Friday 15 April 2011

Tsunami 2008 Berulang di Sarawak?

Kecenderungan rakyat ketika suasana kempen di Sarawak dalam Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini, kelihatan seperti apa yang berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung semasa Pilihanraya Umum (PRU) 2008 yang lalu. PRN kali ini benar-benar berbeza dengan PRN-PRN yang telah berlangsung sebelum ini, apabila rata-rata rakyat di Sarawak terutama golongan muda memperlihatkan kecenderungan untuk berubah. Masyarakat bandar pula begitu ketara kecenderungan mereka untuk 'menghumban' BN sepertimana kecenderungan pengundi-pengundi bandar di Semenanjung. Manakala golongan bukan Islam termasuk golongan pribumi tidak lagi fobia untuk menaikkan lambang PAS sama ada baju atau bendera.

PRN Sarawak kali ini bolehlah dianggap sebagai permulaan PRN generasi kedua Sarawak selepas menyertai Malaysia pada tahun 1963. Golongan muda yang lahir sekitar 1980 an merupakan antara golongan teramai menjadi pengundi. Generasi yang lahir selepas 1980 an ini atau Generasi Y selalu dilihat sebagai golongan yang sedar politik walaupun tidak menyertai mana-mana parti. Mereka bersedia untuk membuat perubahan apabila dirasakan perlu, tidak seperti generasi sebelumnya yang lazimnya berpolitik berasaskan ketaatan (loyalty politics). Mereka adalah generasi yang celik maklumat, yang tidak mudah dimomokkan hanya dengan satu aliran penyebaran maklumat.

Semasa PRU 2008 yang lalu, generasi seperti inilah yang telah membuat tsunami politik di pantai barat Semenanjung. Maka tidak hairanlah, keberadaan mereka yang seumpamanya di bumi kenyalang pada PRN kali ini, boleh membawa impak yang sama kepada negeri Sarawak. Suasana di kalangan generasi muda terutama bahagian pantai utara Sarawak begitu berbeza sekali apabila mereka yang tanpa mengira golongan, daripada golongan terpelajar sehingga mat rempit, rata-rata menzahirkan kecenderungan politik mereka menyokong pembangkang tanpa rasa takut. Sekiranya fenomena ini diterjemah kepada kertas undi, BN Sarawak mungkin boleh tumbang dalam PRN kali ini.

Bagi para pengundi bandar pula, kecenderungan menyokong pembangkang sangat ketara sepertimana yang berlaku di Semenanjung pada PRU 2008 yang lalu. Dengan komposisi terbesar pengundi bandar dari kalangan kaum Cina, mereka telah memberi sambutan yang luar biasa kepada kempen-kempen yang dianjurkan oleh pembangkang. Gelombang perubahan pengundi-pengundi di kawasan bandar di Sarawak seperti menggambarkan berlaku perubahan besar di negeri tersebut. Parti komponen BN yang mewakili kaum Cina, SUPP, kelihatan begitu mundur pada kali ini sepertimana nasib yang menimpa MCA pada PRU yang lalu.

Para pengundi Cina, selalunya akan 'bersepakat' melakukan perubahan secara bersama dalam sesuatu pilihanraya besar sepertimana yang berlaku di Semenanjung 2008 yang lalu. Sepertimana juga masyarakat Melayu Kelantan, para pengundi Cina boleh membuat sesuatu keputusan di luar dugaan. Suasana yang menunjukkan boleh berlakunya keputusan di luar dugaan ini semakin ketara di kalangan para pengundi Cina di Sarawak. Sekiranya ini berlaku, DAP dijangka akan menyapu bersih kerusi-kerusi kawasan bandar, dan menjadikan nasib SUPP sama seperti nasib MCA di Semenanjung semasa Tsunami 2008.

Satu lagi fenomena luar biasa yang sedang berlaku di Sarawak ialah fobia terhadap PAS sebagai sebuah parti Islam, seperti telah terhapus. PAS yang sebelum ini begitu ditakuti dengan momokan sebagai golongan ekstrim oleh BN, tidak mendapat tempat di kalangan para pengundi bukan Islam dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Sebelum ini, PAS selalunya sangat sukar menang di kawasan-kawasan yang komposisi pengundi bukan Islamnya lebih 25%. Dengan sebab itu, PAS lebih selesa bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu khususnya di negeri-negeri lingkaran Melayu di Semenanjung.

Bagaimanapun, pada PRU 2008 yang lalu, situasi ini telah berubah. Dalam PRN Sarawak kali ini, suasana yang sama telah berlaku, iaitu para pengundi bukan Islam termasuk kaum peribumi Iban tidak lagi segan-silu dan takut-takut untuk bersama-sama dengan kempen PAS. Bendera PAS telah dikibarkan di rumah-rumah panjang, manakala pengundi-pengundi bukan Islam tidak lagi takut untuk membawa lambang-lambang PAS. Suasana ini begitu jauh berbeza dengan pilihanraya-pilihanraya di Sarawak sebelum ini. Melihat kepada perubahan tersebut, tidak mustahil BN Sarawak akan 'digulingkan', iaitu perkataan yang kerap keluar di kalangan peribumi Sarawak mutakhir ini.

Perubahan-perubahan yang berlaku memperlihatkan PRN Sarawak kali ini lain daripada yang lain. Dengan sasaran PR untuk menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRN kali ini, sasaran tersebut kemungkinan besar boleh tercapai. Malah dari sumber-sumber yang rapat dengan Anwar Ibrahim, sasaran tersebut mungkin menjadi lebih jauh, iaitu ke arah menumbangkan BN Sarawak. Meskipun PR dan Anwar sendiri begitu berhati-hati mensasarkan sasaran untuk menguasai Sarawak, persiapan ke arah itu telah mula difikirkan. Kini seluruh pemerhati politik sedang menunggu-nunggu detik itu; Apakah gelombang kecil atau tsunami besar akan berlaku pada 16 April ini?

Monday 31 January 2011

Tenang: UMNO 'Tidak Menang' PAS 'Tidak Kalah'

Keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Tenang semalam tidak begitu memperlihatkan perubahan yang ketara kepada trend pengundian di DUN Tenang berbanding Pilihanraya Umum (2008) yang lalu. BN atau UMNO hanya mampu menambah 332 undi sahaja. Manakala calon PAS kekurangan 883 undi yang hampir 65% jumlah kekurangan ini disebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi disebabkan hujan lebat dan banjir. Sekiranya berdasarkan kepada angka peratusan secara rambang ini, majoriti yang diperolehi oleh UMNO hanya bertambah sedikit sekitar 2700 hingga 2900. Pertambahan seumpama ini dalam sesebuah PRK bagi BN yang mengerahkan seluruh jentera kerajaan, bolehlah dikatakan tidak begitu membanggakan.

Berdasarkan kepada analisis terhadap jumlah undi yang diperolehi oleh calon dari setiap peti undi, jelas membuktikan trend seperti ini. Faktor kekalahan utama calon PAS ialah golongan atas pagar terutama pengundi Cina tidak dapat keluar mengundi. Peti undi yang paling ketara menunjukkan fenomena ini ialah Bandar Labis Timur. Di peti undi ini calon PAS hanya memperolehi 144 undi daripada 740 undi yang diperolehi pada PRU 2008, iaitu kurang 600 undi. Kekurangan 600 undi ini disebabkan mereka yang menyokong PAS dahulu tidak keluar mengundi bukannya beralih kepada UMNO. Pertambahan undi UMNO di peti undi ini hanya 2 undi iaitu dari 669 semasa PRU 2008 kepada 671 dalam PRK semalam.

Sekiranya 600 undi itu diterjemahkan sebagai mengundi PAS sebagaimana persepsi pengundi Cina yang dilihat tidak jauh berubah, bermakna calon PAS berkemungkinan mendapat tambahan undi sekitar 3500 dan majoriti kemenangan BN berdasarkan peti undi ini sahaja boleh berkurangan sehingga 3000 sahaja. Demikian juga kawaasan-kawasan peti undi yang PAS menanginya semasa PRU 2008 yang lalu, jumlah yang keluar mengundi jauh berkurangan sehingga menyebabkan PAS memperolehi kekurangan undi tersebut. Sebagai contoh di Bandar Labis Tengah PAS kekurangan 212 undi dan peti undi Labis PAS kekurangan 202. Kekurangan ini disebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi.

Manakala kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO seperti Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat, situasi sebaliknya berlaku. Di peti undi Felda Tenang jumlah pengundi yang keluar mengundi bertambah 30 orang, di Felda Chemplak Barat juga bertambah seramai 30 orang, manakala di Felda Chemplak berkurangan sedikit hanya kepada 22 orang. Berdasarkan angka-angka tersebut, boleh dikatakan keadaan hujan lebat dan banjir yang berlaku di DUN Tenang ini tidak langsung menjejaskan kawasan kubu UMNO dari segi peratus pengundi keluar mengundi sekiranya dibandingkan dengan PRU 2008.

Secara keseluruhan, melihat kepada pencapaian UMNO di setiap peti-peti UMNO, tidak kelihatan UMNO membuat peratusan penambahan secara berlipat ganda melainkan undi pos. Di kubu-kubu kuat UMNO sendiri pertambahannya sangat sedikit, seperti di Felda Chemplak, undi UMNO bertambah 49 undi, di Felda Chemplak Barat bertambah hanya 64 undi dan di Felda Tenang bertambah 90 undi. Pertambahan undi UMNO di kawasan-kawasan kampung tradisi Melayu juga dalam lingkungan bawah 100 undi. Malah di peti undi Sawah Bahru UMNO kekurangan undi 6 undi berbanding PRU 2008, sedangkan di peti undi yang sama PAS menambah 3 undi.

Berdasarkan analisis terhadap peti-peti undi itu, dapat disimpulkan mementum PRU 2008 masih kekal. Peningkatan majoriti kemenangan UMNO banyak dibantu oleh para pengundi atas pagar dan penyokong PR pada PRU 2008 yang lalu tidak dapat keluar mengundi disebabkan hujan lebat dan banjir. Oleh sebab itu, sekiranya peratusan pengundi keluar mengundi kekal seperti PRU 2008 atau lebih sedikit, majority yang diperolehi oleh BN atau UMNO seperti pada PRU 2008 akan kekal atau mungkin semakin berkurangan. Diyakini PAS sangat menyedari perkara ini, justeru para pimpinan kanan PAS menuntut supaya PRK semalam ditangguh disebabkan factor cuaca.

Strategi UMNO yang paling berjaya dalam PRK semalam ialah membuat bantuan kepada mangsa hujan lebat dan banjir secara terpilih. Sebagai yang dijelaskan oleh Zulkifli Sulong, Editor Harakahdaily, bantuan secara besar-besaran telah diberikan untuk mengerahkan pengundi kawasan kubu kuat UMNO keluar mengundi seperti di Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat. Kawasan-kawasan yang lain seperti ‘didiskriminasi’ sehingga peratusannya menurun mendadaj. Dengan perkataan lain UMNO menggunakan strategi bantuan terpilih ini untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi di kubu kuatnya dan mengurangkan peratusan keluar mengundi di kubu kuat PR.