAS? Saya percaya, beliau akan memberikan penjelasan tentang perkara itu tidak beberapa lama lagi. Yang pasti, cetusan Tuan Guru Presiden itu berkait rapat dengan pihak yang selama ini menceroboh keadilan dan melakukan kezaliman terhadap rakyat dan terhadap PAS sendiri, iaitu Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Seperti yang disebut oleh Mursyidul Am, BN dan UMNO telah melakukan pelbagai kezaliman terhadap rakyat termasuklah kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin olehnya sejak hampir 20 tahun yang lalu. Menurut beliau lagi, UMNO bertanggungjawab menindas para ulama dan melakukan penyiksaan terhadap mereka terutamanya pada dekad 1960-an. BN dan UMNO juga mewujudkan pelbagai akta draconian dan menyuburkan budaya rasuah. Yang terbaru, melakukan rampasan kuasa yang tidak demokratik di Perak. Pendek kata, BN dan UMNO adalah paksi kejahatan dan kezaliman dalam negara ini.

Bagaimanapun PAS sejak dahulu lagi membuka pintu perbincangan dengan sesiapa sahaja berdasarkan prinsip-prinsip yang diperjuangkan oleh PAS. Semasa almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS turut membuka pintu perbincangan dengan BN dan UMNO tetapi mestilah diwujudkan suasana kondusif. Hari ini, Presiden PAS turut mengambil sikap yang sama iaitu membuka perbincangan dalam isu-isu yang berkaitan dengan pencabulan demokrasi, salahguna kuasa, keruntuhan kehakiman dan lain-lain.

Berdasarkan pandangan Presiden PAS, saya melihat pintu perpaduan yang dicetuskan adalah bersumber sebuah hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:
Tolonglah saudaramu yang zalim (penzalim) dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya: Kami menolongnya apabila dia dizalimi, sedangkan sekiranya dia zalim bagaimana kami menolongnya? Rasulullah bersabda: Jauhkan dia atau halangnya dari melakukan kezaliman, itulah pertolongan kepadanya.

Hadith di atas mengajar kita supaya membuka pintu perbincangan dengan golongan pendukung kezaliman seperti Bn dan UMNO dengan matlamat untuk menghindarkan mereka daripada melakukan kezaliman. Seperti yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden baru-baru ini, pintu perbincangan itu diterokai dengan mendahulukan perkara-perkara yang UMNO dan BN begitu ketara melakukan pencerobohan terhadapnya seperti isu demokrasi, rasuah dan kehakiman.

Jelas sekali perpaduan kategori ini kurang keutamaannya daripada perpaduan kategori pertama dan perpaduan kategori kedua. Sekiranya jalan kepada perpaduan untuk menolong golongan penzalim ini akan merosakkan perpaduan dalam PAS dan persepakatan dengan PR, sudah pasti PAS akan mendahulukan perpaduan yang lebih awla (utama). Yang penting setiap ahli perlu memberi keyakinan kepada pimpinan tertinggi PAS, yang sudah pasti tidak akan terlepas pandangan kepada Fiqh Keutamaan seperti ini.

Wednesday 4 March 2009

Mahkamah Menyatakan Sidang DUN Bawah Pokok Sah

Biarpun banyak dipersoalkan tentang kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim mengeluarkan perintah terhadap Speaker DUN Perak disebabkan tempoh kontrak beliau telah tamat 28 Februari yang lalu, perintahnya terhadap Speaker sedikitpun tidak menyentuh status persidangan DUN bawah pokok semalam. Malah keputusan Ridwan tersebut seperti menyebut bahawa persidangan semalam adalah sah. Demikianlah tafsiran yang diberikan terhadap perintah yang disampaikan kepada Speaker DUN Perak hari ini. Dengan merujuk kepada kandungan perintah itu, maka krisis politik, perlembagaan dan perundangan di Perak semakin bertambah rumit.

Perintah menghalang yang dikeluarkan oleh Ridwan berbunyi "Dengan ini diperintahkan bahawa defendan yang pertama YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu adalah dihalang dari memanggil sebarang persidangan yang melanggar undang-undang (unlawful) yang bertujuan menjadikannya sebagai persidangan Dewan Undangan Negeri". Kandungan perintah tersebut tidak langsung memutuskan bahawa persidangan bawah pokok semalam sebagai tidak sah. Perintah itu juga bermaksud bahawa Sivakumar boleh memanggil mana-mana persidangan yang sah menepati undang-undang. Dengan sebab itu perintah Ridwan tidak menjawab sama ada persidangan bawah pokok semalam sah atau tidak.

Sebenarnya Ridwan mungkin menyedari sekiranya beliau menyebut bahawa Sivakumar diperintahkan tidak boleh memanggil sebarang persidangan DUN maka dengan sendirinya perintahnya terbatal. Sebagaimana yang disebut oleh Karpal Singh, hakim tidak boleh mengeluarkan perintah injunksi menghalang mana-mana persidangan Parlimen atau DUN diadakan kerana doktrin pemisahan kuasa yang telah jelas termaktub dalam perlembagaan. Sekiranya hakim bertindak sedemikian, menurut Karpal beliau boleh disabitkan sebagai menghina Parlimen atau DUN. Dengan sebab itu, Karpal menyarankan supaya tidak melayan perintah itu yang dikatakan olehnya sebagai tidak sah (void and null).

Oleh sebab itu, Ridwan mengeluarkan perintah yang kelihatan lebih menepati undang-undang iaitu menghalang daripada memanggil persidangan yang tidak sah. Menurut peguam Sivakumar kalau tidak dikeluarkan perintah itupun, Sivakumar sebagai speaker selama-lamanya tidak akan memanggil persidangan yang tidak sah. Oleh sebab itu, perintah Ridwan tersebut tidak sedikitpun menjejaskan persidangan bawah pokok yang diadakan, kerana boleh jadi persidangan tergempar yang dipanggil itu adalah sah sebagaimana dakwaan pakar-pakar pelembagaan dan peguam Sivakumar sendiri. Sekiranya persidangan itu sah, maka jelas sekali perintah Ridwan itu tidak terpakai dalam kes persidangan bawah pokok tersebut.

Malah lebih mengejutkan, perintah Ridwan itu mungkin boleh ditafsirkan sebagai mengesahkan persidangan bawah pokok yang diadakan. Berdasarkan kenyataan peguam-peguam Zambri, mereka menuntut supaya mahkamah menghalang persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar dan persidangan-persidangan yang seumpamanya di masa akan datang. Akan tetapi perintah Ridwan itu tidak menyentuh status persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar semalam, seperti tidak memasukkan persidangan itu dalam kategori persidangan yang dihalang oleh perintah yang dikeluarkan. Oleh sebab itu, ia terbuka kepada pelbagai tafsiran undang-undang.

Boleh jadi perintah Ridwan itu tidak menyentuh langsung status persidangan bawah pokok semalam dan boleh jadi ia boleh ditafsirkan sebagai tidak membenarkan permohonan peguam-peguam Zambri yang memohon untuk menghalang persidangan tersebut. Jika tafsiran kedua ini dipakai, maka perintah Ridwan itu secara tidak langsung mengesahkan persidangan bawah pokok yang diadakan. Sekiranya perintah Ridwan itu mengesahkan persidangan bawah pokok tersebut, maka Zambri dan exco-exconya dengan sendiri digantung, manakala Nizar telah mendapat semula undi percaya mengekalkan jawatannya. Dr Abdul Rahman (SUK) dan Abdullah Antong (Su DUN) benar-benar menjadi pelandok yang tersepit sekarang.

Monday 2 March 2009

Kini Raja pun 'Derhaka' kepada Sultan

(Berikut adalah surat terbuka Raja Petra Kamaruddin kepada Ir Nizar berkaitan kemelut politik di Perak. Kalau mengikut trend pemikiran UMNO seolah-olah surat ini 'derhaka' kepada Sultan.)


Datuk Seri,

Saya akan menulisnya secara ringkas dan manis. I am going to make this short and sweet. Tak ada lagi artikel cheong hei daripada saya. Mereka dapat mengunci bangunan menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, jika itu kehendak mereka. Bangunan itu tidak penting. Jika bangunan itu tidak dapat digunakan — umpamanya, musnah akibat banjir atau gempa — adakah bermakna sidang Dewan Undangan juga tidak boleh diadakan [di tempat lain]? Tentu saja boleh. Sidang boleh diadakan di mana saja, tidak semestinya di dalam dewan tersebut.

Malam ini, sekarang, pergilah cari tempat lain supaya sidang Dewan Undangan Negeri esok dapat dijalankan. Luluskan undi percaya terhadap kepimpinan anda sebagai Menteri Besar. Luluskan segala usul lain, termasuk usul untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Kemudian, segeralah memandu ke Bukit Chandan dan sembahkan kepada baginda Tuanku akan keputusan sidang Dewan Undangan Negeri itu.

Andainya Tuanku enggan memberi perkenan terhadap suatu yang secara terang sejajar dengan undang-undang, cabarlah baginda, jika perlu, cetuskan Krisis Perlembagaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah 52 tahun negara ini. Rakyat telah bersedia. ‘Revolusi’ seterusnya ini tidak akan menjadi rusuhan kaum ala 13 May. Ia akan menjadi satu Perjuangan Kelas. Dan saya bersama Rakyat dalam perjuangan ini, jangan pedulikan latarbelakang kerabat Di-Raja saya itu. Saya bercakap sebagai raja tetapi bersuara untuk Rakyat.

Percayalah, terdapat ramai lagi anggota kerabat yang sependapat dengan saya. Jangan biarkan beberapa orang yang duduk di tampuk kuasa itu mengertak dan menakutkan anda sehingga anda fikir anda keseorangan, mewakili Rakyat, menghadapi Kesultanan. Tidak, kami semua bersama dengan anda, begitu juga anggota kerabat yang lain. Tangkaplah seladang itu melalui tanduknya dan jatuhkan ia dengan menarik tanduk itu sehingga ke bawah kakinya. Walaupun telah ditakdirkan seladang itu memakai mahkota. Rakyat telah bangkit. Jangan sesekali mengaku kalah.

Bersungguh-sungguhlah meneruskan perjuangan atau selamanya kelebihan itu akan hilang. Dan jika anda gagal bersungguh-sungguh meneruskan perjuangan ini, ingatlah bahawa Rakyat tidak akan memaafkan dan anda akan kehilangan kepercayaan kami buat selamanya.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Patek yang hina sembah Tuanku dan memohon perkenan agar Tuanku jangan kecewakan Rakyat. Hasrat Rakyat ialah untuk mencari kebenaran dan keadilan. Biarlah ini juga menjadi hasrat Tuanku.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

[Terjemahan bebas arifabdull terhadap Open letter to Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tulisan RPK]

Wednesday 25 February 2009

DAP Semakin Berubah Berbanding UMNO

Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah sebuah parti multi-racial yang berpegang kepada satu ideologi politik iaitu 'Social Democracy'. Ideologi ini merupakan alternatif kepada ideologi Liberalism Capitalism yang diamalkan oleh kebanyakan negara blok Barat. Socialism Democracy juga merupakan alternatif kepada Socialism Karl-Marx dan Komunisme yang diamalkan oleh kebanyakan negara blok Timur. Jerman adalah antara negara yang mula-mula diperintah oleh parti yang berhaluan Social Democracy melalui parti Social Democracy Party (SDP). Negara-negara lain adalah seperti New Zealand dan Norway.

Dari segi ideologi, DAP tiada beza dengan UMNO kerana kedua-duanya berpegang kepada ideologi sekular yang dicipta oleh falsafah pemikiran manusia. UMNO semasa ditubuhkan merupakan sebuah parti yang mendukung ideologi Nationalism dan selepas Merdeka UMNO mewarisi ideologi Liberalism British dalam menerajui Malaysia. Apabila Tun Razak mengambil alih teraju pemerintahan dari Tunku Abdul Rahman, beliau cenderung kepada pendekatan Social Democracy. Penggubalan DEB adalah antara contoh amalan Social Democracy yang turut mendapat sokongan DAP pada awalnya, sehinggalah DEB disalahgunakan untuk kepentingan elit-elit Melayu.

Tun Razak semasa belajar di England banyak dipengaruhi oleh ideologi ini kerana beliau menyertai sayap Labour Party. Labour Party selalu dikenali sebagai parti yang mendukung ideologi Social Democracy ataupun dianggap sebagai pendukung Socialism sederhana Robert Owen. Semasa memerintah, Tun Razak memperkenalkan banyak pendekatan seperti membuka tanah-tanah pertanian yang dikaitkan dengan Rancangan Buku Hijau, diikuti dengan membuka Bilik Gerakan Negara. Kesemua pendekatan ini adalah begitu asing bagi negara-negara yang mendukung aliran Laissez Faire. Tindakan Tun Razak ini menyerlahkan lagi pengaruh Social Democracy yang didukunginya.

Ketika Dr Mahathir mengambil alih teraju negara, banyak pihak meramalkan beliau akan menuruti pendekatan Tun Razak. Dr Mahathir pernah satu ketika dituduh oleh seorang pimpinan pelajar Univeristi Malaya, Yazid Othman, sebagai Socialist. Yazid yang ketika itu Presiden PMUM menuduh Dr Mahathir sedemikian ekoran kenyataan Dr Mahathir yang berbau Socialism ketika melakukan lawatan ke luar negara. Bagaimanapun, setelah menerajui negara, Dr Mahathir mempunyai ideologi sendiri yang tidak Socialism dan tidak juga Liberalism. Disebabkan ketidaktentuan itu, ramai pemerhati politik menganggap Dr Mahathir berpegang kepada ideologi Pragmatism

Para pendukung UMNO selalu menuduh DAP sebagai 'adik kandung' kepada PAP Singapura. Tuduhan ini ada asasnya kerana selepas penyingkiran Singapura daripada Malaysia, konfrantasi antara UMNO dan PAP berterusan. Sepertimana PAP mempunyai 'adik kandung' di Malaysia, UMNO juga didakwa oleh PAP mempunyai 'adik kandung' di Singapura. Sejarah konfrantasi UMNO dan PAP ini memerlukan kepada kupasan lain kerana wujud tuduhan-tuduhan yang menganggapnya sebagai sendiwara. Ramai pengkaji-pengkaji sejarah termasuk Dr Ramlah Adam yang begitu dikenali sangat rapat dengan UMNO mempunyai persepsi negatif terhadap Tunku Abdul Rahman.

Kemuncak kebencian UMNO kepada DAP adalah selepas Pilihanraya 1969, iaitu apabila DAP hampir menggugat UMNO khususnya Dato Harun di Selangor. Kedudukan UMNO-Perikatan dan DAP di Selangor selepas Pilihanraya tersebut adalah 50-50, yang menyaksikan Dato Harun mungkin tumbang. Sebenarnya kedudukan DAP pada ketika itu adalah sama seperti PPP di Perak dan Gerakan di Pulau Pinang. Ketiga-tiga parti ini dilihat berada dalam satu barisan untuk menghadapi UMNO-Perikatan. Terdapat juga dakwaan bahawa kesemua ini adalah dirancang dari jauh oleh PAP di Singapura, lanjutan daripada konfrantasi UMNO dan PAP sebelum ini.

Sekiranya benar dakwaan ini, maka bukan sahaja DAP yang terlibat tetapi PPP dan Gerakan juga terbabit sama. Namun demikian sisi hitam PPP dan Gerakan telah diputihkan apabila mereka menyertai UMNO untuk menubuhkan Barisan Nasional (BN). Dalam Pilihanraya 1969, Gerakan berjaya menerajui Pulau Pinang, manakala PPP kekurangan hanya 2 kerusi untuk menerajui Perak. Kedua-dua parti ini menyertai UMNO untuk menubuhkan BN selepas Tragedi 13 Mei 1969. Yang tinggal hanyalah DAP yang berdiri meneruskan perjuangannya sebagai parti pembangkang. Kesemua latar belakang ini dijadikan peluru oleh UMNO untuk menyerang DAP sebagai parti yang anti Melayu.

Kalaulah DAP menyertai BN sudah pasti tuduhan itu akan lenyap. Bagaimanapun, adakah benar DAP anti Melayu atau DAP hanya anti UMNO? Adakah bila sesuatu parti itu anti UMNO bermakna parti itu juga anti Melayu? Sepanjang sejarah politik negara, telah muncul parti-parti yang anti UMNO seperti parti yang ditubuhkan oleh Dato Onn iaitu IMP dan Parti Negara. Demikian juga parti yang ditubuhkan oleh Tengku Razaliegh iaitu Semangat 46 yang anti UMNO (baru) pimpinan Dr Mahathir. Kesemua parti ini tidak pula disebut sebagai anti Melayu. Beza parti-parti ini dengan DAP ialah pimpinan mereka Melayu, sementara DAP majoriti kepimpinan bukan Melayu.

Bagaimanapun, DAP hari ini telah jauh berubah berbanding DAP pada tahun 1960-an dan awal 1970-an. Perubahan itu berlaku seiring dengan perubahan senario politik negara yang semakin matang dan menolak politik perkauman. DAP telah mula meletakkan ideologi 'Social Democracy'nya sebagai ideologi yang merentasi semua kaum. Hari ini mereka telah turut memperjuangkan nasib golongan Melayu tertindas seperti yang dilakukan oleh Lim Guan Eng di Melaka dan menyuarakan isu tanah wakaf di Pulau Pinang. Generasi baru DAP semakin meninggalkan politik perkauman sempit seperti yang mereka amalkan semasa berkonfrantasi dengan UMNO dahulu.

Yang masih belum berubah ialah UMNO, yang terus mengekalkan politik perkaumannya yang sempit. Ketika hampir semua parti di Malaysia menuju kepada politik berasaskan ideologi, hanya UMNO yang masih mengekalkan trend lamanya. MCA dan MIC sendiri dilihat mula menapak untuk berubah. Untuk UMNO melakukan perubahan itu sangatlah sukar kerana politik perkauman adalah nyawa UMNO. UMNO kini sedang bertarung untuk mempertahankan nyawanya. Apa-apa sahaja isu bermula daripada DEB kepada babi, bermula daripada azan kepada sultan, akan dijadi sajian politik perkauman. Kedua-dua UMNO dan DAP berpegang kepada ideologi sekular, cuma bezanya DAP sekarang sedang berubah.

Tuesday 24 February 2009

Begini Rupanya Wajah DAP Perak

(Artikel ini ditulis oleh Misbahul Munir, Setiausaha Politik MB Perak)

UMNO menuduh Hj Nizar boneka DAP, mengikut telunjuk Nga dan Ngeh, pentingkan Cina dari Melayu, setiap ucapan kena rujuk DAP, kenyataan akhbar juga ikut kehendak DAP, beri kuasa DAP agih tanah pada Cina dan sebagainya. Hari ini saya nak cabar kerajaan haram BN dedahkan semua yang didakwa dengan bukti-buktinya, lapor pada SPRM atau polis dan seretlah Hj Nizar dan semua EXCO ke mahkamah. BN ada kuasa haram, gunakanlah kuasa haram untuk mengiyakan apa yang kamu dakwa.

Sebenarnya itu semua dakwaan kosong, fitnah, palsu, tak ada modal nak cari isu, mereka-reka isu palsu supaya rakyat terpedaya, media pula dikuasai oleh mereka, Samad Majid dari FM Perak pula buat lapuran dalam Berita Perak di Radio setiap hari. Setiap dakwaan dan tuduhan tidak pula Hj Nizar sebagai MB dan EXCO diberi peluang menjawabnya. Hubungan antara pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup intim, saling memahami, tidak pernah menimbulkan isu yang sensitif samada agama atau yang menyentuh hak orang Melayu. Hj Nizar pula setiap kali memulakan ucapan dalam apa sahaja majlis samada majlis itu dihadiri ramai orang bukan Islam atau tidak, pasti muqaddimah ucapannya dimulakan dengan petikan ayat-ayat al Quran, diterjemah dan diberi kupasan untuk tujuan dakwah kepada mereka. Kadang-kadang diterjemah dalam bahasa Inggeris supaya mereka lebih memahaminya.

Nga, salah seorang EXCO DAP sentiasa mengikuti ayat-ayat Quran yang dibaca oleh Hj Nizar dan bertanya saya dari ayat mana dan surah apa. Saya beritahu ayat dan surah yang dibaca. Katanya dia mahu study di rumah ayat yang dibaca oleh Hj Nizar. Di mini perpustakaan Nga ada terjemah al quran dalam bahasa Inggeris, dia cari ayat tersebut dan dikajinya. Akhirnya beliau kagum dengan Hj Nizar, menurut Nga ayat-ayat Quran yang dibaca Hj Nizar mesti ada kaitan dengan majlis yang diadakan. Malahan, beliau turut mencari mana-mana ayat al Quran yang berkaitan dengan prinsip keadilan, kebajikan, integriti, ketelusan dan amanah, beliau bertanya saya dan meminta saya mengajarnya bagaimana cara menyebut dalam bahasa Arab, saya menulis dalam huruf rumi ayat-ayat tersebut dan ternyata dibacanya dalam ucapan dan ceramah walaupun pelat, diterjemah dan dihurai dengan begitu baik prinsip-prinsip tersebut mengikut ajaran al Quran.

MCA, MIC dan semua parti komponan BN yang lain, ada atau tidak pemimpin mereka membuka al Quran, membaca dan menterjemah serta mengulas mana-mana konsep mengikut ajaran Islam. Seingat saya, tidak ada pemimpin MCA dan MIC yang berbuat demikian, sebab itu mereka tidak faham Islam walaupun berkawan dengan UMNO sejak sekian lama, apatah lagi UMNO yang menjadi rakan mereka sendiri tidak faham Islam. Sebaliknya, DAP sejak berkawan dengan PAS, sama-sama memerintah Perak khususnya, cukup memahami konsep keadilan, amanah dan kebajikan mengikut ajaran Islam. Bahkan mereka juga tahu hukum Hudud yang selama ini mereka diberi gambaran yang salah oleh media dan pemimpin BN.

Qari dan Qariah Perak telah menjuarai tilawah al Quran peringkat Kebangsaan. Ngeh dari DAP mencadangkan kepada MB Perak supaya mereka diberi anugerah berupa sumbangan, MB setuju beri 5 ribu setiap seorang, Ngeh cadang 10 ribu setiap seorang, sebab mereka telah mengharumkan nama Perak. Malahan turut dicadangkan kerajaan taja mereka mengerjakan haji atau umrah. Cadangan tersebut diberi perhatian oleh MB dan bersetuju buat majlis dan beri sumbangan 10 ribu seorang dan jurulatihnya 5 ribu.

Seorang Tok Guru pondok dari Pengkalan Hulu yang juga ahli majlis fatwa negeri Perak yang dikenali dengan nama Pak Teh. Pak Teh ada pondok yang mempunyai murid yang agak ramai, pondok Pak Teh agak uzur, muridnya ramai, gurunya pula tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Pak Teh ada memohon kira-kira 45 ekar tanah hutan di belakang pondoknya. Tanah hutan tersebut dipohon sejak bertahun-tahun dahulu untuk diusahakan dengan pertanian. Pak Teh mengadu pada Dato' Seri Hj Nizar sempena lawatan kerja MB Perak ke Pengkalan Hulu. Di pejabat, MB mengarahkan pegawainya menyemak semula permohonan Pak Teh, dalam semakan MB, didapati permohonan Pak Teh sudah lengkap laporannya di PTG, semua Jabatan berkaitan menyokong permohonan Pak Teh dengan mengatakan tiada halangan untuk diberi pertimbangan kelulusan, tetapi fail tersebut tidak diangkat ke mesyuarat EXCO untuk diluluskan, Hj Nizar terus mengarahkan PTG menyediakan fail segera untuk diangkat ke mesyuarat EXCO supaya diberi pertimbangan kelulusan.

Dan mesyuarat EXCO terus meluluskan, Ngeh bertanya kepada MB mengapa hanya 45 ekar sahaja yang diluluskan, tanah kerajaan luas lagi di Pengkalan Hulu, untuk mencari dana bagi tujuan pendidikan Ngeh mencadangkan diberi sahaja 100 ekar. Tujuan Pak Teh mohon tanah kata Negh bukan untuk kepentingan peribadi tetapi kepentingan bagi melahirkan tokoh-tokoh ulama di Perak. Itu kata Cina DAP yang sering ditohmah oleh UMNO. Tajol Rosli jadi MB Perak sejak 10 tahun dulu bersama dengan EXCO muslim yang lain, Pak Teh pula ahli Majlis Fatwa negeri Perak, permohonan tanah yang diajukan kepada MB BN ketika itu diabaikan. Sepatutnya mereka malu dengan Ngeh yang nampaknya lebih prihatin terhadap perkembangan pendidikan Islam di Perak.

DAP tidak pernah membantah apa sahaja cadangan mengenai hal ehwal Islam, apabila bantuan perkapita diberi semula kepada Sekolah Agama Rakyat, EXCO DAP tidak membantah. Mereka tidak pula meminta supaya sekolah-sekolah Cina turut diberi bantuan perkapita. Permohonan-permohonan untuk tujuan baik pulih masjid, surau, sekolah-sekolah agama sering diluluskan oleh MB, DAP dan EXCOnya tidak juga membantah atau dengki. Program-program Islam yang dicadangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Negeri seperti buka puasa dan solat tarawikh di dataran DBI, kempen solat, tazkirah setiap hari sepanjang Ramadhan menggunakan pembesar suara dan juga azan Zohor di Surau SUK menggunakan pembesar suara tidak pernah dibantah oleh DAP.

Sebenarnya DAP dengan semua ADUNnya jauh lebih baik, prihatin, mudah mesra dan pandai menyesuaikan diri berbanding dengan MCA dan MIC. Sebab itu, mereka ditolak oleh pengundi Cina dan India. Orang Melayu juga yang payah berubah, tetapi Insya Allah saya yakin, perkembangan politik mutaakhir ini menunjukkan orang Melayu juga akan berubah untuk menolak BN secara total dalam pilihanraya akan datang.

Monday 23 February 2009

Dato Onn Terlebih Derhaka Berbanding Nizar

(Artikel ditulis oleh Sdr Mohd Fadhli Ghani seorang pakar sejarah politik Malaysia terutama kurun ke-20)

Pemimpin UMNO dan UMNOlah yang mempelopori siri penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu selepas abad ke - 20. Dato' Onn adalah antara tokoh politik pertama yang mencetuskan siri penderhakaan ini. Pada tahun 1920, Dato' Onn secara terbuka telah mengkritik Sultan Johor dengan begitu keras kerana Sultan Johor telah melelong harta bapanya yang gagal membayar hutang negeri sehingga kematiannya. Sultan Johor ketika itu sangat murka di atas penderhakaan yang berterusan sehingga dipecat dari jawatan dan dibuang ke Singapura pada 1927.

Dua orang adek beradeknya juga turut melakukan tindakan menderhaka kepada Sultan, iaitu abangnya Dato' Abdullah Jaafar (ketika itu MB Johor), Abdullah Jaafar menghina dan memburukkan nama sultan di luar negeri, akhirnya beliau dipecat dari jawatannya sebagai Menteri Besar dan ditarik balik gelarannya. Kakaknya Che Dara Jaafar turut diambil tindakan kerana bersekongkol dengan penderhakaan ini (walaupun Che Dara ketika itu menjadi isteri Sultan Ibrahim), kedua-duanya dihukum buang negeri.Ketiga-tiga adek beradek ini menjadi keluarga terbuang akibat penderhakaan ini.

Mereka menetap di Singapura, Dato' Onn tetap meneruskan penderhakaan ini di Singapura melalui akhbar Warta Malaya yang beliau menjadi pengarangnya. Akhbar ini lantang mengkritik dan memberi sembah derhaka kepada Sultan Johor pada 1930.Beliau kembali ke Johor pada tahun 1936 dan dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar Johor pada tahun 1947. Dalam tempoh berkhidmat sebagai Menteri Besar, beliau telah berkrisis dengan Raja-raja Melayu ekoran cadangannya supaya seorang Melayu dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

Raja-raja Melayu amat murka dengan cadangan ini kerana ia meletakkan seorang Melayu lebih tinggi kedudukannya daripada Raja-raja Melayu itu sendiri.UMNO secara terbuka menghina Raja-raja Melayu terutama Sultan Kedah dalam beberapa isu yang berbangkit pada tahun-tahun tersebut. Dalam Mesyuarat Agung UMNO di Butterworth pada 27 Ogos 1949, secara terbuka beliau menyelar dan menuduh Raja-raja Melayu menjaga kepentingan diri daripada orang Melayu, beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British bagi melemahkan UMNO dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

Kemuncak penderhakaan ini ialah apabila Dato' Onn mengajak ahli UMNO menamatkan pemerintahan beraja. Akibatnya, Sultan Kedah berhasrat mengharamkan UMNO di negeri Kedah dan Sultan Johor sendiri memaksa Dato' Onn meletakan jawatan sebagai Menteri Besar pada 17 Jun 1949.Kebiadaban UMNO kepada Raja-raja Melayu sangat terserlah antara tahun 1947-1949, pemimpin UMNO menggunakan platform UMNO untuk menghina Raja-raja Melayu, mereka mencabar kuasa Raja-raja Melayu secara terbuka dan kemuncak penderhakaan UMNO pada tahun 1949 ialah apabila Presiden UMNO (Dato' Onn) pada waktu itu mengajak ahli-ahli UMNO menamatkan sahaja sistem pemerintahan beraja di negara ini.

Thursday 12 February 2009

Mufti Perak Tumpang Sekaki

Kalaulah tidak kerana Almarhum Ustaz Ishak Baharom Mufti Selangor dipecat, Mufti Perak tidak mungkin menjadi sandaran rakyat untuk membela Islam. Almarhum Mufti Selangor inipun pernah dipermainkan oleh pihak media sehingga beliau mengemukakan bahawa sesiapa yang memakai salib maka dia boleh terjerumus kepada murtad. Jawapan Almarhum telah digunakan oleh pihak media untuk mengaitkan tindakan Tengku Razaliegh yang memakai tengkolok yang ada corak salib padanya. Berikutan itu Almarhum Mufti Selangor sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada media. Selepas itu seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada beliau untuk membela dan bersuara meninggikan kalimah ALlah swt.

Selepas Almarhum dipecat, maka antara mufti yang paling senior ialah Mufti Perak Hj Harussani. Pada beliau rakyat Malaysia mula meletakkan harapan untuk menggantikan peranan Ustaz Ishak Baharom. Sekiranya Almarhum Ustaz Ishak pernah tersilap dipermainkan oleh pihak media tetapi kemudian rakyat boleh menerimanya kembali, demikianlah juga Hj Harussani. Sebelum itu, semasa era 1980 an ramai rakyat yang mengaitkan Hj Harussani sebagai mufti yang selalu bercakap "harus, harus" bila ditanyakan sesuatu soalan. Ketika enakmen Hukum Hudud dan Qisas dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan awal 1990 an, beliau dilihat tidak menyatakan pendiriannya secara jelas.

Kemudian apabila Kerajaan PAS Terengganu pula mengemukakan enakmen yang sama, sikap Hj Harussani juga seperti itu. Malah dalam satu ceramah di sebuah Masjid di Subang Jaya beliau kelihatan tidak mendukung usaha itu dengan menyifatkannya sebagai tergesa-gesa sehingga menyebabkan beliau diasak oleh pendengar-pendengar yang tidak berpuas hati dengan penerangan beliau. Demikian juga ketika isu penarikan balik bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat, beliau tidak begitu lantang menentang tindakan Dr Mahathir walaupun beliau adalah lulusan sekolah seumpamanya. Beliau lebih selesa mengambil jalan selamat, iaitu berbincang secara empat mata dengan Dr Mahathir ketika menyambut Dr Mahathir di lapangan terbang Ipoh. Apabila Dr Mahathir dengan tegas menyatakan tidak akan mengembalikan bantuan itu, Hj Harussani dikatakan sedih dan menitiskan air mata.

Mungkin selepas itu beliau mula menyedari bahawa UMNO sememangnya tidak mempunyai keazaman yang penuh untuk membela dan meninggikan Islam. Selepas itu rakyat melihat beliau mula lantang bersuara terutama apabila berkait rapat dengan isu-isu murtad dan liberalisasi agama. Semenjak itu rakyat mula menaruh harapan kepada beliau untuk menggantikan peranan Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Walaupun beliau bukanlah pendukung PAS, tetapi ahli-ahli PAS sendiri boleh menerima beliau apabila banyak pendirian beliau selari dengan pendirian PAS seperti dalam isu polisi moral dan IFC. Malah ahli-ahli PAS juga menyediakan platform kepadanya untuk bersuara berkenaan isu-isu tersebut.

Dari segi keilmuan, sememangnya sukar untuk diukur setinggi manakah keilmuan beliau. Hj Harussani adalah lulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang sekarang telah diturun taraf menjadi sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama. Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya pada ketika itu diterima sebagai bertaraf ijazah atau diploma. Beliau tidak pernah menghabiskan masa untuk menuntut ilmu-ilmu Islam di pusat-pusat keilmuan Islam seperti di Timur Tengah, India dan Pakistan. Beliau juga tidak pernah memondok bertahun-tahun di pondok-pondok traditional di negara ini sebagaimana ulama-ulama dahulu. Berdasarkan sejarah pengajian beliau, paling tidak beliau tidaklah setanding dengan para ilmuan negara ini yang pernah melalui susur galur pengembaraan ilmu seperti itu.

Sekiranya diukur dari segi sejarah perdebatan ilmu, beliau juga tidak begitu berketrampilan untuk duduk bersama para ilmuan Islam yang lain berbahas tentang sesuatu isu Islam. Semasa Pejabat Mufti Perak menganjurkan perbahasan tentang isu bid'ah sepatutnya beliaulah yang kehadapan untuk berbahas isu itu dengan Dr Asri Zainul Abidin. Sebaliknya Pejabat Mufti Perak menjemput Dr Abdul Aziz Hanafi yang merupakan Ahli Majlis Shura Ulama PAS. Beliau hanya dilihat menyerang Dr Asri dari belakang dan tidak pernah berhujah secara berhadapan. Menyedari hakikat tersebut, sekiranya diukur kepada kewibawaan ilmu, mungkin ramai lagi para ulama di Perak yang lebih layak menduduki kerusi Mufti seperti Ustaz Salleh Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Bagaimanapun, beliau sememangnya disayangi oleh Pihak Istana Perak terutama Sultan Azlan sendiri. Dengan sebab itu, dalam Perayaan Jubli Perak Sultan Azlan baru-baru ini, beliau adalah salah seorang yang diiktiraf sebagai paling berjasa kepada Sultan Azlan. Malah dari segi dunia akademik, beliau turut dianugerahkan Doktor Kehormat Shari`ah dari Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Tanpa menafikan sumbangan beliau kepada pentadbiran Agama Islam negeri Perak dan Malaysia, sumbangan beliau dari segi dunia akademik bagaimanapun tidaklah memberansangkan. Namun demikian anugerah yang bersifat akademik seperti ini turut diterima oleh beliau sebagai satu-satunya anugerah Doktor Kehormat Shari`ah yang pernah dianugerahkan oleh Universiti Malaya setakat ini.

Melihat kepada hubungan beliau dengan Sultan Perak, maka tidaklah menghairankan jika beliau mengisytiharkan derhaka kepada Hj Nizar Jamaluddin baru-baru ini. Walaupun telah banyak diperbahaskan dari sudut perundangan tentang kesahihan pemecatan Hj Nizar, iaitu ada yang bersetuju dan ada yang menentang. Akan tetapi semua pihak, termasuk yang bersetuju dengan pemecatan Hj Nizar ini bersepakat bahawa tindakan Sultan Azlan ini tidak betul dari segi moral. Tidak mungkin pihak Istana Perak tidak mengetahui bagaimana ada ADUN-ADUN yang disembunyikan, ada di kalangan mereka yang diculik dengan menggunakan nama Raja Muda dan ada di kalangan mereka yang diugut. Apakah Istana Perak lebih terkongkong dari 'katak di bawah termpurung'?

Semua pihak termasuk veteran-veteran UMNO dan pihak yang berkecuali seperti SUHAKAM berpendapat cara pengambilalihan kuasa itu tidak bermoral. Malah golongan yang bukan Islam termasuk bekas ADUN Bukit Selambau lebih bermoral dalam menanggapi isu-isu ini. Rakyat negeri Perak tanpa mengira agama kecuali penyokong tegar UMNO melihat tindakan BN yang kemudian diperkenankan oleh Sultan Perak sebagai tidak bermoral. Tiba-tiba Hj Harussani boleh membenarkan tindakan yang tidak bermoral atau berakhlak seperti ini. Sekiranya usaha melompat parti ini ada melibatkan unsur rasuah seperti yang dikhuatiri, maka adakah kenyataan Hj Harussani ini tidak boleh dilihat sebagai bersekongkol dengan golongan perasuah dan pemberi rasuah.

Hampir sepakat para ulama bahawa rasuah adalah antara dosa-dosa besar yang sangat dimurkai oleh Allah swt. Tiba-tiba Hj Harussani mengiyakan pembentukan sebuah kerajaan secara rampasan kuasa yang rakyat begitu meyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Tindakan Hj Harussani sememangnya akan menyebabkan institusi mufti akan dipandang hina bukan sahaja oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Sudah ramai pelayar internet menyeranah beliau dalam buku pelawat website Pejabat Mufti Perak. Selepas ini diyakini, sekiranya beliau berceramah di mana-mana orang Islam yang tidak berpuashati dengan pendirian beliau akan menyoal dan mempertikaikan tindakan beliau. Beliau tidak lagi akan dihormati sebagaimana sebelum ini.

Mungkin beliau tersilap kerana diperangkap oleh media sebagaimana yang berlaku kepada Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Namun demikian, selepas beliau mengulang-ulangkan pendirian beliau beberapa kali, maka situasinya telah dilihat berbeza. Kalau benar beliau adil beliau boleh menyanggah tindakan Hj Nizar dan pada masa yang sama beliau mesti juga menyatakan pendirian Islam tentang pembentukan kerajaan secara rampasan kuasa yang diyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Malangnya beliau hanya bertindak dengan menyebelahi satu pihak. Beliau kelihatan tidak jijik dengan budaya mengkhianati amanah rakyat dan amalan rasuah yang merupakan antara perkara yang dimurkai oleh Allah swt. Sepatutnya sebagai seorang mufti beliau gerun untuk tumpang sekaki seperti ini.

Sunday 8 February 2009

Rupanya Sultan Idris Lebih Bijak Dari Sultan Azlan

(Artikel ini merujuk kepada buku biografi Tan Sri Ishak Tadin yang ditulis oleh penulis veteran Perak yang juga merupakan kawan rapat kepada Sultan Idris Shah, Mokhtar Petah dan disedut dari blog beliau)

Sultan Perak sebelum ini iaitu almarhum Sultan Idris sememangnya dikenali sebagai Sultan yang tegas dan berani sehingga baginda adalah salah seorang Sultan yang menentang Dr Mahathir ketika pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja pada tahun 1983. Selain baginda ialah besannya Sultan Johor sekarang. Kedua-dua mereka jugalah yang mengisytiharkan Hari Raya Aidilfitri lebih awal berpandukan Hisab ketika Yang Di Pertuan Agung tidak mengisytiharkan Hari Raya Aidilfitri. Kesan tindakan baginda, hisab hari ini menjadi satu kaedah untuk menentukan puasa dan hari raya. Meskipun banyak diperkatakan tentang peribadinya, Sultan Idris dilihat sangat bijak dalam bertindak contohnya dalam satu kes berkaitan dengan Menteri Besar Perak Allahyarham Haji Ghazali Jawi (bapa Tajul Rosli).

Sultan Idris Shah telah tidak berkenan melantik Haji Ghazali sebagai Menteri Besar Perak kerana pada masa dia memengang jawatan Menteri Besar kali pertama, iaitu pada tahun 1960 beliau telah ditangkap oleh polis atas tuduhan melakukan rasuah. Kes Haji Ghazali itu digantung dengan kehendak Perdana Menteri. Beliau kemudiannya telah dihantar ke Republik Arab Bersatu. Pada masa itu Sultan Idris Shah adalah masih Raja Di Hilir Perak. Dalam kes perlantikan beliau kali kedua, Perhubungan UMNO Negeri Perak telah berpecah menjadi dua golongan. Satu golongan di sebelah bekas Menteri Besar, Haji Kamaruddin Mat Isa dan memihak kepada Sultan Idris, manakala pihak yang lain memihak kepada Haji Ghazali dan menentang baginda Sultan.

Kalangan pimpinan UMNO yang menyebelahi Haji Kamaruddin ialah anggota-anggota Pemuda UMNO negeri, Abu Bakar Ashaari dan Abdullah Haji Mohamad. Mereka di sebelah Haji Ghazali pula terdiri dari ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak, antaranya Hisan Ibrahim, Shafie Mat Saman, Masu’ud Untoi, Ismail Abdul Rauf, Abdul Malik Ahmad dan Haji Wan Mohamed Wan Teh. Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdul Razak mahu krisis antara UMNO dengan Sultan Perak itu mencapai penyelesaian segera. Sehubungan dengan itu, Tun Razak telah menggunakan Ishak Tadin menjadi ‘perunding’ antara Sultan Idris dengan Haji Ghazali. Ishak Tadin telah menggunakan kebijaksanaan dan diplomasinya untuk memujuk Sultan Idris.

Pada satu malam beliau telah berkata kepada baginda, bahawa Tun Razak memohon baginda melantik Haji Ghazali ke jawatan Menteri Besar dengan bersyarat, iaitu untuk selama dua tahun sahaja. Kemudian Baginda boleh melantik ahli Dewan Undangan Negeri yang lain sebagai Menteri Besar Perak. Sultan Idris yang yakin akan kejujuran Ishak Tadin sebagai pegawai tinggi kerajaan negeri, telah bersetuju dengan syarat itu dan baginda berkenan melantik Haji Ghazali untuk memegang jawatan Menteri Besar Perak. Pada 4 September 1974, Haji Ghazali telah mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar, di hadapan Sultan Idris dalam Balai Rong, Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Dua hari kemudian, Sultan Idris Shah telah memanggil penulis (Mokhtar Petah) mengadap baginda, di Istana Tambun, Ipoh. Dalam pertemuan penulis dengan baginda itu, penulis telah memaklumkan kepada baginda, bahawa dalam Perlembagaan Negeri Perak tidak termaktub yang Sultan boleh melantik seseorang menjadi Menteri Besar selama dua tahun. “Kalau Tuanku melantik seseorang ahli Dewan Negeri Perak menjadi Menteri Besar, maka jawatan itu kekal kepada orang itu sehingga pilihan raya umum akan datang, iaitu kira-kira empat atau lima tahun,” kata penulis kepada Baginda. Penulis kemudian melihat wajah baginda membayangkan perasaan sesal baginda melantik Haji Ghazali sebagai Menteri Besar Perak.

Kemudian penulis telah memohon Baginda bersabar kerana untuk mengelakkan dari berlaku krisis antara parti politik yang memerintah dengan Istana Perak, dan baginda telah setuju. Setelah cukup tempoh dua tahun, Haji Ghazali memegang jawatan Menteri Besar dia tidak mengundurkan diri dari kerusinya. Sultan Idris telah menimbulkan perkara itu dalam beberapa titah baginda kepada orang ramai. Haji Ghazali dan beberapa orang pimpinan UMNO Perak telah menyanggah titah Sultan Idris Shah dengan berkata, “tidak ada dalam perlembagaan Negeri Perak Sultan melantik seorang ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Menteri Besar selama dua tahun”. Semenjak itu, krisis antara UMNO dengan Sultan Idris telah berlarutan, sehingga tahun 1977.

Sultan Idris telah mengadakan nazar di Pulau Pangkor, iaitu selagi Haji Ghazali tidak meletakkan jawatannya, baginda akan terus menyimpan janggut, jambang dan misai dan tidak akan menandatangani sebarang surat Majlis Mesyurat Kerajaan (Exco) Negeri Perak. Selama kira-kira dua tahun Sultan Idris tidak bekerjasama dengan Menteri Besar dan tidak memperkenankan sebarang keputusan mesyuarat Exco Negeri Perak. Banyak rancangan kerajaan, terutama berhubungan dengan kelulusan dan pembangunan tanah menjadi tergendala. Haji Ghazali Jawi terpaksa meninggalkan jawatannya kerana diberhentikan oleh Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada tahun 1977.

Sekiranya dilihat tindakan Sultan Idris ini jauh lebih bijak daripada Sultan Azlan, kerana beliau tidak berkenan dengan Menteri Besar disebabkan alasan Menteri Besar itu pernah terlibat dengan rasuah. Manakala Sultan Azlan pula berkenan kepada Menteri Besar yang disokong oleh wakil-wakil rakyat yang telah menipu rakyat dan dikhuatiri terlibat dengan rasuah. Walaupun alasan Sultan Idris kuat dan dari segi ketegasan baginda lebih tegas dari Sultan Azlan, tetapi dalam hal memecat Menteri Besar, baginda menyedari bahawa baginda tiada kuasa. Sultan Azlan juga pernah berhadapan dengan Dr Mahathir dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan imuniti Raja-raja, tetapi baginda mengambil sikap mendiamkan diri. Sebaliknya dalam hal memecat Menteri Besar Perak baru-baru ini, baginda telah terlajak bertindak tidak seperti Sultan Idris. Semoga almarhum dicucuri rahmat dari Allah swt.

Friday 6 February 2009

Reformasi Kedua di Kuala Kangsar

Setelah lebih sepuluh tahun reformasi berkaitan pemecatan Anwar Ibrahim, kali ini berlaku peristiwa seumpamanya berkaitan pemecatan tidak sah Nizar Jamaluddin. Jika gelombang reformasi tahun 1998 berlaku di Kuala Lumpur kemudian merebak ke seluruh negara, reformasi kali ini berlaku di Kuala Kangsar dan bakal merebak ke seluruh Perak, malah mungkin ke seluruh negara. Sekiranya reformasi sebelum ini kerana tidak puas hati dengan Dr Mahathir, reformasi kali ini disebabkan tidak puas hati dengan Sultan Perak dan pimpinan UMNO. Yang sama, kedua-dua reformasi itu tercetus disebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang membuak-buak terhadap ketidakadilan.

Dalam reformasi tahun 1998, Dr Mahathir yang mengukir nama baiknya hampir 18 tahun sekali tersalah tindakannya, nama beliau menjadi busuk dan dibenci oleh ramai rakyat Malaysia. Demikianlah juga Sultan Perak yang telah memerintah hampir 25 tahun sebagai Sultan yang dihormati, sekali beliau bertindak secara tidak adil rakyat Perak kiri dan kanan sudah mula mencemuh. Dikatakan Sultan Perak dan Raja Muda begitu terkejut dengan reaksi rakyat Perak menentang tindakan baginda. Baginda menyangka bahawa rakyat Perak akan akur dengan keputusannya, tetapi peristiwa di Kuala Kangsar ini sememangnya di luar dugaan baginda. Kedudukan baginda sama seperti kedudukan Dr Mahathir pada tahun 1998.

Baginda Raja Muda Nazrin yang menaiki takhta dengan melangkaui giliran pastinya terkejut keretanya telah dibaling batu oleh para penunjuk perasaan. Baginda yang sejak sehari dua ini bertitah dengan tulus dan mulus menyatakan peranan Raja yang mesti mendukung keadilan, dapat melihat sendiri apabila rakyat memberontak setelah dirasakan Raja tidak adil dan berpihak. Sehari dua ini kalau baginda turun kepada rakyat, tidak mustahil peristiwa yang berlaku kepada Bush akan turut berlaku kepada baginda. Cuma rakyat Perak mungkin tidak baling kasut sebab ramai di kalangan mereka yang tidak berkasut cuma berselipar. Kalau rakyat Perak membaling selipar apalagi jenis selipar jamban, maka sudah tentu Raja Nazrin akan rasa lebih terhina.

Demikianlah juga ayahanda Baginda Sultan Azlan, baginda juga pasti terkejut apabila rakyat sudah berani mempertikaikan kewibawaan baginda. Dalam laman-laman web kutukan demi kutukan telah dilempar kepada Sultan Azlan. Malah lebih mengejutkan lagi dalam web rasmi Sultan Perak, rakyat telah mencaci nista baginda di dalam buku pelawat web tersebut. Perkataan-perkataan yang dilempar kepada Dr Mahathir, kini dilemparkan pula kepada Sultan Azlan. Sambutan 25 tahun baginda di atas takhta telah dicemari dengan kemarahan rakyat. Sepanjang 25 tahun baginda dihormati, kali ini rakyat tidak lagi menghormati baginda malah dicaci nista oleh mereka.

Dalam artikel kami yang lalu, kami telah menyatakan kalau Sultan Perak memilih untuk untuk menerima pandangan BN, maka sejarah hitam akan terpalit dalam 25 tahun pemerintahan baginda. Rakyat sekarang bukan lagi rakyat yang tidak bijak. Mereka telah mendapat ilmu setaraf dengan baginda, malah mungkin lebih. Rakyat hari ini telah menolak propaganda media sebagaimana yang dilakukan dalam PRU dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Mereka telah mendapat berita dari pelbagai sumber. Minda politik mereka telah beranjak kepada minda politik kelas pertama seperti di negara maju. Golongan yang sebaya dengan Baginda Sultan Perak ramai yang telah kembali menemui Allah, justeru rakyat baginda sekarang benar-benar telah berubah.

Peringatan yang diberikan oleh Murshidul Am Pas, supaya Sultan Perak meneliti keputusan baginda supaya selaras dengan kehendak rakyat seharusnya diberi perhatian. Sekiranya tidak peristiwa yang berlaku hari ini adalah natijahnya. Lebih daripada itu, sebagaimana yang disebutkan oleh Murshidul Am Pas, kemungkinan sistem beraja di negara ini akan turut menjadi sejarah sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara lain. Tindakan baginda dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk di kalangan vateran UMNO sendiri seperti Dr Mahathir, Tengku Razaliegh dan Rais Yatim. Demikian juga dengan SUHAKAM, turut mempertikaikan pembentukan kerajaan BN yang tidak sah ini.

Reformasi kali kedua ini mewarisi semangat reformasi kali pertama. Rakyat bangun menyatakan bantahan atas ketidakadilan. Kali ini mereka tidak mempedulikan siapa, kerana jelas kemarahan mereka ditujukan kepada Sultan Perak selain daripada pimpinan UMNO. Biarpun media massa memainkan peranan untuk mengelirukan rakyat bahawa Nizar dan penentang keputusan Sultan ini sebagai derhaka, hari ini telah diterima umum derhaka kepada kezaliman itu sesuatu yang mulia. Zaman feudalisme dunia dan negara ini telah lama berlalu. Sekiranya Hang Tuah dan Hang Jebat menjadi calon Menteri Besar Perak sekarang, rakyat hari ini akan memilih Hang Jebat.

Sebagaimana propaganda media memburuk Anwar dan mewajarkan tindakan Dr Mahathir semasa reformasi 1998 tidak ditelan oleh rakyat, maka dipercayai propaganda media pada kali ini juga tidak akan berkesan. Betapa lagi kalau PR bertindak bijak sepertimana tindakan mereka tahun 1998 yang lalu. Kalaupun kerajaan haram BN tidak tumbang, nama pemimpin mereka termasuklah nama Istana Perak akan terus buruk di mata rakyat. Hari ini bukan sekadar zaman feudal telah berlalu, tetapi zaman politik perkauman juga hampir tamat. Faktor ini akan menjadikan reformasi kali kedua ini mungkin lebih berjaya. Cuma mungkin bahangnya hanya dirasai di Perak tidak di negeri yang lain.

Thursday 5 February 2009

Sultan Perak Sempurnakan Konspirasi Annuar Zaini?

Kesultanan Perak adalah merupakan waris daripada kesultanan Melaka melalui Sultan Muzaffar Shah I, iaitu anak kepada Sultan Mahmud. Sejarah Sultan Mahmud sebagai pemerintah Melaka telah diketahui umum berada dalam kelemahan sehingga akhirnya Melaka tumbang dijajah oleh Portugis. Salah satu kelemahan Sultan Mahmud yang paling ketara ialah beliau dipengaruhi oleh mereka yang di sekelilingnya dalam membuat keputusan. Menurut lagenda sejarah, beliau telah membunuh Bendaharanya Tun Mutahir atas hasutan pembesar di sekililingnya. Malah beliau telah membunuh anaknya sendiri Sultan Ahmad Shah yang telah mengambil alih takhta selepas pembunuhan Tun Mutahir. Kisah sejarah seperti ini sememangnya tidak perlu diungkit, tetapi perlu diambil pengajaran oleh Istana Perak.

Dalam zaman moden ini, sistem pemerintahan Malaysia telah bertukar kepada sistem demokrasi dan mengekalkan intitusi Raja yang terikat dengan perlembagaan. Dari segi perlembagaan kuasa Raja adalah diimbangi oleh kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar. Mereka yang berada di sekeliling Raja atau Sultan dari kalangan pembesar-pembesar Istana hanyalah berkaitan dengan urusan istiadat dan pertabalan Raja atau Sultan yang baru. Dalam hal ehwal mentadbir negeri, Raja atau Sultan harus mendengar nasihat daripada Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat. Zaman Raja atau Sultan mendengar nasihat daripada pembesar Istana telah berlalu.

Perkara inilah yang sedang berlaku di Perak. Sultan telah membelakangkan nasihat Menteri Besar yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat sebaliknya mendengar pandangan pembesar-pembesar istana. Di kalangan pembesar-pembesar Istana Perak itu terdapat mereka yang mempunyai kepentingan diri atau kepentingan parti. Salah seorang daripadanya ialah Annuar Zaini yang diperkatakan oleh banyak pihak sebagai salah seorang perancang rampasan kuasa yang ada pada hari ini. Beliaulah yang dikatakan banyak mempengaruhi Istana Perak dalam membuat keputusan terutama yang berkaitan dengan senario politik negeri Perak. Tindakan beliau ini telah menyebabkan rakyat mulai ragu dengan pendirian istana yang sepatutnya tidak berpihak.

Tidak diketahui mengapa Annuar Zaini ini begitu istimewa di Istana Perak. Beliau bukanlah keturunan diraja. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang pembesar Istana Perak dan dalam Sambutan Jubli Perak baru-baru ini, beliau telah dianugerahkan sebagai salah seorang yang begitu banyak jasanya kepada Sultan Azlan. Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Sehingga hari ini ramai rakyat jelata begitu tertanya apakah tuah yang ada pada Annuar Zaini ini sehingga beliau begitu dekat di hati Sultan Azlan, malah lebih diutamakan untuk mendapat nasihat berbanding Menteri Besar yang diberi mandat oleh rakyat.

Keterlibatan Annuar Zaini dalam perancangan rampasan kuasa ini sememangnya menjadi percakapan umum, tetapi ia semakin disahkan dengan penggunaan nama Raja Muda (Raja Nazrin) semasa menculik Nasarudin Adun Bota. Sebagaimana maklumat yang ditulis oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Misbahul Munir, beliau dimaklumkan oleh isteri Adun Bota tersebut dua orang lelaki telah datang ke rumahnya untuk menjemput beliau mengadap Raja Muda. Siapakah yang sebegitu berani mendakwa dirinya menjadi wakil kepada Raja Muda. Sudah pasti mereka bertindak dengan dibelakangi oleh seseorang yang mempunyai kedudukan sebagai pembesar Istana. Tidak mustahil juga perkara tersebut berlaku kepada Adun DAP dari Jelapang. Kedua-dua mereka kelihatan terpinga-pinga semasa Najib mengumumkan rampasan kuasa.

Ketika PAS kalah di negeri Terengganu dalam PRU 2004 yang lalu, Annuar Zaini ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas yang mengaku kalah, beliau menyatakan "baguslah mengaku kalah tetapi jangan pula selepas ini mengacau pentadbiran Terengganu". Sepatutnya kenyataan beliau itu diterjemahkan dalam konteks Negeri Perak. Beliau sepatutnya mengaku kalah dan tidak melakukan seribu satu onar dengan menggunakan nama Istana Perak mengacau pentadbiran Negeri Perak. Tindakan beliau untuk merampas teraju Kerajaan Negeri dengan cara yang jijik dan memualkan ini akan memalitkan sejarah hitam kepada Kesultanan Perak dan leluhurnya Kesultanan Melaka yang akan sekali lagi tercatat dalam sejarah.

Plot rampasan kuasa ini walaupun dilakukan begitu licik, tetapi mudah diketahui oleh rakyat Perak bahkan rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai alasan digunakan melalui media-media massa, rakyat sekarang sudah mula celik. Rakyat sekarang bukan seperti zaman Sultan Mahmud dahulu, sebaliknya mereka mendapat berita secara live mendahului propaganda media-media massa. Rakyat mula persoalkan bagaimana boleh berlaku umpanan rasuah terhadap exco, bagaimana exco-exco boleh hilang sehingga tidak diketahui oleh keluarganya sendiri, bagaimana begitu bodoh mereka mengemukakan alasan sakit tulang belakang, bagaimana Adun Bota diculik dan lain-lain yang diketahui oleh rakyat terlebih dahulu sebelum media menyiarkan.

Hasil daripada perancangan yang jijik dan mual itu, 96% rakyat telah melihat bahawa BN akan menerima padah dalam PRU akan datang sebagaimana undian NTV7. Tokoh-tokoh vateran UMNO sendiri seperti Dr Mahathir dan Ku Li melahirkan rasa jijik dengan rampasan kuasa ini. Yang paling jelas Pak Lah dan Najib sendiri sedar bahawa rakyat sangat jijik dengan permainan kotor ini sehingga mereka tidak sanggup untuk kembali ke medan tempur sebagaimana tuntuntan Menteri Besar Perak untuk membubarkan DUN. Tindakan Annuar Zaini bersama kumpulannya merancang rampasan kuasa ini sebenarnya akan memburukan lagi imej UMNO yang telah ditolak rakyat dalam dua pilihanraya kecil yang lalu.

Bagaimanapun tindakan itu turut memalitkan nama baik Istana Perak. Ketika seluruh negara tertumpu kepada susuk tubuh Sultan Azlan sama ada membubarkan DUN atau tidak, baginda bertindak menyempurnakan rancangan tersebut. Ketika rayuan mencurah-curah dalam laman web Istana Perak supaya memberi semula mandat kepada rakyat, baginda mencurahkan balik rayuan itu ke luar jendela Istana Perak. Paling mengejutkan Baginda bertindak secara tidak cermat dengan meminta Menteri Besar meletakkan jawatan. Seharusnya Baginda memilih jalan yang lebih sederhana meminta Menteri Besar mengadakan sidang tergempar DUN supaya boleh diusulkan undi tidak percaya.

Sudah menjadi rahsia umum Baginda tidak begitu menyenangi Menteri Besar disebabkan beberapa isu yang sampai kepada Baginda melalui jalan pembesar-pembesar Istana. Boleh dikatakan kebanyakan pembesar-pembesar Istana Perak itu cenderung kepada UMNO termasuklah Annuar Zaini, justeru tidak menghairankan jika khabar yang disampaikan kepada Sultan Perak melalui jalan pembesar-pembesar negeri ini tentang Menteri Besar adalah negatif. Semua rakyat tahu bagaimana Menteri Besar begitu taat dengan Sultan Perak, tetapi Baginda di kelilingi oleh pembesar-pembesar Istana Perak yang tidak sebulu dengan Menteri Besar. Di sini kelihatan Baginda berada dalam kondisi sebagaimana luluhur Baginda Sultan Mahmud dahulu.

Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda yang sepatutnya diperkukuhkan dengan keputusan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Perak telah dicemari dengan nasihat-nasihat salah oleh Pembesar Istana. Keputusan Baginda dilihat seperti satu 'finishing' kepada satu konspirasi rampasan kuasa yang didakwa oleh PR dirancang oleh salah seorang pembesar baginda yang bernama Annuar Zaini. Sejarah Sultan Mahmud yang memerintah hampir 30 tahun termasuk membunuh Bendahara Tun Mutahir anakandnaya sendiri seharusnya tidak berulang. Sebagaimana Tun Mutahir dibunuh hasil hasutan pembesar-pembesar Istana, maka Istana Perak hari ini perlu menyingkirkan pembesar-pembesar yang seumpama itu kerana merekalah yang akan memalitkan sejarah hitam Kesultanan Perak.