Thursday 12 February 2009

Mufti Perak Tumpang Sekaki

Kalaulah tidak kerana Almarhum Ustaz Ishak Baharom Mufti Selangor dipecat, Mufti Perak tidak mungkin menjadi sandaran rakyat untuk membela Islam. Almarhum Mufti Selangor inipun pernah dipermainkan oleh pihak media sehingga beliau mengemukakan bahawa sesiapa yang memakai salib maka dia boleh terjerumus kepada murtad. Jawapan Almarhum telah digunakan oleh pihak media untuk mengaitkan tindakan Tengku Razaliegh yang memakai tengkolok yang ada corak salib padanya. Berikutan itu Almarhum Mufti Selangor sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada media. Selepas itu seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada beliau untuk membela dan bersuara meninggikan kalimah ALlah swt.

Selepas Almarhum dipecat, maka antara mufti yang paling senior ialah Mufti Perak Hj Harussani. Pada beliau rakyat Malaysia mula meletakkan harapan untuk menggantikan peranan Ustaz Ishak Baharom. Sekiranya Almarhum Ustaz Ishak pernah tersilap dipermainkan oleh pihak media tetapi kemudian rakyat boleh menerimanya kembali, demikianlah juga Hj Harussani. Sebelum itu, semasa era 1980 an ramai rakyat yang mengaitkan Hj Harussani sebagai mufti yang selalu bercakap "harus, harus" bila ditanyakan sesuatu soalan. Ketika enakmen Hukum Hudud dan Qisas dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan awal 1990 an, beliau dilihat tidak menyatakan pendiriannya secara jelas.

Kemudian apabila Kerajaan PAS Terengganu pula mengemukakan enakmen yang sama, sikap Hj Harussani juga seperti itu. Malah dalam satu ceramah di sebuah Masjid di Subang Jaya beliau kelihatan tidak mendukung usaha itu dengan menyifatkannya sebagai tergesa-gesa sehingga menyebabkan beliau diasak oleh pendengar-pendengar yang tidak berpuas hati dengan penerangan beliau. Demikian juga ketika isu penarikan balik bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat, beliau tidak begitu lantang menentang tindakan Dr Mahathir walaupun beliau adalah lulusan sekolah seumpamanya. Beliau lebih selesa mengambil jalan selamat, iaitu berbincang secara empat mata dengan Dr Mahathir ketika menyambut Dr Mahathir di lapangan terbang Ipoh. Apabila Dr Mahathir dengan tegas menyatakan tidak akan mengembalikan bantuan itu, Hj Harussani dikatakan sedih dan menitiskan air mata.

Mungkin selepas itu beliau mula menyedari bahawa UMNO sememangnya tidak mempunyai keazaman yang penuh untuk membela dan meninggikan Islam. Selepas itu rakyat melihat beliau mula lantang bersuara terutama apabila berkait rapat dengan isu-isu murtad dan liberalisasi agama. Semenjak itu rakyat mula menaruh harapan kepada beliau untuk menggantikan peranan Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Walaupun beliau bukanlah pendukung PAS, tetapi ahli-ahli PAS sendiri boleh menerima beliau apabila banyak pendirian beliau selari dengan pendirian PAS seperti dalam isu polisi moral dan IFC. Malah ahli-ahli PAS juga menyediakan platform kepadanya untuk bersuara berkenaan isu-isu tersebut.

Dari segi keilmuan, sememangnya sukar untuk diukur setinggi manakah keilmuan beliau. Hj Harussani adalah lulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang sekarang telah diturun taraf menjadi sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama. Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya pada ketika itu diterima sebagai bertaraf ijazah atau diploma. Beliau tidak pernah menghabiskan masa untuk menuntut ilmu-ilmu Islam di pusat-pusat keilmuan Islam seperti di Timur Tengah, India dan Pakistan. Beliau juga tidak pernah memondok bertahun-tahun di pondok-pondok traditional di negara ini sebagaimana ulama-ulama dahulu. Berdasarkan sejarah pengajian beliau, paling tidak beliau tidaklah setanding dengan para ilmuan negara ini yang pernah melalui susur galur pengembaraan ilmu seperti itu.

Sekiranya diukur dari segi sejarah perdebatan ilmu, beliau juga tidak begitu berketrampilan untuk duduk bersama para ilmuan Islam yang lain berbahas tentang sesuatu isu Islam. Semasa Pejabat Mufti Perak menganjurkan perbahasan tentang isu bid'ah sepatutnya beliaulah yang kehadapan untuk berbahas isu itu dengan Dr Asri Zainul Abidin. Sebaliknya Pejabat Mufti Perak menjemput Dr Abdul Aziz Hanafi yang merupakan Ahli Majlis Shura Ulama PAS. Beliau hanya dilihat menyerang Dr Asri dari belakang dan tidak pernah berhujah secara berhadapan. Menyedari hakikat tersebut, sekiranya diukur kepada kewibawaan ilmu, mungkin ramai lagi para ulama di Perak yang lebih layak menduduki kerusi Mufti seperti Ustaz Salleh Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Bagaimanapun, beliau sememangnya disayangi oleh Pihak Istana Perak terutama Sultan Azlan sendiri. Dengan sebab itu, dalam Perayaan Jubli Perak Sultan Azlan baru-baru ini, beliau adalah salah seorang yang diiktiraf sebagai paling berjasa kepada Sultan Azlan. Malah dari segi dunia akademik, beliau turut dianugerahkan Doktor Kehormat Shari`ah dari Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Tanpa menafikan sumbangan beliau kepada pentadbiran Agama Islam negeri Perak dan Malaysia, sumbangan beliau dari segi dunia akademik bagaimanapun tidaklah memberansangkan. Namun demikian anugerah yang bersifat akademik seperti ini turut diterima oleh beliau sebagai satu-satunya anugerah Doktor Kehormat Shari`ah yang pernah dianugerahkan oleh Universiti Malaya setakat ini.

Melihat kepada hubungan beliau dengan Sultan Perak, maka tidaklah menghairankan jika beliau mengisytiharkan derhaka kepada Hj Nizar Jamaluddin baru-baru ini. Walaupun telah banyak diperbahaskan dari sudut perundangan tentang kesahihan pemecatan Hj Nizar, iaitu ada yang bersetuju dan ada yang menentang. Akan tetapi semua pihak, termasuk yang bersetuju dengan pemecatan Hj Nizar ini bersepakat bahawa tindakan Sultan Azlan ini tidak betul dari segi moral. Tidak mungkin pihak Istana Perak tidak mengetahui bagaimana ada ADUN-ADUN yang disembunyikan, ada di kalangan mereka yang diculik dengan menggunakan nama Raja Muda dan ada di kalangan mereka yang diugut. Apakah Istana Perak lebih terkongkong dari 'katak di bawah termpurung'?

Semua pihak termasuk veteran-veteran UMNO dan pihak yang berkecuali seperti SUHAKAM berpendapat cara pengambilalihan kuasa itu tidak bermoral. Malah golongan yang bukan Islam termasuk bekas ADUN Bukit Selambau lebih bermoral dalam menanggapi isu-isu ini. Rakyat negeri Perak tanpa mengira agama kecuali penyokong tegar UMNO melihat tindakan BN yang kemudian diperkenankan oleh Sultan Perak sebagai tidak bermoral. Tiba-tiba Hj Harussani boleh membenarkan tindakan yang tidak bermoral atau berakhlak seperti ini. Sekiranya usaha melompat parti ini ada melibatkan unsur rasuah seperti yang dikhuatiri, maka adakah kenyataan Hj Harussani ini tidak boleh dilihat sebagai bersekongkol dengan golongan perasuah dan pemberi rasuah.

Hampir sepakat para ulama bahawa rasuah adalah antara dosa-dosa besar yang sangat dimurkai oleh Allah swt. Tiba-tiba Hj Harussani mengiyakan pembentukan sebuah kerajaan secara rampasan kuasa yang rakyat begitu meyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Tindakan Hj Harussani sememangnya akan menyebabkan institusi mufti akan dipandang hina bukan sahaja oleh orang bukan Islam, malah oleh orang Islam sendiri. Sudah ramai pelayar internet menyeranah beliau dalam buku pelawat website Pejabat Mufti Perak. Selepas ini diyakini, sekiranya beliau berceramah di mana-mana orang Islam yang tidak berpuashati dengan pendirian beliau akan menyoal dan mempertikaikan tindakan beliau. Beliau tidak lagi akan dihormati sebagaimana sebelum ini.

Mungkin beliau tersilap kerana diperangkap oleh media sebagaimana yang berlaku kepada Almarhum Ustaz Ishak Baharom. Namun demikian, selepas beliau mengulang-ulangkan pendirian beliau beberapa kali, maka situasinya telah dilihat berbeza. Kalau benar beliau adil beliau boleh menyanggah tindakan Hj Nizar dan pada masa yang sama beliau mesti juga menyatakan pendirian Islam tentang pembentukan kerajaan secara rampasan kuasa yang diyakini terdapat unsur-unsur rasuah. Malangnya beliau hanya bertindak dengan menyebelahi satu pihak. Beliau kelihatan tidak jijik dengan budaya mengkhianati amanah rakyat dan amalan rasuah yang merupakan antara perkara yang dimurkai oleh Allah swt. Sepatutnya sebagai seorang mufti beliau gerun untuk tumpang sekaki seperti ini.

14 comments:

kontraktorwibawa.blogspot.com said...

Saya rasa sedih, geram dan kecewa dengan nukilan yang terdapat di Buku pelawat DYMM SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN. Semacam saya berada di zaman puak Gasar, puak kanibal yang tidak tahu adab sopan, tidak tahu tata susila serta tidak langsung menghormati Sultan / Raja sendiri.

Komen-komen yang tidak beradab ini akan pula dibaca serta diterjemahkan oleh bangsa-bangsa lain diseluruh pelusuk dunia. Adakah kita akan rasa bangga menjadi bangsa yang berjaya memalukan dan mencaci maki rajanya sendiri?

Jika kita berani berkelakuan serta mengeluarkan kata-kata kesat begitu kepada raja sendiri, jangan fikir bangsa lain akan menghormati raja kita malah mereka akan buat yang lebih hina dari itu kepada kita dan raja kita.

Bangsa kita ni kecil sahaja, tiada apa-apa keistimewaan pun di mata bangsa-bangsa lain di dunia ini. Mereka cuma kenali kita dengan perkataan 'AMUK'. Mungkin hanya itu sahaja kelebihan yang bangsa kita ada.

Perkara ini jika dibiarkan akan mewujudkan satu masyarakat yang tidak lagi menghormati institiusi beraja. Keadaan ini sangat berbahaya untuk negara majmuk yang mana bangsa asalnya masih belum sedia berdikari dan masih ramai dibelenggu kemiskinan serta mengharap raja sebagai payung mereka.

-Kontraktorwibawa.blogspot.com

kontraktorwibawa.blogspot.com said...

"...untuk menumpukan usaha membanteras kemiskinan dan menyediakan kemudahan pendidikan".
- Imam Sheikh Yusuf Al-Qaradawi

Gesaan Imam Sheikh Yusuf Al-Qaradawi itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pejuang. Jangan lah asyik berpolitik sampai lupa kemiskinan yang masih membelenggu rakyat marhaen. Rata-rata rakyat sudah tahu parti mana yang akan dipangkahnya pada setiap PRU atau PRK. Tiada istilah 'pengundi atas pagar' dewasa ini. Cuma yang ada 'pengundi yang boleh dibayar' sahaja.

Rakyat sudah muak disajikan berita politiking setiap hari. Dalam keadaan sekarang di mana ramai yang menganggur ditambah pula kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, hal-hal politik ini akan menguja semangat dan menaikkan amarah. Menjadi kebimbangan apabila emosi rakyat berubah, tidak stabil serta menjadi tidak terkawal..

-Kontraktorwibawa.blogspot.com

wansalman said...

kontraktor wibawa upa nyea...

Tuan kontraktor,

Kita tidak mahu lagi menghormati raja membuta-tuli seperti rakyat jelata dahulu-kala.Sejarah menceritakan banyak raja-raja dahulu berlaku zalim terhadap rakyat yang tidak bersalah,sedangkan Hang Tuah yang di anggap taat kepada raja pun di hukum atas sebab hasutan pembesar-pembesar yang besar kepala seperti di Perak.

Dunia itu telah lama berlalu,rakyat semakin cerdik untuk menilai yang mana patut di hormati dan yang mana patut di sanggah.Benar sungguh kata-kata tuan guru Nik Aziz bahawa institusi raja-raja suatu hari nanti akan tinggal nama sebab tidak menimbang tara dengan adil ketika membuat keputusan.Rakyat tentu tidak akan berbuat demikian jika raja tidak mengikut telunjuk Najib Altantuya,tentu tiada perkara sebegini berlaku,tiada suara-suara tidak puas hati akan ke udara.Tiada siapa yang mahukan suasana harmoni menjadi huru-hara.

Politik siapa yang buat keadaan jadi kacau-bilau? Umno lah yang buat Malaysia jadi huru-hara,Umno jugalah yang buat Perak jadi medan jadi tidak tenteram.Mereka lah punca nya dan mereka menggunakan Tv,radio dan sebagai nya dengan mencanangkan pembangkan lah yang menderhaka sedangkan mereka buat-buat lupa Umno pernah memanggil Sultan Terengganu " natang".Ada kah pembangkang yang cakap " natang" pada sultan di Perak ? Mereka lah yang tak puas-puas menuduh pembangkang meniup isu perkauman.

Saudara ni kontraktor berwibawa jadi jangan lah dok mengampu tidak kena tempat.Harga barang semua jadi mahal sebab Umno tidak berapa kisah sangat kalau ia menyusahkan rakyat,mereka sibuk bercatur untuk memilih calon ketua itu dan ini.Mereka suruh rakyat makan ubi sedangkan bini-bini mereka bermaharakalela berbelanja sakan macam bini Najib.

Rata-rata orang amat benci dengan kerajaan sekarang kecuali tuan sebab maybe tuan kontraktor dapat banyk projek.Sumpah,saya tak akan mengundi Umno sekarang lagi sebab mereka ni menyamun kekayaan yang ada dari bumi Malaysia.

Saya percaya rakyat muak dengan politik cara Umno walaupun mereka menganggap parti mereka ni turun dari langit.Antara 10 orang yang marah & saudara kontraktor seorang yang marah,marah majoriti lah yang benar.

s_hezrin said...

saya ulang sekali lagi dalam post yang ini pulak.

Sebelum ni, dah ada orang biru yang meletakkan akta berkenaan yang mengatakan peralihan kuasa itu sah dari undang2.

So, mana pulak akta orang hijau yang mengatakan peralihan kuasa itu tidak sah?? Bagi la tau. Barula kita tau yang mana betul dan yang mana salah. Ini bila org biru letak akta, smua cakap benda tu mcm2. tapi org ijau sampai sekarang tak cakap2 jugak akta yang menjadi rujukan dierang yg mengatakan peralihan tu tidak sah! Bagi la tau. Kat sini bukannya semua peguam.


Tak guna kalau kita tak habes cakap kosong tanpa rujukan akta tubuh kerajaan negeri perak. Kalau stakat nak borak kosong dan marah tak bertempat, binatang pun boleh.

s_hezrin said...

hmm... sekarang ni, Mufti Perak pulak yang kena. haih....

Aku rasa kita start mlm ni, semayang hajat, mohon pada Allah, beri petunjuk pada kita apa yang betul apa yang tidak.

Moga Allah, bukakan pintu hati org yg salah dan diberi hidayah kepadanya.

Semua yang jadi ada sebab dan tujuan. Yang pastinya, utk Allah uji keimanan kita.

Pemuda UMNO Permatang Pauh said...

Hairan dengan sikap pembangkang. Asal ada yang tidak kena dengan kepentingan mereka semua dibelasah. Termasuklah SS Mufti Perak yang umum ketahui kewibawaannya. Sehingga penulis ini sendiri seakan cuba untuk merendahkan ilmu Mufti tersebut.

Sebelum ini banyak kenyataan SS Mufti dipergunakan oleh penyokong pembangkang termasuklah diletakkan di muka depan Harakah. Namun kerana isu Perak, beliau telah dihina dan diberikan pelbagai gelaran oleh manusia-manusia jahil.

Alahai...

wansalman said...

Tuan Syeikh Al Hafiz Umno tuuu..

Tuan ni syeikh tapi syeikh Umno ..
syeikh umno jangan di ikut nanti raja pun di binatang kan nya mcm di Terengganu...Tiba2 skrg nak bela raja pulak..klo dah umno tu umno jugak..SYukur lah makin bertambah banyk org yang benci pada umno ni sebab Umno ni jahat lebih kurang mcm Israel juga,ari tu sumpah seranah sultan terengganu pastu nak ampu balik.Munafik tuuu..

s_hezrin said...

wansalman,

Aku bukanla nak campur sgt hal korang PAS UMNO bgaduh ni. Lantak korang la.

Tapikan, cuba jawab benda ni. Aku tgh pertimbangkan utk pilih yang mana masa 7 April ni. So tlg kuatkan semangat aku utk aku pilih.

Persoalan aku.
1) UMNO, dah memerintah lbih 50 tahun kat Malaysia. UMNO skarang dah jadi macam2. Tapikan, kalau kita tgk, perkara tu terjadi selepas tahun ke 40 ++. Pakatan Rakyat, baru memerintah Perak 11 bulan, lagi la mcm2 yg korang dah buat? Persoalannya, korang lagi hebat. Sebab baru 11 bulan, kalau 11 tahun, aku rasa ko pun buleh jawab. (dalam hati dah la... malu orang dengar).

2) Masa sebelum memerintah, mcm2 yang pakatan rakyat janjikan pada aku (sebagai rakyat sah negeri Perak). tapi, lps tu apa yg korang buat?? Yang aku ingat, aku dapat dimansuhkan saman DBI je...

3) Pakatan Rakyat kata, korang ada bawak pelaburan kat negeri Perak. Aku nak tanya, perbincangan ni dah dibuat zaman Tajol ke atau korang yang bincang?? Dah tu, mana pelaburnya???

4) Ekonomi teruk skarang ni. Pergi la jgk2 org Perak kat Carsem. Dah ramai yg tak keje. Kalau keje pun 4 hari dalam sebulan. Apa yang Pakatan Rakyat buat untuk cover skit bebanan rakyat? yang ada pun semuanya dari pusat. Yang korang buat, beli Camry. Memang la konon V6 tu byk lagi duit nak kluar utk maintanence (walaupun kete kat umah aku tu pun sama, tapi tak la kuat maintanencenya..), Kalau korang btul2 pakatan RAKYAT, rakyat tgh susah, tak boleh ke korang tangguh dulu, pastu bagi duit tu kat rakyat utk hidup. Korang dah ade kete mcm2. pakai la dulu. ala.. minyak bukanya takleh claim. 1.6 juta tu mmg kecik, tapi utk korang je kecik. Tapi utk kami org susah, besar giler jumlah tu. Ini bukan pakatan RAKYAT. Ini Pakatan perut dan keselesaan korang..

5) Apabila timbul setiap isu, kalau isu itu menyebelahi korang. Korang setuju. Tapi, kalau sebaliknya korang bangkang sampai nak mati. Ni apa cerita?? Cth, SPR korang puji nak rak masa kat Terengganu, sebab apa? sebab korang menang. Tapi kat Perak korang kutuk giler2. Aku nak tanya, masa kat terengganu tu pakai SPR mana? Afrika?? yang kat perak ni pakai SPR mana??? Rusia??

6) Alim ulama' semua korang hentam. Kita ni sapa nak lawan dia? aku tau la aku takat mana. Mungkin ilmu ko dah lebih dari Mufti. Kalau mcm tu, pegi la apply jadi Mufti Perak.

7) Jgn sebab nila setitik, guruh berbunyi, korang terus nak melenting. Terus cakap Israel, Yahudi, kafir. Apa ni? korang tahu ke akhir kalam org yang korang hentam tu apa? korang pasti dierang ni tak dpt mengucap?

8) Doa orang dizalimi akan dimakbulkan Allah. Kalau korang rasa dizalimi, apa lagi? doa je la. yang pegi buat demo sampai menyusahkan orang tempatan nak beribadat pasal apa? Apa korang dah tak yakin ke dengan apa yang Allah dah cakap?? ke korang pun dah ada cita2 nak bangkang jugak qada' dan qadar?? sebab skarang ni dah mcm tak menyebelahi korang???


pikir2kan la.. aku pening lagi ni nak buat keputusan.

Unknown said...

mufti dihentam!!kesian...kesian..tapi yg aku tahu kalau kita tgk dlm buku fikh ada cerita pasal hukum "Bugha" (penderhaka) pasal ape org PAS tak baca hukum tu. Mufti kata mcm tu sbb dia rujk kpd kitab-kitab Fikh bukan cakap pakai hawa nafsu amarah je. Oleh itu aku menyeru kpd pembangkang ni buka kitan khatamkan dulu pasal bab "ahkam bugha" (humum penderhaka)

Cikgu Azrin Ab. Majid said...

Assalamualaikum wrwbt, tuan. Jika ada kelapangan, lawatilah cikguazrin.blogspot.com. Terima kasih

kontraktorwibawa.blogspot.com said...

Tuan,

Setiap kali berita kejutan politik diletuskan dek pemain-pemainnya, saya terbayangkan kecukupan barang keperluan dapur di rumah.

Saya teringatkan jiran yang entah makan entahkan tidak, terkenangkan masa depan anak-anak saya yang tak dapat lagi di rancang seperti sebelumnya.

Malah, setiap malam tidur saya tak lena kerana banyak penjenayah berkeliaran akibat pihak polis disibukkan dengan isu-isu sensasi demi memuaskan serakah pemain politik.

Tidak berapa lama lagi saya akan dihidangkan pula dengan hiruk pikuk tiga buah bukit di dalam tiga buah negeri. Maka makin bertambahlah kebimbangan saya.

Tiga bukit itu pasti menentukan suka atau muak nya rakyat dengan politik. Lihat saje peratusan keluar mengundi / undi rosak nanti.

Tiga bukit itu juga yang akan menentukan di mana pilihan sebenar rakyat terbanyak antara retorik Ketuanan Melayu atau retorik Ketuanan Rakyat.

wansalman said...

H Hezrin,

Pakatan atau Pas bila mereka ambil negeri2 yang mereka menang,mereka di tinggalkan dengan hutang2 yang di buat oleh Umno jadi mereka tiada duit banyak macam negeri yang masih mengampu Umno jadi macamana nak berbelanja itu ini? Macam Kelantan juga,kerajaan persekutuan layan macam anak pungut,kejap kasi duit pastu lambat2 kan peruntukan...Apa tuu..? Jutaan duit cukai rakyat pakai kempen Umno,taja itu ini yang tak berfaedah.

Orang yang nama nya mufti patut nya berhati-hati kuarkan fatwa.Takkan orang tak tahu fatwa apa yang dia kuarkan pasal sultan tu?.Fatwa mengampu tuu...Mentang2 lah baru dapat anugerah sultan Perak terus laju kata "derhaka" pada Nizar.Quran kata "Taatlah akan Allah & taat lah akan rasul & pemipin di kalangan kamu!".Tak sebut pun TAAT akan pemimpin seperti yang pertama & kedua tu.Sebab nya tak semesti nya kita kena taat kalau pemimpin tu buat salah.

Kalau Umno tukar itu ini tak per erk...Tukat camry yang bukan mercerdez pun dah bising dalam Tv3,radio siang malam,berbulan2.Kat Sabah tu tukar Volvo napa Umno senyap jerk?

Umno ni memang tak sedar diri,tak percaya akan zaman Umno ni akan lenyap tidak lama lagi.Terima lah hakikat rakyat dah benci,bukan benci olok2 tapi betul2 punya.

Siang malam lepas kalah pilihanraya lepas asyik nak kacau rumah tangga orang je.Awak undi lah lagi Umno sebab Umno ada duit dibelanja Rm15 juta untuk pilihanraya kecil Terengganu,kan boleh pakai duit tu tolong2 orang yang you kata susah kat Carsem tu.

Masa zaman minayk naik mendadak tu ada ke Umno bising ? Mereka sibuk bersidang nak cari calon Mac ni.Semua orang jadi susah,saya pun susah.Yang senang ketua2 Umno jer.Itu pun awak tak nampak.

Spr memang jahat tapi sebab tiada peruntukan dunia yang mengatakan boleh pakai Spr dari luar pakai je lah Spr yang jahat yang ada ni.Tak rasa bersalah menipu rakyat.Undi tipu,orang yang dah mati pun masih ada Ic mereka dalam daftar pemilih,itu kan niat nak menipu tu,Ajak guna dakwat,takut...

Spr di puji di Terengagnu sebab mereka tak sempat nak menipu hingga menyebabkan Pas kalah,puji lah.Itu pun patut nya majoriti 6000 lebih sebab tak cukup tipu dapat je 2000 lebih.

Nampak nya awak ni memang dari perut ibunda sudah Umno jadi memang susah banyak nak tinggalkan Umno,walhal dalam Quran tak sebut perkataan " Umno" pun kecuali parti2 yang berniat untuk menegakkan Islam.

Umno cakap jer nak tegakkan Islam tapi rasuah,larikan anak dara sultan Selangor,anjurkan acara2 yang melalaikan orang dari sembahyang macam sure heboh tu,rancangan2 Tv yang melekakan orang Islam itu boleh erk..!!!.

Artis2 di beri gelaran Datuk lagi kerena berjaya buat orang lupa sembahyang Maghrib tak per.Itu Umno,seluruh dunia memang tahu cara hidup Umno.

Reply lah nanti tuan,kalau saya free nanti saya masih sudi baca.

s_hezrin said...

hehehe kelakar jugak wan salman ni..


1) Sapa kata masa tajol jadi MB Perak takde duit?? Cuba tanya kat pemimpin Pakatan, ada brapa duit kerajaan Perak masa mula2 Pakatan memerintah? Jangan la pakai sedap mulut je cakap.

2) Dapat gaji bulan ni, pegi la beli buku fikh ada cerita pasal hukum "Bugha" (penderhaka). Pastu baca dan faham la. kalau nak amalkan terpulang, sebab korang hanya akan amal yang belah korang je kan. :)

3) Persoalan tukar volvo ke, merc ke, messerati ke, bukan persoalannya. TAPI, masa bila tukar? masa rakyat senang ke susah??

4) Masa minyak turun, apa pulak komen tuan? er... duit rebet road tax hari tu mesti tuan tak ambil. sebab tak setuju dengan naik harga, kan?

5) Orang pilih pakatan sebab orang benci UMNO ke sebab orang sokong Pakatan?? Rajin2 la baca kat scribd tentang kajian yang dah dibuat. tapi aku rasa tak payah baca lah. sebab tak menyebelah korang pun. dah tau dah apa korang akan cakap.

6) Jangan pakai duit UMNO utk tlg orang susah. duit tu kan HARAM. kalau kita bagi, kita pun HARAM skali. Aku tgk nak fikirkan mcm mana duit biasiswa aku dulu. ish... haram tu pakai duit kerajaan... hmm..

7) Dalam Quran pun tak sebut PAS. yang disebut, parti yang mengamalkan Islam sepenuhnya. Diulangi sekali lagi, SEPENUHNYA..

8) kat rumah takde TV ke? ke dah buat akuarium. Aku pun tak stuju pasal hiburan kat TV. tapi, masa tu kalau ada tutup je la. Remote TV tu ada kat umah kita. Bukannya ada kat Pejabat UMNO Bahagian mana2. Pastu, CD dalam kete tuan tu buang je la. melalaikan la..

9) Bukannya takde orang PAS dapat Datuk jugak kan. so, apa masalahnya?

10) Nanti free baca balik dari no 1 sampai 10 ni k. Salam..

Moderator said...

Nampak sangatlah S_Hezrin ni main sebut perkara yang dia sendiri tak faham, tapi buat-buat faham. Dalam Islam jahil seperti ini dipanggil jahil murakkab.

Kami nak sentuh satu perkara sahaja iaitu Bugha. Sebenanya tidak adalah istilah Bugha, yang ada Bughah atau jama`nya bughaat. Kalau Bigha' ada maksudnya pelacur. Dari segi guna istilahpun sudah salah, konsep lagilah.

Konsep Bughah ialah mereka yang keluar memerangi (bersenjata) menentang pemerintah yang adil. Mengikut Islam jika ada mereka seperti ini, tindakan pertama yang perlu dilakukan oleh pemerintah yang adil ialah menghantar wakil untuk berbincang. Sekiranya setelah berbincang, perkara yang ditentang oleh golongan bughah itu yang benar menurut Islam, maka pemerintah perlu menurut tuntutan golongan bughah tersebut.

Sekiranya tuntutan mereka salah menurut Islam, maka barulah diperangi golongan ini. Tetapi dengan syarat sekiranya mereka berundur, maka tentera kerajaan tidak boleh mengejar. Harta golongan bughah ini tidak boleh dirampas. Mereka diperangi sekiranya berdepan sahaja.

Kebanyakan hukum bughah ini mengambil kes antara Sayyidina Ali dan Muawiyah sebagai contoh. Sayyidina sebagai pemerintah dan Muawwiyah sebagai yang keluar memerangi. Persoalannya:

1. Adakah Kerajaan UMNO Pak Lah, Najib, Tajul Rosli dan lain-lain dianggap kerajaan yang adil seperti Sayyidina Ali?

2. Semasa Sayyidina Ali menjadi pemerintah beliau turut dibawa ke Mahkamah berhadapan dengan sorang Yahudi dalam kes tuntutan baju besi. Bolehlah Sultan Azlan diperlakukan sedemikian sebagai mengambil model kerajaan Sayyidina Ali?

3. Hukum bughah termasuk dalam hukum berkaitan dengan negara Islam. Dan undang-undang bughah sama seperti hukum hudud, qisas dan taazir yang wujud dengan adanya negara Islam. malah dari segi thabitan nas hudud dan qisas lebih kuat dari undang-undang tentang bughah. Persoalannya adakah Malaysia negara Islam? Mengapa tiba-tiba dibangkitkan hukum tentang bughah sedangkan hukum hudud dan qisas sebelum ini telah dipencilkan.

4. Adakah dihantar wakil untuk berbincang dengan rakyat yang tidak puashati itu. Sekiranya dihantar wakil maka siapakah antara Kerajaan dan Rakyat itu paling benar menurut Islam?

Cukuplah empat persoalan dulu untuk golongan jahil murakkab.